
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan Program Muzakarah Pakar bertajuk “Kesihatan Pekerjaan Menurut Islam” pada 16 November 2021 yang menampilkan pakar-pakar berwibawa di dalam bidang-bidang seperti pengajian Islam, dan dalam bidang berkaitan perubatan dan kesihatan pekerjaan. Program ini telah membincangkan: (i) pandangan dan tuntutan Islam di dalam mewujudkan pekerjaan yang sihat dan selamat; (ii) risiko psikososial pekerjaan ketika musim pandemik COVID-19 dan kaitannya dengan kesihatan mental para pekerja; dan (iii) saranan bagi mengukuhkan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam organisasi di negara ini. Program muzakarah pakar ini berlangsung selama setengah hari secara dalam talian dan ia turut disiarkan secara langsung kepada umum melalui laman web TVIKIM dan Laman Facebook IKIM.
Program ini tercetus sebagai satu usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ketika musim pandemik COVID-19 ini, aspek keselamatan dan kesihatan di kalangan para pekerja telah terjejas secara amat kritikal. Berlaku peningkatan yang amat ketara dari segi gangguan emosi dan mental, serta penghayatan kepada aspek keselamatan dan kesihatan telah merudum lantaran jangkitan berlaku secara tidak terkawal. Situasi ini telah mencetuskan kegusaran dan gangguan perasaan yang berlaku pada skala besar dalam kelompok masyarakat kini. Impak besar risiko ini turut menjejaskan bagaimana organisasi dan golongan pekerja berfungsi.
Justeru, beberapa saranan telah dikemukakan dalam program ini. Di antaranya, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau JKKP perlu berusaha menggalakkan aktiviti pendidikan ke arah meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam organisasi masing-masing. Pengetahuan dan kemahiran berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu digalakkan dari semasa ke semasa. Laksanakan aktiviti dan program sokongan serta berani bertindak sebagai kumpulan pelaksana dan pembuat dasar. Pihak majikan perlu melaporkan sebarang insiden berkaitan hazard pekerjaan, dikenal pasti, dan direkod untuk dimaklumkan kepada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi tujuan pencegahan dan pematuhan intervensi.