“Seorang anak muda kelihatan berada di sebuah kedai kopi hipster dan membayar RM52.00 untuk secawan kopi. Sambil dia membuat kerja di komputer riba, panggilan telefon daripada ibunya dijawab. Namun, anak muda ini gagal memenuhi permintaan ibunya yang memerlukan bantuan kewangan. Begitu juga melalui mesej di telefon bimbitnya, bank memaklumkan kepada beliau bahawa bayaran hutang keretanya ada tunggakan. Sebelum itu, dalam perjalanan ke kedai kopi, beliau tiada wang kecil untuk disedekahkan kepada gelandangan yang tidur di tepi jalan. Suatu hari, beliau membeli kopi di sebuah gerai di tepi jalan. Walaupun jauh lebih murah, namun rasa kopi itu tetap padu. Itu menyedarkan dirinya bahawa dia tidak perlu membayar mahal untuk secawan kopi yang lazat. Dia juga tidak perlu berlebih-lebihan dalam gaya hidup. Dengan kopi yang secara relatifnya jauh lebih murah, kini anak muda itu ada lebihan wang untuk disedekahkan kepada gelandangan.” Wang sedekah ini mungkin tidak memberikannya gaya hidup mewah, namun itulah yang bakal “memewahkannya” di akhirat kelak.
Ini merupakan sinopsis VIPKI yang dinobatkan sebagai johan Pertandingan Mereka Cipta Video Pendek Kefahaman Islam (VIPKI) untuk Penuntut IPT (2023) anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM). Video pendek bertajuk “Kopi” dengan tema “Berjimat cermat” oleh sekumpulan anak muda yang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini berjaya menambat hati para juri, baik dari segi kefahaman Islamnya, mesejnya, sinematografinya, mahupun lakonan yang menyakinkan para pelakonnya. Pertandingan ini terbuka kepada semua penuntut IPT yang terdiri daripada orang muda. Ternyata, orang muda lebih memahami gaya hidup rakan sebaya dan mereka juga ada jalan keluar yang ingin ditawarkan kepada rakan mereka berkenaan. Malah, mereka juga berkemahiran untuk menyampaikan mesej itu melalui platform yang dekat dengan rakan seangkatan mereka.
Pertandingan Mereka Cipta Video Pendek Kefahaman Islam (VIPKI) untuk Penuntut IPT 2023 telah dilancarkan pada 10 Februari 2023. IKIM menganjurkan pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan penghasilan video pendek kefahaman Islam bagi membina minda Islami dan menanamkan nilai-nilai murni sejagat dalam kalangan masyarakat. Tempoh pertandingan adalah selama lebih kurang enam bulan dan tarikh akhir untuk menghantar penyertaan adalah pada 31 Julai 2023.
Urusetia pertandingan telah menerima 165 VIPKI untuk disaring. Penyertaan diterima daripada 46 buah IPT dengan jumlah peserta (baik secara individu mahupun berkumpulan) seramai 618 orang.
Pertandingan ini juga berjaya menarik penyertaan 62 orang penuntut bukan Islam. Malah, Pengarah video pendek yang dinobatkan sebagai johan adalah seorang bukan Islam. Melalui sinergi dengan rakan sekumpulan yang Muslim, mereka berjaya menghasikan VIPKI yang layak membawa pulang hadiah bernilai RM15,000.
Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan ini telah diadakan pada 28 November 2023 dan ia menyaksikan sembilan penyertaan dinobatkan sebagai pemenang:
Johan: Trofi, Sijil Penghargaan dan Wang Tunai RM15,000.00 | Tajuk: Kopi Tema: Berjimat cermat IPT: Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Naib Johan: Trofi, Sijil Penghargaan dan Wang Tunai RM10,000.00 | Tajuk: Hidup Tema: Bersyukur IPT: Universiti Multimedia |
Tempat ketiga: Trofi, Sijil Penghargaan dan Wang Tunai RM5,000.00 | Tajuk: Taklim Tema: Kewajipan solat IPT: Universiti Kebangsaan Malaysia |
6 hadiah saguhati: Sijil Penghargaan dan Wang Tunai RM1,000.00 setiap satu | i.Tajuk: Menjaga Masa Tema: Menjaga Masa IPT: Universiti Putra Malaysia |
ii.Tajuk: Azab Tema: Kewajipan solat IPT: Kuala Lumpur Film School | |
iii.Tajuk: Aku dan Solat Tema: Kewajipan solat IPT: Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam | |
iv.Tajuk: Kain Putih: Selagi Azan Masih Berkumandang Tema: Kewajipan solat IPT: Universiti Sains Islam Malaysia | |
v.Tajuk: 5 Minit Sebelum Azan Tema: Bersyukur IPT: SEGI College, Kuala Lumpur | |
vi.Tajuk: Target Tema: Menjaga Masa IPT: Universiti Putra Malaysia |
Naib johan pertandingan merupakan dua beradik daripada Universiti Multimedia yang mempertaruhkan video pendek yang bertajuk “Hidup” dengan tema “Bersyukur”. Ketika menemubual mereka di Radio IKIM tempohari tentang sumber mereka mendapat idea untuk menghasilkan video tersebut, mereka menyatakan bahawa sebagai orang muda, setiap hari—di media sosial—mereka sentiasa disogokkan dengan gaya hidup mewah yang dimiliki oleh rakan-rakan seangkatan mereka. Perkara ini kadangkala menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang muda kerana mereka juga mahukan gaya hidup yang sama. Maka, dua beradik ini menghasilkan VIPKI untuk membawa mesej bahawa, “Tidak mengapa kalau kita tidak memiliki barangan mewah kerana “hidup” (nyawa) itu sendiri merupakan anugerah Allah yang amat berharga, yang perlu disyukuri.”
Ternyata anak-anak muda ini mampu dan amat berbakat untuk memahami situasi semasa, merungkai dan mengolahnya menjadi video pendek yang menarik untuk memberi kefahaman Islam kepada rakan seangkatan mereka. Kemampuan dan bakat ini perlu terus diasah agar bergemerlapan untuk manfaat masyarakat hari ini dan masa hadapan.
Video pendek amat rapat dengan orang muda. Mereka suka menontonnya; suka membuatnya; dan, mudah mengambil ibrah daripadanya. Penghasilan video pendek kefahaman Islam yang boleh membina minda Islami dalam kalangan masyarakat memerlukan galakan. Terima kasih kepada para penaja pertandingan iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB), Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Semoga program-program seumpama ini terus mendapat sokongan daripada syarikat-syarikat korporat.
Terima kasih kepada semua peserta dan tahniah kepada semua pemenang, serta teruskan berkarya. Kepada yang kurang bernasib baik, walaupun anda tidak menang, tetapi anda sebenarnya telah menyumbang kepada kandungan Islami untuk masyarakat. Semoga usaha anda diberi ganjaran oleh Allah SWT.
Semua VIPKI yang menang boleh ditonton di laman sesawang TVIKIM di www.tvikim.my
