Ramai bakal terkesan dengan kenaikan baharu Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus. Walaupun kenaikan ini di luar jangkaan ramai penganalisis ekonomi, namun ianya adalah wajar jika dilihat kepada kadar inflasi yang dihadapi oleh negara dan potensi pemulihan ekonomi semasa. Kesedaran terhadap sejauh mana kesan domino kenaikan ini kepada sistem perbankan, ekonomi negara dan perbelanjaan isi rumah amat penting bagi memastikan kebijaksanaan dalam berbelanja.
Selain berhadapan dengan masalah sedia ada seperti kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan dan bahan keperluan asas, kini mereka terpaksa bayar lebih pula. Baki wang boleh belanja menyusut dan sebahagiannya terjatuh dalam kategori miskin apabila pendapatan sedia ada tidak mampu menampung perbelanjaan. Apatah lagi, negara juga kini dihimpit dengan fenomena miskin bandar iaitu pendapatan sedia ada tidak mencukupi bagi menampung peningkatan kos sara hidup yang tinggi di bandar-bandar besar.
OPR merupakan kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada bank-bank komersial sebagai asas faedah pinjaman wang sesama institusi kewangan dan pelanggan. Apabila BNM menaikkan kadar OPR, ia akan meningkatkan kos pinjaman antara bank di bank-bank komersial atau antara bank dan pelanggan. Berkadar terus dengan kenaikan OPR, peminjam sedia ada kini berhadapan dengan peningkatan jumlah bayaran balik pinjaman terutama pinjaman perumahan dan hartanah. Polisi dan dasar kewangan ini pastinya tidak rahmah kepada usaha kerajaan mengurangkan kos, membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Kadar OPR terendah yang pernah direkodkan ialah 1.75 peratus (Julai 2020) dan sejak itu, telah berlaku peningkatan sebanyak 25 mata asas setiap kali dinaikkan sehingga terkini (May 2023) mencecah 3.00 peratus. Pertimbangan menaikkan kadar OPR adalah untuk menyeimbangkan edaran wang dalam ekonomi bagi menghadapi inflasi. Malaysia masih mengekalkan kadar inflasi bawah 4 peratus iaitu pada kadar 3.7 peratus pada Februari 2023 berbanding Indonesia (5.3 peratus), Singapura (6.55 peratus), Thailand (5 peratus), Amerika Syarikat (6.4 peratus), Jepun (4.3 peratus) dan UK (10.1 peratus) pada Januari 2023. Peningkatan harga yang tidak seiring dengan pengeluaran, kesan domino kenaikan kos pengeluaran, kos tenaga kerja di samping tekanan akibat konflik dan sekatan ekonomi di peringkat antarabangsa menjadikan inflasi terus memuncak.
Inflasi menandakan bahawa wang dalam kitaran ekonomi tidak seimbang dan melebihi barangan yang ditawarkan. Manakala OPR pula merupakan instrumen kawalan atau kadar asas yang ditetapkan oleh bank pusat selepas wang dicetak dan diedarkan bagi mempengaruhi jumlah wang yang beredar dalam ekonomi. Inflasi dikira berdasarkan purata kumpulan barangan keperluan asas atau Indeks Harga Pengguna (IHP). Inflasi boleh dianggap sebagai pencuri senyap yang meragut kuasa beli pengguna tanpa disedari.
Selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi pasca-pandemik wang yang berada dalam kitaran ekonomi telah mengejar barangan dan bahan keperluan yang masih terhad. Apabila permintaan berlaku secara mendadak, manakala penawaran dan pengeluar pula terhad menyebabkan ketidakseimbangan berlaku dalam pasaran dan akhirnya harga terus meningkat sedangkan stok bekalan pula tidak mencukupi. Kenaikan harga bahan merentasi pelbagai industri juga akhirnya menambah kos pengeluaran serta barang yang dihasilkan terpaksa dijual lebih mahal.
OPR dinaikkan untuk menggalakkan simpanan, mengurangkan halaju kitaran dan menarik sebahagian wang keluar dari kitaran ekonomi. Kesan langsung kenaikan OPR ini ialah sektor perumahan akan terjejas kerana kos pinjaman kini menjadi lebih mahal. Bank juga akan mengenakan penilaian dan penarafan yang lebih ketat bagi kelulusan pinjaman kerana kemampuan membayar semakin menguncup disebabkan inflasi dan kelembapan ekonomi.
Setelah menyaksikan perkembangan sebelum ini, keputusan menaikkan OPR diambil dengan memahami bahawa industri berkaitan pembinaan, perumahan dan produk kewangan berkaitan akan menguncup dan peminjam pinjaman perumahan sedia ada akan berhadapan dengan kenaikan bayaran ansuran perumahan.
Keberkesanan dan impak kenaikan OPR berbeza-beza terutamanya apabila besar jurang kekayaan rakyat dan taraf hidup. Makin besar jurang pendapatan, makin perlahan impaknya. Golongan berpendapatan rendah dan miskin pastinya akan teruk terjejas berbanding golongan pertengahan dan kaya. Tambahan pula, pemilikan ekuiti dan perniagaan tidak seimbang antara kaum di Malaysia bakal mengundang ketegangan sosioekonomi apabila ada isu tercetus berpotensi memburukkan lagi usaha pemulihan.
Kesedaran perlu diterapkan agar perbelanjaan berhemah mengikut keperluan, bukan kemahuan dibudayakan. Budaya hemah berbelanja ini mampu menarik sedikit demi sedikit harga barangan dan perkhidmatan diturunkan seawal mungkin sebelum menular ke dalam sektor ekonomi lain. Inisiatif dan insentif perlu diberikan bagi meningkatkan produktiviti dalam pelbagai bidang terutamanya sektor pertanian, penternakan dan pengeluaran makanan bagi memulihkan rantai pembekalan keperluan asas seterusnya melicinkan usaha menstabilkan harga.
Masih banyak bidang yang memerlukan pekerja seperti pembinaan, perladangan dan perkhidmatan sivil, baik pulih kayu, besi dan jentera. Sejak sempadan negara dibuka, berpusu-pusu pekerja asing datang ke Malaysia untuk bekerja dan negara masih memerlukan hampir 550 ribu pekerja asing lagi. Malas tidak mahu bekerja atau berniaga kerana takut rugi, panas, penat, susah, terpaksa berdiri lama akan membuka ruang kemasukan lebih ramai pendatang asing. Budaya subsidi, santai dan leka terperangkap dalam belenggu media sosial bukan satu budaya pintar.
Semua pihak perlu sedar bahawa inflasi dan kemerosotan ekonomi luar biasa ini perlu ditangani dengan usaha dan kegigihan yang juga luar dari kebiasaan. Kerajaan perlu menubuhkan special task force rentas agensi untuk memantau kenaikan harga barangan, aktiviti penjenayah siber dan iklan skim pinjaman tidak berlesen bagi memintas golongan yang cuba mengambil kesempatan di atas keadaan. Sebahagiannya bergerak dalam kumpulan dengan menggunakan pakatan, konsortium atau persatuan pengeluar menaikkan harga barangan mereka. Tuntutan kenaikan harga perlu berasas, bukan digula-gulakan dengan sogokan atau sokongan.
Sikap nafsu nafsi dan berkepentingan sendiri tidak boleh dibiarkan berleluasa. Konglomerat yang memonopoli bekalan perlu dipanggil untuk menyumbang kembali kepada rakyat setelah sekian lama mereka mengaut keuntungan seperti syarikat berkaitan getah, kelapa sawit, beras dan perladangan. Pegawai dan wakil rakyat yang diamanahkan menjaga portfolio dan hal ehwal berkaitan perlu bijaksana dan mempunyai pelan strategik luar biasa dibahaskan bersama di Dewan Rakyat. Islam sangat mengutamakan umatnya yang berjihad mengangkat nilai murni dalam muamalat, melaksanakan transaksi dengan adil dan saksama serta mengutuk pihak tertentu memonopoli pasaran.