KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan dua anggotanya di pondok polis di setiap taman perumahan seluruh negara sebagai langkah proaktif mencegah kegiatan jenayah.
Melalui konsep ‘police base’ itu, anggota terbabit serta keluarga akan turut diberi kemudahan perumahan di kawasan berkenaan bagi memudahkan mereka melaksanakan tugas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata konsep itu adalah susulan program ‘Rondaan Cegah Jenayah’ membabitkan 360 pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan, Inspektor serta anggota berpangkat rendah yang dilancarkan 16 Oktober lalu.
“Fokus saya sejak dilantik Ketua Polis Negara ialah mencegah jenayah membabitkan kawasan tumpuan orang ramai terutama kawasan perumahan.
“Kami mahu mewujudkan konsep ‘polis base’ dengan menempatkan dua anggota di pondok polis yang akan dibina di setiap taman perumahan untuk menjadi ‘mata dan telinga’ serta melaporkan segala aktiviti di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Konvensyen Islam Hadhari Belia peringkat kebangsaan bertemakan ‘Belia Pemacu Generasi Hadhari’ di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, semalam.
Musa berkata, pelaksanaan konsep itu akan dilakukan sebaik PDRM mendapat kelulusan kerajaan serta penambahan anggota bagi memastikan bilangan yang diperlukan mencukupi.
“Kertas cadangan sudah dihantar kepada kerajaan untuk dikaji serta diteliti dan kita rasakan ia adalah antara langkah berkesan untuk membasmi aktiviti jenayah di kawasan perumahan,” katanya.
PDRM kini mempunyai 91,080 anggota dengan kira-kira 90,000 orang berpangkat rendah. Jumlah itu termasuk anggota dan pegawai di pusat latihan polis, cawangan marin, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pusat Latihan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pusat Latihan Memandu (Trafik) dan Polis Hutan.
Musa bagaimanapun berkata, cuma 60,597 anggota dan pegawai polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) seluruh negara sehingga September lalu, berbanding lebih 26 juta penduduk di kawasan seluas 330,021 kilometer persegi.
Beliau juga mencadangkan Rukun Tetangga (RT) mewujudkan Pusat Sehenti khusus untuk memantau kegiatan penagihan dadah di kawasan kejiranan melalui pembabitan masyarakat.
“Setiap kawasan perumahan perlu mengamalkan konsep bandar selamat dengan membina lebih banyak lampu jalan dan meletakkan pagar untuk mengelakkan kediaman mereka diceroboh.
“Kes membabitkan harta benda seperti pecah rumah, kecurian dan curi motosikal boleh dicegah jika semua orang lebih berhati-hati dan mengamalkan langkah pencegahan jenayah berkesan,” katanya.
Beliau berkata, kes jenayah harta benda meningkat lebih 14 peratus atau 113,939 kes bagi tempoh sembilan bulan sejak Januari lalu berbanding 100,061 dalam tempoh sama tahun lalu.
Kecurian motosikal menunjukkan peningkatan paling tinggi, iaitu 9,725 kes daripada 37,438 kes tahun lalu kepada 47,163 kes sejak Januari hingga September lalu, diikuti kecurian kereta daripada 7,264 kepada 8,268 kes, meningkat 1,004 kes.