Setakat 30 Mac 2021, terdapat 344,018 kes jangkitan Covid-19 dan 1,256 kes kematian di Malaysia. Sejak pandemik ini bermula, semua pihak terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran sama ada dari sudut ekonomi, sosial, politik, kesihatan dan sebagainya.
Jika diteliti, pandemik serta cabarannya itu boleh menggugat pemeliharaan lima prinsip Maqasid Syari’ah. Secara umumnya, Maqasid Syari’ah ialah tujuan yang ingin dicapai oleh syara’ dalam mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kemaslahatan masyarakat. Tujuan Maqasid Syari’ah adalah untuk memelihara lima perkara, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta demi mengekalkan maslahah dan menjauhi mafsadah (kerosakan).
Dari sudut pemeliharaan agama, pandemik Covid-19 telah menimbulkan beberapa kekangan kepada umat Islam untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Muslim. Misalnya, umat Islam (lelaki) tidak dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat atau hanya sebahagian yang dibenarkan bersolat di masjid. Umat Islam juga masih belum mendapat kebenaran untuk menunaikan haji dan umrah. Malah, bagi amalan-amalan sunat seperti solat tarawih juga belum pasti dapat dilaksanakan secara berjemaah di masjid seperti dahulu. Bukan itu sahaja, banyak lagi perkara yang sering dilakukan oleh umat Islam tidak boleh dilaksanakan seperti dahulu.
Kekangan-kekangan seperti ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Islam. Malah, ada yang mempersoalkan perintah atau halangan yang telah ditetapkan. Kebimbangan dan bantahan seperti itu tidaklah menghairankan kerana ahli masyarakat tidak memahami alasan di sebalik perintah yang dikeluarkan. Satu penjelasan mudah telah diberikan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, dalam sebuah program bertajuk Expert Consultation on Maqasidic Framework for the Formation of Khaira Ummah pada 3 Februari 2021 lepas.
Beliau menjelaskan bahawa dalam Islam, pemeliharaan agama berasaskan dua peraturan ketat, iaitu ‘azimah dan rukhsah. ‘Azimah bermaksud hukum asal yang disyariatkan pada permulaan, dan bukan kerana suatu keuzuran. Manakala rukhsah bermaksud suatu ketetapan hukum yang disyariatkan kerana satu keuzuran dan kesusahan. Antara contoh rukhsah ialah mengqasarkan solat, bertayammum dan sebagainya. Dalam keadaan biasa, peraturan berasaskan ‘azimah diberikan keutamaan manakala dalam keadaan tertentu (keadaan sukar), Islam membenarkan umatnya mengikuti rukhsah. Amalan mengikuti rukhsah ini adalah untuk mengelakkan mafsadah. Oleh itu, dalam pandemik, larangan solat Jumaat di masjid juga boleh dilaksanakan untuk mengelakkan penularan virus Covid-19.
Selain pemeliharaan agama, pandemik kini turut mencabar pemeliharaan nyawa. Ini sangat jelas kerana virus Covid-19 boleh mengancam nyawa manusia hingga membawa kematian. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha misalnya pengenalan Standard Operating Procedure (SOP), kemudahan kesihatan (hospital, pusat kuarantin), penyediaan maklumat yang tepat, pemberian vaksin dan sebagainya. Semua usaha ini dilaksanakan untuk menyelamatkan nyawa manusia.
Namun, usaha-usaha ini tidak dapat dijayakan dengan baik jika masyarakat tidak mempunyai kepercayaan terhadap usaha tersebut. Malah, ada segelintir ahli masyarakat yang meragui usaha-usaha tersebut. Keraguan ini timbul kerana mereka tidak mendapatkan maklumat yang tepat berkaitannya. Situasi “tsunami maklumat” yang berlaku kini menimbulkan kebingungan dalam kalangan masyarakat sehingga mempengaruhi tindakan mereka untuk menolak sesetengah peraturan yang dilaksanakan. Oleh itu, amat penting untuk mencari maklumat yang sahih. Perkara ini sebenarnya satu tuntutan dalam Islam. Setiap Muslim harus bertabayyun (memeriksa dengan teliti) dalam mencari maklumat sepertimana yang telah disebutkan dalam ayat ke-6, surah al-Hujurat.
Dari segi pemeliharaan akal pula, situasi pandemik kini memberikan cabaran kepada kesihatan mental manusia. Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan ahli masyarakat tetapi juga dalam kalangan petugas barisan hadapan. Bagi masyarakat, tekanan dirasakan apabila mereka terpaksa “berkurung” di rumah kerana sekatan pergerakan. Malah, rasa tertekan juga timbul apabila ada sesetengahnya kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji, tidak boleh bertemu ahli keluarga dan jangkitan virus Covid-19 sendiri menimbulkan rasa takut dan tekanan kepada pesakit. Bagi petugas barisan hadapan pula, tekanan dalam tugasan, bekerja dalam masa yang panjang dan sikap pesakit juga memberikan tekanan tertentu. Hal ini perlulah diuruskan dengan baik dan bantuan-bantuan sewajarnya harus diberikan. Yang penting, maklumat berkaitan bantuan itu boleh diakses dengan mudah oleh ahli masyarakat.
Seterusnya berkaitan pemeliharaan keturunan. Sepintas lalu, kemungkinan besar tidak dapat dikaitkan hubungan pemeliharaan keturunan dengan pandemik. Walau bagaimanapun, beberapa kejadian keganasan rumahtangga dan penderaan anak yang berlaku semasa pandemik boleh menggugat pemeliharaan keturunan. Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) telah melaporkan bahawa kes keganasan rumah tangga meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama antara Mac hingga September 2020. Keadaan menjadi lebih sukar apabila masyarakat sekeliling sukar mengenal pasti kejadian tersebut atau memberikan bantuan kerana terkurung di rumah masing-masing. Jika sebuah keluarga rosak atau hidup dalam keganasan, bagaimanakah sebuah keturunan masyarakat Muslim yang bermutu boleh dibangunkan? Oleh itu, perlulah difikirkan usaha untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa keganasan. Sekali lagi, maklumat bantuan juga perlu tersedia dan mudah disampaikan kepada mangsa.
Akhir sekali, berkaitan pemeliharaan harta. Tidak dapat dinafikan bahawa pandemik Covid-19 sememangnya memberikan tekanan dari sudut ekonomi. Ramai ahli masyarakat yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa berhadapan dengan pemotongan gaji. Keadaan sebegini pastinya memberi cabaran besar untuk kelangsungan hidup mereka. Pelbagai bantuan telah diberikan oleh kerajaan Malaysia misalnya dalam bentuk bantuan kewangan secara langsung, moratorium, perlindungan takaful (untuk kumpulan B40) dan sebagainya. Namun, Dr. Aznan Hasan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, menyuarakan pendapatnya dalam program Expert Consultation yang disebutkan di atas bahawa lebih banyak bantuan boleh diberikan kepada rakyat mahupun peniaga kecil dan sederhana. Bagi tujuan ini, satu perbincangan atau kajian wajar dijalankan untuk menggariskan bentuk-bentuk bantuan yang sesuai. Malah, pada pandangan beliau, ini adalah masa yang sesuai untuk menggerakkan peranan sektor ketiga terutamanya wakaf untuk membantu masyarakat dan golongan peniaga bagi merancakkan semula ekonomi negara.