
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah melancarkan Pertandingan “Merekacipta Video Animasi Kefahaman Islam Untuk Penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT). Pertandingan yang berlangsung selama 3 bulan ini bermula pada hari ini, 8 Mac 2022 dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 7 Jun 2022. Para penuntut IPTA dan IPTS yang berminat adalah dipelawa untuk menghantarkan karya mereka mengikut tema serta syarat-syarat yang telahpun ditetapkan.
Pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan penghasilan video animasi kefahaman Islam bagi membina minda Islami dalam kalangan masyarakat; menggalakkan penghasilan video animasi yang dapat mendidik dan menanamkan nilai-nilai sejagat kepada khalayak; menambahkan koleksi video animasi seumpama ini untuk tatapan khalayak dan mencungkil potensi video animasi sebagai medium untuk memberi kefahaman Islam kepada masyarakat Malaysia khususnya, serta masyarakat global, amnya.
Pertandingan ini menawarkan hadiah RM15,000 pertama, RM10,000 kedua, RM5,000 ketiga dan lima (5) hadiah saguhati yang bernilai RM1,000 setiap satu beserta Sijil Penyertaan tajaan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).