
Sukacita dimaklumkan bahawaInstitut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah mengadakan majlis Pelancaran dan Ulasan buku Ahmad Ibrahim: Sahsiah, Pemikiran & Sumbangan Ilmiah pada 5 Disember 2019 di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Karya yang mengandungi 21 bab ini dianggap sempurna dalam mengisahkan kehidupan Almarhum Profesor Ahmad bin Mohamad Ibrahim yang berkredibiliti, prolifik dan hebat dalam dunia perundangan Islam di Malaysia. Karya ini turut mengisahkan latar belakang: sahsiah yang istimewa; dan pemikiran serta sumbangan hebat Almarhum dalam dunia perundangan Islam. Sumbangan ilmiah Almarhum telah dibincangkan dari pelbagai sudut, iaitu perbandingan pemikiran, kewangan dan perbankan, takaful, undang-undang murtad, undang-undang keluarga, undang-undang komersial, undang-undang jenayah syariah, dan wakaf. Rangkuman hasil tulisan di kalangan mereka yang amat mengenali keperibadian dan mengagumi pemikiran Almarhum termasuk anak beliau sendiri, bekas-bekas pelajar serta rakan-rakan seperjuangan turut dimuatkan. Maka, tidak keterlaluan untuk menganggap karya ini adalah rakaman dedikasi, ingatan dan penghormatan yang hebat terhadap Almarhum.
