KUALA LUMPUR 31 Okt. – Negara kini sedang menuju kehancuran jika gejala sosial di kalangan belia yang semakin bertambah hari demi hari, tidak ditangani segera.
Kebimbangan itu diluahkan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas berikutan bertambahnya jumlah penagih dadah, kes juvenil dan penghidap HIV di seluruh negara.
Beliau berkata, golongan belia perlu disedarkan dan diberi bimbingan agar nilai baik yang ada pada diri dapat disubur serta disalur ke arah kebaikan ummah.
‘‘Dengan mengambil kira kes-kes sosial seperti gejala ‘mat rempit’, seks bebas, kongsi gelap, ragut, samun, rogol dan sebagaimana yang sering disiarkan di akhbar dan berita televisyen, kita boleh katakan bahawa jika beginilah bentuk belia yang ada pada hari ini, negara kita sebenarnya sedang menuju ke arah kehancuran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Konvensyen Islam Hadhari Belia Peringkat Kebangsaan bertajuk Belia Pemacu Generasi Hadhari di sini hari ini.
Konvensyen itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Mohd. Yasin Mohd.. Saleh.
Menurut Syed Ali Tawfik, berdasarkan data Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), bilangan penagih yang dikesan pada tahun 2005 ialah seramai 32,808 orang.
Daripada jumlah itu katanya, 23,699 orang atau 72.23 peratus adalah golongan belia yang berusia 16 hingga 39 tahun.
Katanya, kaum Melayu mencatatkan bilangan penagih teramai iaitu 22,344 orang berbanding Cina iaitu 5,131 orang dan India (3,228 orang).
Bagi angka jangkitan HIV dan kes Aids sehingga Disember 2004, seramai 64,439 adalah pembawa HIV dan 9,442 pesakit Aids dikesan di seluruh negara, katanya.
Mereka yang berusia 20 hingga 39 tahun menjadi kelompok terbesar pembawa dan penghidap penyakit berbahaya itu.
Beliau memberitahu, perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menunjukkan sebanyak 6,056 kes juvana dilaporkan pada 2004.
Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1,058 kes juvana berbanding kes yang dilaporkan pada tahun 2003, katanya.
‘‘Jika permasalahan ini tidak dibendung, kita khuatir ia akan merebak dan seterusnya menjadi satu kebiasaan walaupun sebelum ini, ia merupakan sesuatu yang menyalahi nilai akhlak ketimuran yang kita amalkan,” jelasnya.
Sumber Utusan Malaysia 1/11/06