
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah mengadakan Expert Consultation (EC) dengan tema “COVID-19: Islamic Responses” secara dalam talian yang disiarkan secara langsung dalam pelbagai pentas media sosialnya pada Rabu, 17 Mac 2020.
Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, menyampaikan ucap tama yang antara lainnya menyentuh respons Islami terhadap pandemik COVID-19 menurut panduan al-Qur’an dan al-Sunnah; suruhan Rasulullah s.a.w. supaya tidak keluar atau masuk kawasan wabak; pelaksanaan amal ibadat dalam keadaan wabak dan darurat; keperluan mentaati pihak berkuasa dalam pelaksanaan kuarantin dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP); cabaran dan impak pandemik ke atas pelbagai sektor; dan pengajaran dan pembelajaran dalam talian.
Selaras dengan itu, EC COVID-19 bertujuan mendedah dan memaklumkan kepada awam bagaimana dasar-dasar awam, usaha negara, dan inovasi sektor awam dan swasta dirangka dan dilaksanakan untuk menjaga maslahah umat dan melindungi kesejahteraan bersama. Seramai tujuh (7) orang panelis pakar dengan pelbagai latar belakang dan bidang termasuklah epidemiologi, undang-undang, industri teknologi tinggi, pentadbiran pendidikan, pendigitalan ekonomi, industri pembuatan nanoteknologi, dan pelancongan terlibat memberikan input berkenaan impak pandemik ke atas sektor-sektor awam dan swasta dan pelbagai inisiatif dan inovasi yang telah muncul dalam memastikan kesejahteraan awam, kelangsungan pekerjaan, dan penyesuaian dengan norma baharu