PERUTUSAN KHAS
YBHG. PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM BIN MOHAMED ADIL
KETUA PENGARAH IKIM
SEMPENA
SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1445H/ 2024


Dan Salam Aidilfitri
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.
- Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi- tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaan dan inayahNya, kita dapat menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh kemuliaan dan maghfirah kepada Allah Taala.
- Apabila terbitnya fajar 1 Syawal, seluruh umat Islam meraikan sambutan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan sebagai simbolik kemenangan kita bermujahadah berjihad melawan godaan hawa nafsu. Tentunya setiap dari kita dapat merasai getaran takbir raya yang mengagungkan kebesaran Illahi.
- Menjelang Syawal yang mulia di tahun 2024 Masihi bersamaan 1445 Hijrah, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan batin kepada seluruh umat Islam di Malaysia secara am dan kepada warga Institut Kefahaman Islam Malaysia khasnya. Aidilfitri adalah hari meraikan kemenangan dan sebagai ganjaran kepada mereka yang sabar dan taat beribadah sepanjang berada di madrasah Ramadan.
- Sesungguhnya, madrasah Ramadan adalah platform terbaik untuk mentarbiah rohani dan jasmani kita dalam memuhasabah diri melihat sejauhmana ketakwaan seseorang hamba dalam mentaati perintah Allah SWT. Berpuasa bukan sekadar tidak makan dan minum atau mengekang hawa nafsu, bahkan dari sudut spiritualnya adalah mendidik jiwa menjadi insan madani yang mempunyai ciri-ciri manusiawi yang tinggi akhlak dan budi pekerti.
- Dalam perutusan kali ini, saya ingin menyeru kepada seluruh warga IKIM agar menyambut hari kemenangan ini dengan penuh perasaan kesyukuran dan rasa kehambaan kepada Allah SWT. Justeru, jangan dilupa kepada mereka yang kurang bernasib baik, fakir miskin dan anak yatim. Selain meraikan kegembiraan lebaran bersama orang-orang tersayang, berkongsilah keseronokan ini melalui amalan sedekah jariah kepada golongan yang memerlukan.
- Alhamdulillah, saban tahun Radio IKIMfm menyajikan rancangan-rancangan Khas yang Istimewa untuk santapan halwa telinga para pendengar sekalian. Pelbagai genre rancangan khas Aidilfitri diterbitkan yang akan mewarnai kemeriahan hari raya tuan-puan. Rancangan-rancangan tersebut antaranya ialah rancangan Raudah Syawal bersama Ustaz Muhadir Joll, Gemersik Aidilfitri bersama Aeydan, Drama Khas Semerdu Kasih Ramadan, Bijak Raya, Pantun Lebaran, Eksplorasi Minhaj Raya, Tazkirah Syawal, Laporan Khas Edisi Aidilfitri dan Banyak lagi. Untuk mengetahui lebih lanjut rancangan-rancangan radio boleh dapatkan di laman web radio IKIMfm.
- Dalam kesempatan ini, saya juga ingin berpesan kepada semua muslimin dan muslimat, sambil kita bergembira di hari raya, teruskanlah tradisi ziarah menziarahi sanak saudara, sahabat handai, rakan taulan dan jiran tetangga. Gunakanlah peluang yang datang sekali sekala ini untuk mengeratkan silaturahim sesama kita. Selain itu juga, dalam kita melaksanakan amalan mulia ini, peliharalah adab dan akhlak bertandang di rumah orang.
- Begitu juga kita sebagai tuan rumah, sambut dan terimalah tetamu dengan hati yang lapang dan seikhlasnya. Mudahan-mudahan dengan kehadiran sanak saudara, rakan taulan yang jauh dan dekat akan membawa lebih besar rahmat dan barakah buat kita.
- Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu memperoleh rahmat.”
- Pendekatan hidup dalam keadaan aman dan damai seperti yang ditekankan dalam konsep Fiqh al-Ta’ayush (peaceful co-existence) dan Malaysia MADANI hendaklah diterapkan dalam semua lapisan masyarakat demi menanamkan keharmonian sesama manusia. Ini juga selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat Ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”
- Pada bulan Ramadan ini juga, kita diduga dengan beberapa isu panas yang jika tidak ditangani dengan sebaiknya, mampu memecahbelahkan dan mengganggu-gugat keharmonian yang telah kita kecapi sejak sekian lama. Oleh yang demikian, elakkanlah fahaman keterlaluan atau melampau (ghuluw) dalam memahami dan mengambil sesuatu tindakan. Ghuluw dalam beragama adalah sikap melampau batas dalam perintah agama. Islam menganjurkan umatnya bersederhana dalam semua aspek kehidupan, termasuklah percakapan dan perbuatan.
- Sama-sama kita raikan hari raya ini dengan saling bermaafan sesama kita. lupakan segala sengketa, persangkaan buruk dan perbuatan yang boleh menimbulkan perbalahan. Berwaspada dalam setiap tulisan di media sosial kerana walaupun tidak bersuara tetapi jika tersilap kata boleh membawa mudarat kepada kita. Lakukanlah perbuatan dan perkara yang disukai agama, sebaliknya tinggalkan semua perbuatan yang tercela. Natijah tarbiah sepanjang Ramadan dapat kita lihat dari setiap amal dan perbuatan kita pada hari ini dan hari-hari seterusnya. Mudah-mudahan kita sentiasa tergolong dalam kalangan insan-insan yang mendapat paying Rahmat Allah taala.
- Akhir kata, kekali lagi, saya ingin mengambil peluang dan kesempatan ini mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, maaf Zahir dan batin kepada seluruh muslimin dan muslimat tidak kira di mana jua berada.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil hamd.
Wabillahi al-taufik walhidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh