Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala oleh kerana dengan limpah keizinan, dan inayahNya, maka kita dapat berkumpul di dalam Dewan Besar IKIM sempena majlis pelancaran buku bertajuk “Ahmad Ibrahim : Sahsiah, Pemikiran dan Sumbangan Ilmiah”.
2. Saya mula mengenali Almarhum Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim pada sekitar tahun 1981 semasa beliau menjadi tenaga pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau datang menemui saya bersama Almarhum Dr. Abdul Hamid bin Othman (kemudiannya Tan Sri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri). Ketika itu, Dr. Abdul Hamid merupakan Pengarah Pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan Malaysia. Mereka berdua merumuskan supaya pelajar-pelajar yang mengikuti kursus Undang-undang Islam dikurniakan bantuan di bawah Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB). Pada waktu itu, saya bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah 1, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
3. JPA kemudiannya menerima baik cadangan tersebut dan kesannya negara telah dapat melahirkan lebih ramai tengan pengajar dalam bidang keislaman di institusi pendidikan tinggi. Dalam kesempatan itu, saya turut dapat melihat kewibaan Almarhum bukan sahaja sebagai seorang ahli akademik tetapi juga sebagai seorang pemikir. Justeru, apabila saya diamanahkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (sekarang Tun), Perdana Menteri Malaysia keempat, untuk menubuhkan IKIM pada tahun 1992, saya lantas teringatkan Almarhum dan mencadangkan beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah IKIM. Peranan beliau dalam kapasiti ini, antara lain, terakam secara rasmi dalam bentuk tandatangannya pada Memorandum and Articles of Association Institut Kefahaman Islam Malaysia bertarikah 10 Februari 1992.
4. Sepanjang Almarhum menjadi Ahli Lembaga Pengarah institut ini, beliau telah mengarang dua buah buku yang diterbikan oleh IKIM iaitu Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia pada tahun 1997, setebal 711 halaman, dan The Administration of Islamic Law in Malaysia pada tahun 2000, setebal 734 halaman, kedua-duanya layak diiktiraf sebagai adikarya dalam bidang perundangan di Malaysia.
5. Pada 17 April 1999 bersamaan 1 Muharam 1420 Hijrah, iaitu pada saat saya menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan, saya telah menerima berita duka mengenai kepulangan Almarhum ke rahmatullah. Saya telah berkesempatan untuk turut serta dalam majlis sembahyang jenazahnya. Almarhum adalah juga seorang penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan bagi tahun 1989 bersamaan 1409 Hijrah.
6. Penerbitan buku ini “Ahmad Ibrahim: Sahsiah, Pemikiran dan Sumbangan Ilmiah” adalah berdasarkan kumpulan kertas-kertas kerja “Seminar Ahmad Ibrahim: Pemikiran dan Sumbangan Ilmiah” yang telah diadakan pada 12 tahun yang lalu ketika saya berperanan sebagai Pengerusi IKIM yang pertama. Dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala, buku ini diterbitkan dan akan berada dalam pasaran ketika saya dilantik sekali lagi sebagai Pengerusi IKIM yang ketiga.
7. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Siti Shamsiah binti Md. Supi, Pegawai Penyelidik Kanan di Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik di atas kerja-kerja penyuntingan buku ini.
8. Semoga usaha ini mendapat keredaan dan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala.