
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah menerbitkan buku ‘Literasi Kewangan Islam Di Malaysia’, yang telah dilancarkan oleh YB Senator Tuan Haji Idris Bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam satu sesi secara dalam talian di Radio IKIM pada 18 November 2021.
Beliau dalam ucapannya antara lain berkata, penerbitan buku ini memang kena pada masanya. Berdasarkan statistik terkini kadar celik kewangan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih rendah iaitu sekitar 36-40 peratus berbanding 59 peratus bagi Singapura dan lebih 70 peratus bagi negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi atau Organisation For Economic Operation And Development (OECD).
“Untuk membina ‘khayra ummah’, umat Islam memerlukan kekuatan harta dan pengurusan kewangan yang baik. Sejajar dengan tema pentadbiran hal ehwal Islam yang dibawa iaitu ‘Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Islam Mendepani COVID-19’, usaha yang dibuat oleh IKIM, UKM dan AKPK melalui penerbitan buku ini boleh dianggap sebagai satu usaha yang boleh membawa KELUARGA MALAYSIA keluar daripada kesempitan hidup akibat pandemik COVID-19.” Beliau berkata demikian selepas sesi Wawancara Khas Bersama YB Menteri yang bertajuk ‘Kefahaman Islam Dalam Membawa Gagasan Keluarga Malaysia’ dalam slot Destinasi di Radio IKIM yang turut dihadiri oleh Dr. Zaidi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah IKIM.