Apabila jalanraya-jalanraya negara serata dunia dipenuhi oleh umat Islam yang bangkit menentang penerbitan filem ‘Innocence of Muslims’, ada segelintir pihak yang mempertikaikan kewajaran untuk bertindak sedemikian rupa. Ada juga yang bertanya sama ada tindakan yang diambil itu sesuatu yang bersifat Islamik atau tidak. Dalam menjawab persoalan ini, yang jelas adalah kemarahan umat Islam itu adalah satu bentuk tindakan yang bersifat rasional. Nilai rasional kepada tindakan itu terletak pada tindakbalas yang sememangnya sudah dijangka akan terjadi apabila seorang Insan yang sangat dimuliakan dan dikasihi oleh umat Islam seluruh dunia dicerca dan dicalar keperibadiannya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Tindakan individu-individu yang terlibat dalam penerbitan filem tersebut bukan hanya satu tindakan yang bertujuan untuk mencemar dan memburuk-burukkan imej Rasulullah SAW serta para Sahabat Baginda malah masyarakat dunia dibohongi dengan maklumat-maklumat palsu dan yang berniat jahat.
Persoalan juga timbul apabila kemarahan umat Islam dunia tertumpu kepada Amerika Syarikat. Bendera AS dibakar dan Kedutaan mereka menjadi sasaran kumpulan penunjuk perasaan. Mengapa negara itu yang menjadi fokus dan bukan hanya terhad kepada Nakoula Basseley, iaitu individu yang menerbitkan filem berkenaan? Ramai yang mengaitkan tindakan mencemar imej Rasulullah SAW ini sebagai kesan daripada prinsip kebebasan yang diperjuangkan oleh negara-negara Barat dan diterajui oleh Amerika Syarikat. Selain daripada itu, Dasar Luar AS terhadap negara-negara Islam terutamanya di Timur Tengah juga dilihat sebagai penyumbang kepada kebencian yang meningkat di kalangan umat Islam ketika ini.
Selama berpuluh tahun, Dasar Luar Amerika Syarikat terhadap isu seperti perjuangan rakyat Palestine dan sikap lepas tangan negara tersebut mengenai keganasan rejim Israel terhadap masyarakat Palestine menyebabkan umat Islam melihat ianya sebagai satu bentuk ketidak adilan dan penindasan. Keadaan ini ditambah burukkan lagi dengan peristiwa 11 September 2001 dan kempen anti keganasan Amerika Syarikat yang memperlihatkan negara tersebut menghantar tentera dan menyerang Iraq serta Afghanistan atas tiket menghapuskan rangkaian Al-Qaeda yang diketuai oleh Osama Bin Laden. Tindakan AS ini bukan sahaja mengakibatkan kematian ratusan ribu orang awam tetapi agama Islam juga menjadi mangsa. Bermulalah istilah Islamofobia dan radikal Islam serta banyak lagi konotasi negatif yang membawa kepada imej dan pandangan buruk masyarakat dunia tentang Islam.
Seharusnya penindasan secara tidak langsung ini difahami sebagai satu faktor penyumbang kepada kemarahan memuncak umat Islam serata dunia apabila timbul satu lagi provokasi yang sengaja ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menghina peribadi Rasulullah SAW. Walaupun begitu, umat Islam harus sedar bahawa provokasi sebegini rupa akan berterusan dilakukan oleh individu-individu yang sememangnya mahu mengiakan bahawa Islam sebagai satu agama yang membenarkan dan menggalakkan umatnya untuk bertindak secara agresif. Kematian dan kecederaan yang berlaku hasil dari tunjuk perasaan dan demonstrasi yang bersifat ganas baru-baru ini harus dinilai semula kewajarannya walaupun dilakukan dalam keadaan menzahirkan kebenciaan terhadap pihak yang sememangnya sengaja melakukan provokasi tersebut.
Sudah sampai masanya umat Islam menunjukkan bahawa kita adalah umat yang jauh lebih bertamadun dari apa yang mereka sangkakan. Protes dan penentangan boleh dilakukan secara aman dan dalam keadaan di mana Islam tidak diletakkan di dalam neraca petimbangan sebagai agama yang menggalakkan perlakuan ganas dan radikal. Di ketika masyarakat dunia sedang peka tentang Islam, peluang perlu diambil dengan menyediakan penerangan dan maklumat tentang Islam yang sebenar. Sebagai contoh, di United Kingdom, organisasi ‘Discover Islam’ telah mengambil inisiatif untuk memberi beribu-ribu naskhah Al-Quran dan buku-buku bacaan mengenai peribadi dan sirah Rasullualah SAW secara percuma sebagai inisiatif menyebarkan maklumat sebenar tentang Islam dan tentang Nabi Muhammad SAW.
Dalam menzahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW, perlu juga diteliti kembali akhlak dan peribadi Baginda dalam menghadapi golongan kafir yang sentiasa cuba untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan maruah Rasulullah SAW. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa pada suatu ketika datang seorang Yahudi menuntut hutang daripada Rasulullah s.a.w dengan berkata: “Kamu dari Bani Abd. Manaf adalah bangsa yang suka melambat-lambatkan pembayaran hutang”. Ketika itu Umar bin Al-Khattab ada bersama dan dia hampir-hampir memenggal leher lelaki yahudi itu. Lalu Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: “Wahai Umar! Sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik”. Perlakuan dan sifat pemaaf yang ditunjukkan Raulullah SAW ini telah menyebabkan lelaki yahudi itu memeluk Islam setelah melihat tanda-tanda kenabian pada wajah dan akhlak Baginda apabila diuji sedemikan rupa. Sirah Rasulullah SAW merupakan rujukan utama yang seharusnya diteliti dan diteladani oleh umat Islam dalam menghadapi provokasi musuh-musuh Islam yang senantiasa ingin meletakkan Islam di atas penilaian negatif masyarakat dunia.
Sewajarnya, pihak yang menilai tindakan umat Islam juga perlu tahu bahawa Islam sebagai addin bermaksud ianya bukan sahaja satu agama bagi umat Islam tetapi merupakan satu cara hidup. Apabila Islam dicerca dan insan agung bernama Muhammad SAW dikeji dan dimalukan sedemikian rupa, sudah pasti umatnya yang begitu menyayangi dan menyanjungi Baginda akan bertindak untuk memelihara kehormatan dan peribadi beliau. Nilai Islam sebagai agama bukan seperti bagaimana masyarakat Barat meletakkan agama di dalam kerangka peribadi kehidupan masing-masing. Islam adalah kehidupan bagi umatnya, justeru pembelaan terhadap Islam dan Rasulnya ini adalah satu manisfestasi kecintaan dan ibadah seorang hamba kepada Allah SWT. Walaupun begitu, umat Islam haruslah memastikan bahawa sebarang tindakan yang dilakukan dalam menghadapi provokasi yang sengaja ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu, akan menjadikan Islam dipandang lebih mulia dan dihormati dan bukan sebaliknya.