Agama Islam sememangnya merupakan agama yang indah. Namun cahaya keindahannya umpama permata itu sering tenggelam disebabkan akhlak dan perangai negatif umat Islam. Amalan, akhlak dan tindak tanduk umat Islam seringkali tidak seindah dan secantik seperti agamanya.
Akhlak mulia serta nilai-nilai positif telah lama hilang dalam kehidupan kita. Sebaliknya kita lebih mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan kesejahteraan orang lain. Hasad dengki seringkali menguasai diri. Kita kurang senang melihat orang lebih daripada kita.
Maka kita pun berusaha untuk menjatuhkan orang tersebut hingga sanggup meminta bantuan bomoh untuk mencapai hajat di hati. Perbuatan keji ini seringkali terjadi di kalangan orang Melayu dari zaman dahulu lagi.
Ramai daripada kita juga sudah kehilangan sikap sabar dan mudah marah. Contoh mudah yang dapat dilihat adalah semasa memandu. Semuanya dalam keadaan terkejar-kejar dan hendak cepat. Maka tidak hairanlah kemalangan jalanraya di negara ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Ramai juga yang suka bersangka buruk terhadap orang lain. Buruk sangka adalah salah satu daripada sifat-sifat mazmumah (buruk/tercela), berlawanan dengan baik sangka. Buruk sangka adalah satu daripada penyakit-penyakit hati yang amat kronik.
Apabila sifat tersebut bersarang dalam hati seseorang, ia akan menjadikan manusia itu sentiasa resah, gelisah dan tidak tenteram kerana sentiasa mencari keaiban dan kelemahan orang lain, tidak mempunyai masa untuk mengingati Allah SWT dan muhasabah diri.
Bagi yang kaya pula, mudah lupa diri, menjadi sombong, kedekut serta memandang rendah orang lain. Amat takut untuk bersedekah dan menghulurkan sumbangan untuk membantu mereka yang memerlukan. Mereka ini lebih suka menerima daripada memberi.
Mencuri, merompak dan meragut juga banyak dilakukan oleh orang Islam, contoh yang paling mudah adalah mencuri selipar di surau. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku, terutama sekali kerana ia dilakukan di tempat orang beribadat.
Sikap suka menipu dan berbohong juga terkenal di kalangan orang Islam. Ramai yang tidak kisah untuk menipu apabila berbicara mahupun berniaga sedangkan menipu merupakan dosa besar dan sifat yang paling menonjol yang dimiliki oleh orang munafik.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga macam, apabila berkata suka berdusta, apabila berjanji selalu menyalahi dan apabila diberi kepercayaan (amanah) suka khianat” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Mengapa umat Islam tidak lagi merasai dan menyedari bahawa nikmat Islam dan iman itu sebagai suatu yang agung. Mereka merasakan nikmat itu hanya diperolehi dengan keduniaan yang melingkari kehidupan mereka.
Orang Islam sendiri tidak nampak kecantikan agama Islam sedangkan agama Islam merupakan agama pilihan Allah SWT dan bukan ciptaan manusia. Umat Islam sering berbalah dan bertegang leher tentang perkara yang ranting dan yang tidak penting.
Sebaliknya yang nampak keindahan Islam itu adalah golongan di barat. Di barat mereka tidak berbincang tentang Islam seperti itu. Di Amerika Syarikat contohnya, walaupun pandangan negatif terhadap Islam sedang meningkat, namun jumlah mereka yang memeluk Islam sedang bertambah di kalangan rakyat Amerika pada hari ini.
Ini kerana gereja tidak memainkan peranan yang sepatutnya dimainkan dan mereka yang memeluk Islam mencari sesuatu yang mereka tidak mampu perolehi daripada agamanya sendiri. Menurut satu kajian, pada tahun 1994 tiga perempat atau 75% daripada mereka yang memeluk agama Islam datang dari kalangan Amerika Latin tetapi pada tahun 2000, satu pertiga pengganut agama Islam adalah dari kalangan kulit putih.
Bagi mereka yang memahami di barat, mereka melihat agama Islam sebagai satu agama moral dan spiritual yang serius. Ini yang mereka perlukan. Mereka perlukan satu agama yang berpegang teguh pada sistem moral dan spiritual.
Berbeza dengan umat Islam sekarang yang suka pada cara hidup yang tidak serius. Kita dibuai dengan hiburan berpanjangan dan gemar menonton drama-drama yang mempunyai unsur tahyul. Bahan bacaan kita pula hanyalah bahan bacaan ringan seperti majalah dan komik, bukannya buku-buku ilmiah.
Apabila orang barat mengkaji Islam dan selepas mereka menapis pandangan-pandangan peribadi golongan yang anti Islam, akhirnya mereka melihat satu agama yang paling tersusun dan paling cantik.
Sebagai umat Islam, ditakuti jika suatu hari nanti nikmat iman dan Islam itu dicabut daripada diri kita. Pada masa itu maka sia-sialah kehidupan kita di dunia dan yang paling ditakuti adalah kehidupan di akhirat kelak yang kekal dan abadi.
Bersyukurlah dengan kurniaan Allah SWT ini, kerana Allah telah memilih kita sebagai umat Muhammad SAW. Umat ini adalah yang terbaik yang disebut oleh Allah SWT kerana umat ini menyeru kepada makruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah SWT.