Jika usia kemerdekaan negara mahu dibandingkan dengan usia seorang insan, maka dapatlah disimpulkan bahawa negara telah pun melewati tahap kematangan dan kedewasaan yang sempurna. Tempoh lima puluh tahun bagi seorang insan lazimnya telah meletakkan dirinya pada tahap kehidupan yang tertentu. Pelbagai kesulitan yang ditempuh sepanjang kehidupan selayaknya menjadikannya manusia yang berhemah, cekal dan berkeperibadian unggul. Pun begitu, semua kelebihan ini hanya akan dimiliki seandainya usia separuh abad itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan pencapaian diri melalui penguasaan ilmu dan kemahiran penting yang diperlukan.
Bagi sebuah negara seperti Malaysia pula, tempoh kemerdekaan yang agak panjang ini telah menyaksikan pelbagai bentuk dan peringkat perjuangan sehinggalah Malaysia dapat berkembang maju seperti hari ini. Antaranya termasuklah perjuangan dan usaha meneguhkan aliran siasah dan pentadbiran negara, memupuk integrasi nasional dan semangat kebangsaan yang tinggi, membasmi kemiskinan dan menyeimbangkan kedudukan masyarakat serta ekonomi antara kaum dengan membentuk dasar yang khusus, memantapkan sistem pendidikan, menangani pelbagai bentuk cabaran getir seperti kemelut rusuhan antara kaum, ancaman komunis, dadah dan sebagainya. Begitulah pula usaha melaksanakan pelbagai dasar bagi memastikan negara mencapai pembangunan yang memberansangkan bagi kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan rakyat.
Kegigihan dan ketulenan semangat dalam perjuangan membangunkan bangsa dan negara barangkali disebabkan generasi pada zaman tersebut masih dapat menghayati keperitan dan keperihan perjuangan menuntut kemerdekaan. Betapa banyak nyawa yang terkorban dan air mata yang tumpah kerana mahu memerdekakan tanah air daripada cengkaman dan penindasan penjajah. Perjuangan ikhlas pejuang bangsa antaranya Datuk Bahaman, Tok Ku Paloh, Tok Gajah, Tok Janggut, Mat Kilau, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Lela, Haji Abdul Rahman Limbung, Rosli Dhobi – sekadar menyebut beberapa nama – masih segar dalam ingatan rakyat ketika itu.
Demikianlah pula seterusnya perjuangan Dato’ Onn bin Jaafar dan mereka yang seangkatan dengannya seperti Pendeta Za`ba. Perjuangan selanjutnya diteruskan oleh Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra (1903 – 1990) dan pemimpin-pemimpin yang membantu beliau dalam perjuangan tersebut dan mentadbir negara selepas kejayaan mencapai kemerdekaan. Memetik kata-kata penuh makna Perdana Menteri Pertama Malaysia itu dalam rundingan kemerdekaan di London, England pada 18 Januari – 8 Februari 1956, “Saya harap persidangan ini akan dicatat dengan huruf-huruf emas bukannya dengan lumpur. Sekarang inilah masanya kerajaan dan rakyat British menunjukkan keikhlasan mereka kepada Malaya dengan mengambilnya sebagai rakan kongsi yang setaraf dalam keluarga Komanwel yang besar itu….”
Kata-kata ini menggambarkan harapan dan keyakinan yang tinggi bahawa Malaya mampu untuk mentadbir negara sendiri tanpa campur tangan dari luar dan kelak akan mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Kegigihan perjuangan pemimpin terdahulu membawa makna yang jelas bahawa kita harus terus mengisi kemerdekaan yang diraih hasil pengorbanan yang bukan sedikit. Juga dengan isyarat yang penting bahawa jika sesaat pun kita lalai, maka keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang dimiliki akan lenyap begitu sahaja.
Meskipun kita berbangga dengan pencapaian negara hari ini khususnya apabila negara menyambut kemerdekaan jubli emasnya tahun ini, namun seharusnya juga kita menyedari hakikat bahawa ia tidak menggambarkan kejayaan negara dalam erti kata yang sebenarnya. Masih terlalu banyak cabaran yang perlu diatasi dan usaha yang perlu digandakan bagi mencapai maksud kemerdekaan serta kejayaan yang hakiki. Pada hari ini, kita dapat melihat bagaimana meruncingnya permasalahan jenayah dan salah laku, tipisnya semangat kebangsaan dan rasa cinta akan negara serta lemahnya daya juang di kalangan rakyat. Semuanya ini menggambarkan hakisan nilai dan jati diri yang jika tidak dibendung, akan menggugat kemerdekaan yang dikecapi.
Permasalahan salah laku misalnya turut membabitkan golongan muda, remaja dan kanak-kanak, iaitu kumpulan yang akan menjadi penggerak dan pemimpin negara masa hadapan. Selain penglibatan dalam kesalahan seperti membunuh, mencederakan, rompakan, rogol, penagihan dadah, lumba haram dan sebagainya, sebagaimana dilaporkan pihak berkuasa sebelum ini, kini golongan muda itu pula terdedah pada gejala rasuah. Lebih mengejutkan kerana golongan muda yang terbabit merupakan pelajar institut pengajian tinggi. Hasil penyelidikan sebuah universiti tempatan pada tahun 2003 menunjukkan 30.5 peratus pelajar universiti sanggup menerima rasuah sekiranya mempunyai peluang. Kita boleh sahaja berpandangan sinis atau mengambil mudah terhadap hasil penyelidikan ini. Namun ia sebenarnya merupakan penunjuk yang jelas bahawa persekitaran yang melingkungi pelajar-pelajar berkenaan selain nilai dan sikap masyarakat memainkan turut menyumbang kepada situasi yang berlaku ini.
Sikap serta nilai mementingkan kebendaan kerana dianggap penentu kejayaan dalam kehidupan perlu dihakis sehabis daya. Jika amalan dan budaya ini dibiarkan berleluasa, maka golongan muda akan membesar dengan nilai kebendaan dan mentafsir apa jua cara memiliki harta kebendaan sebagai dibenarkan hatta melalui amalan rasuah. Lebih memudaratkan daripada itu, perasaan cinta akan harta tidak lagi dapat dibendung dan bermulalah bibit-bibit keruntuhan serta kemusnahan bangsa. Al-Qur’an telah memberikan peringatan tentang kemudaratan yang diakibatkan oleh sifat terlalu tamak dan cinta akan harta sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah al-Fajr ayat 15-20. Dalam hubungan ini, kita wajar merujuk apa yang pernah berlaku dalam sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya. Kerajaan `Abbasiyyah yang pernah melalui tempoh kegemilangan serta zaman keemasan akhirnya runtuh dan salah satu faktornya disebabkan pemimpinnya terlalu cinta akan harta dan dibelenggu sifat bakhil. Ini sebagaimana dikisahkan al-Jahiz dalam bukunya yang masyhur, “Al-Bukhala'”. Demikian juga dengan kerajaan al-Murabitun di Sepanyol yang dilanda kelemahan kerana pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan terlalu asyik dengan kemewahan dan kebendaan serta mementingkan diri sendiri. Ia seterusnya menyebabkan keruntuhan akhlak di kalangan mereka serta menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap negara dan rakyat. Kesudahannya, pada 1145 Masihi, kerajaan ini berkubur setelah dilanda pemberontakan dan pelbagai masalah dalaman.
Demikian pula dalam soal perpaduan yang merupakan salah satu teras utama kekuatan negara. Sejarah kejatuhan empayar Melayu Melaka di tangan penjajah Portugis pada tahun 1511 yang diakibatkan oleh keadaan kucar-kacir dan ketiadaan perpaduan di kalangan masyarakat Melayu wajar dijadikan iktibar. Dengan sifat sejarah yang sentiasa berulang, maka kita perlu sentiasa mengambil langkah berwaspada. Negara yang dicintai ini perlulah dibangunkan bukan hanya dari aspek fizikal semata-mata tetapi lebih penting lagi, dari sudut pembangunan insan. Pembangunan insan yang berpandukan syarak bagi memupuk keimanan dan akhlak yang teguhlah yang akan mencorakkan hala tuju pembangunan serta kemajuan yang dicapai. Malah, insan yang membangun jiwa dan keperibadiannya berupaya memimpin masyarakat untuk memanfaatkan kemajuan yang telah dicapai bagi mencipta lebih banyak kejayaan demi mengisi kemerdekaan. Selain itu, insan yang memiliki keteguhan iman, jiwa dan akhlak inilah yang akan berjuang mempertahankan agama, bangsa dan negara daripada ancaman musuh serta sanggup terkorban kerananya. Dalam hubungan ini, wajar kiranya direnungi nasihat yang diberikan oleh Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III berhubung dengan pertahanan kedaulatan negara, berikutan usaha pendudukan British di Terengganu. Tok Ku Paloh merupakan `ulama’ yang memainkan peranan besar dalam pembentukan masyarakat serta negeri Terengganu pada kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, menasihati sultan supaya menegakkan perkara-perkara yang dituntut agama di kalangan rakyat dan berdoa supaya Allah memberikan perlindungan kepada negeri serta rakyat daripada ancaman-ancaman luar. Dalam nasihatnya itu, beliau mengatakan, “…tiadalah sekali-kali Allah taslitkan (beri kuasakannya) kufar atas Muslimin melainkan sebab mereka itu menghilangkan huku (hak-hak) shariah dan tiada bersungguh-sungguh mereka itu berpegang atas shariah yang mutaharak (undang-undang Islam suci)… Maka wajiblah pada sekarang ini Seri Paduka anakanda berkuat pada menzahirkan agama dan membatalkan segala yang mungkar (yang jahat)…. Jangan sesekali tiada hirau….”
Sehubungan itu, dalam kegembiraan menyambut ulang tahun kemerdekaan tahun ini, wajarlah kita bermuhasabah sama ada kita benar-benar telah berjaya memerdekakan jiwa, pemikiran dan sikap daripada belenggu penjajahan selain juga menilai sama ada usaha yang telah dilaksanakan selama ini bagi mengisi kemerdekaan telah benar-benar memenuhi keperluannya.