Krisis tenaga yang berlaku hari ini akibat konflik di Timur Tengah memperlihatkan kepada kita tentang kemampuan manusia untuk menjadi makhluk yang bersifat perosak dan memusnahkan. Situasi ini telah menjadi realiti yang menakutkan di antara kelumpuhan ekonomi sesebuah negara dan keruntuhan nilai kemanusiaan. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud, “Telah terlihat kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, Allah mahu mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (Al-Rūm, 30: 41).
Golongan perosak ini dikenali sebagai mufsidūn yakni mereka yang melakukan kerosakan di muka bumi tetapi berselindung di sebalik retorik keamanan dan pembebasan. Di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan golongan mufsidūn ini dalam ayat 11-12 Surah al-Baqarah tentang bagaimana mereka membuat kerosakan namun menganggap diri mereka adalah orang-orang yang melakukan kebaikan.
Didorong oleh kecintaan melampau terhadap kuasa dan harta dunia (hubb al-dunya), golongan mufsidūn sanggup melampaui batas sehingga nyawa manusia diperlakukan seolah-olah tiada nilai. Keadaan ini bukan sahaja menzahirkan kezaliman, tetapi juga menggambarkan hati yang telah mati rasa kemanusiaan dan rahmah yang menjadi asas kejadian manusia.
Bukan sekadar nyawa insan yang tidak berdosa menjadi korban di tengah-tengah ketamakkan manusia, konflik ini bahkan telah menyebabkan kejutan dan kelumpuhan ekonomi kepada seantero dunia. Kesan sekatan pengeluaran minyak mentah dan kemusnahan fasiliti pengeluaran minyak telah menyebabkan berlakunya defisit minyak mentah. Sekali gus menyebabkan kenaikan kos bagi bahan api seperti petrol dan diesel yang mendorong kenaikan kos pengangkutan memandangkan hampir semua kegiatan logistik bergantung kepada bahan api.
Akibatnya, kos pengeluaran dalam pelbagai sektor mengalami kesan peningkatan. Bagi perniagaan yang terkesan, mereka mula memindahkan kos tambahan ini kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan demi kelangsungan. Keadaan ini mencetuskan fenomena inflasi berasaskan kos (cost-push inflation). Kuasa membeli isi rumah semakin mengecil dan memberi kesan yang lebih besar kepada isi rumah yang berpendapatan rendah.
Ketika ini, langkah-langkah menangani krisis tenaga lebih kepada menahan atau menangguh kejutan yang sebenar. Sebagai contoh, pendekatan mengawal harga dan menambah subsidi tenaga yang mana turut dilaksanakan oleh Malaysia dan Indonesia. Begitu juga menggunakan rizab minyak kecemasan sebagai penampan bagi menambah bekalan minyak global. Negara-negara Agensi Tenaga Antarabangsa (International Energy Agency, IEA) misalnya telah bersetuju untuk melepaskan 400 juta tong minyak daripada rizab kecemasan yang juga pengeluaran stok terbesar dalam sejarah agensi tersebut.
Adapun demikian, pendekatan-pendekatan ini bersifat jangka pendek. Sekiranya konflik di Timur Tengah berlanjutan, negara yang menambah subsidi akan menanggung beban fiskal yang tinggi manakala rizab kecemasan semakin mengurang di samping kos pembelian semula minyak yang tinggi untuk memenuhi rizab selepas tamat krisis.
Lebih daripada sekadar ancaman kelumpuhan kegiatan ekonomi, krisis tenaga dalam jangka masa panjang boleh memberi kesan kepada kesejahteraan sosial. Tekanan kewangan yang diakibatkan daripada penutupan perniagaan, kehilangan pekerjaan dan kuasa membeli yang semakin lemah secara berpanjangan boleh menjejaskan kesihatan mental, hubungan kekeluargaan dan kestabilan masyarakat. Ini berlaku apabila keperluan asas menjadi semakin sukar dipenuhi dan fokus kehidupan bukan lagi tentang pembangunan diri, sebaliknya beralih kepada kelangsungan hidup.
Bukan sahaja golongan berpendapatan rendah yang terkesan dengan situasi ini, bahkan mereka yang berada dalam kumpulan kelas menengah juga mula ”jatuh ke bawah” apabila kuasa membeli semakin kurang, ditambah dengan ketiadaan bantuan khas bagi golongan pertengahan ini. Akibatnya, jurang di antara golongan kaya dan miskin menjadi semakin melebar, sekali gus mencabar konsep keadilan sosial dalam masyarakat.
Lebih membimbangkan apabila tekanan ekonomi yang berpanjangan berupaya untuk menggugat kepercayaan masyarakat terhadap institusi dan pemerintahan, sekali gus yang merisikokan kestabilan politik negara. Ketegangan sosial yang meningkat akibat rasa tidak puas hati turut meningkatkan risiko kekacauan dan jenayah yang menggugat keamanan negara.
Inilah antara kesan penggandaan kerosakan yang dilakukan oleh golongan mufsidūn yang menyebabkan keruntuhan tamadun manusia apabila bertindak mengikut nafsu dan sesuka hati. Malangnya, dalam konteks negara ini, telah ada sebahagian daripada masyarakat yang mula menunjukkan sifat-sifat untuk merosakkan keamanan dan kesejahteraan negara dan masyarakat.
Ini dilakukan melalui undang-undang yang dikuatkuasa hanya untuk golongan tertentu, rasuah dan pecah amanah yang berleluasa, fitnah menjadi makanan harian, perlakuan maksiat secara terang-terangan dan menolak nasihat pihak agama yang berautoriti. Perbuatan-perbuatan ini hanya akan melemahkan Malaysia dan menjerumus negara ke dalam kegelapan dan kemusnahan.
Krisis tenaga ini seharusnya mengingatkan kita agar tidak mengangkat pemikiran materialistik dan sifat haloba sebagaimana yang ditonjolkan oleh golongan mufsidūn dalam usaha membina negara yang maju dan berkuasa. Hal ini demikian kerana kemajuan teknologi dan ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada nilai kemanusiaan serta pertimbangan etika. Membayar harga kekayaan dengan nyawa manusia tidak menjadikan kita “berkuasa,” sebaliknya membentuk kita sebagai manusia yang “tidak lagi manusia” yakni manusia yang kehilangan pertimbangan moral dan terhakis nilai kemanusiaannya.
Krisis yang berlaku ini juga seharusnya membuka mata bahawa kerosakan yang berpunca daripada tangan manusia akan terus membiak dan mencetuskan kemusnahan yang lebih besar terhadap makhluk dan alam sekitar. Justeru, hendaklah kita menjauhkan diri daripada mempunyai sifat yang memusnahkan, merosakkan dan menghancurkan yang didorong oleh ketamakkan dan penting diri. Ini kerana mereka yang melampaui batas dan menzalimi sesama manusia tidak akan terlepas daripada menerima azab yang pedih sebagaimana peringatan Allah SWT dalam Surah Al-Shūrā (42: 42).
Krisis ini turut menuntut satu renungan yang jujur tentang ke arah manakah kemajuan yang sedang dikejar? Ini kerana, sekiranya kemajuan itu dibina atas penderitaan orang lain, maka ia bukanlah satu kemajuan yang hakiki, tetapi kemunduran yang diselindungkan dengan angka dan kuasa. Dunia hari ini sebenarnya tidak kekurangan sumber, tetapi kekurangan nilai rahmah dan keadilan dalam mengurusnya. Ukuran sebenar kejayaan bukanlah pada sejauh mana manusia menguasai dunia, tetapi sejauh mana kita memelihara nilai kemanusiaan dalam usaha tersebut.

