Laporan Penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 Februari lepas menunjukkan terdapat 2.2 juta penduduk Malaysia berusia 65 tahun dan ke atas di negara ini. Jumlah ini mewakili 6.8 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Walaupun secara statistiknya belum mencecah 7 peratus iaitu tahap nilai ambang sesebuah masyarakat dikategorikan sebagai masyarakat menua (aging society), namun secara dasarnya kita boleh mengatakan bahawa Malaysia sekarang sudah menjadi sebuah negara menua.
Malah laporan Bank Dunia yang bertajuk A Silver Lining—Productive and Inclusive Aging for Malaysia yang diterbitkan pada penghujung 2020 telah pun mengkategorikan Malaysia sebagai negara tua mulai tahun itu berikutan jumlah penduduk yang berusia 65 tahun dan ke atas melepasi nilai ambang yang ditetapkan oleh badan dunia tersebut. Berdasarkan World Population Prospects 2019, Volume II: Demographic Profiles terbitan Department of Economic and Social Affairs, Population Division, United Nations, angka tujuh peratus ini seterusnya diunjurkan meningkat kepada 10 peratus pada 2030; 17 peratus pada 2050 dan 25.8 peratus pada 2075.
Secara amnya, warga tua merupakan golongan yang tidak produktif kerana mereka tidak berada dalam kelompok aktif bekerja. Hal ini juga sama dengan mereka yang berada dalam lingkungan usia 0 – 14 tahun. Dari perspektif ekonomi konvensional, golongan ini dilihat sebagai satu faktor penyumbang kepada peningkatan kos perbelanjaan awam. Ketidakseimbangan yang wujud akibat peningkatan golongan warga tua berbanding bilangan penduduk yang aktif bekerja akan menyebabkan kutipan cukai negara berkurangan. Pada masa yang sama, kos untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk—dan ini termasuklah dari aspek penjagaan, perubatan serta berbelanjaan pencen warga tua—semakin bertambah. Bagi menangani masalah ini, kerajaan terpaksa menaikkan cukai dan biasanya ini akan ditanggung oleh populasi yang bekerja. Perkara ini sudah pun berlaku di negara-negara maju. Terbaru, kerajaan Singapura dilaporkan akan menaikkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) secara berperingkat pada tahun 2023 dan 2024. Kenaikan daripada tujuh peratus ke lapan peratus mulai 1 Januari 2023 dan daripada lapan peratus ke sembilan peratus mulai 1 Januari 2024 seperti yang diumumkan pemerintah republik itu adalah bagi menyokong perbelanjaan penjagaan kesihatan dan warga emas.
Di Malaysia, situasi golongan berkerja mula memikul beban ini sudah pun dapat dilihat. Ini dapat diperhatikan menerusi nisbah pergantungan. Nisbah pergantungan merujuk kepada bilangan bagi setiap 100 penduduk yang berusia di bawah 15 tahun dan mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas yang perlu ditanggung oleh golongan berkerja yang berusia di antara 15 – 64 tahun. Menurut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, nisbah ini akan meningkatkan daripada 47.8 pada 2010 kepada 49.5 pada 2040 nanti.
Bagaimanapun dalam ajaran Islam, golongan warga tua tidak dianggap sebagai beban seperti yang difahami oleh masyarakat moden. Malah, apa yang dirujuk sebagai beban dan cabaran sebenarnya suatu hak yang perlu diberikan kepada golongan ini. Jika kita menghayati al-Quran dan al-Sunnah, kita tidak akan menemui apa-apa ayat atau sabda Nabi SAW yang menyatakan bahawa golongan ini merupakan bebanan kepada ahli keluarga, masyarakat mahupun negara.
Apa yang disebut oleh al-Quran hanyalah cabaran kepada warga tua itu sendiri. Ini kerana apabila berusia, sudah pasti keupayaan mental dan fizikal seseorang individu akan berkurangan dan menjadi lemah. Seterusnya risiko-risiko ekonomi (yang berkaitan dengan kos kehidupan harian dan perkerjaan), masalah kesihatan (hilang keupayaan anggota dan penyakit) dan psikososial (sokongan ahli keluarga dan masyarakat sekeliling) akan muncul dalam kehidupannya. Ini dapat diperhatikan menerusi ayat ke-68 dalam surah Yasin iaitu Allah SWT ada berfirman yang bermaksud: “Dan barangsiapa yang Kami panjangkan umurnya nescaya Kami kembalikan dia kepada kejadiannya (yakni keadaan serba lemah baik dari segi fizikal dan mental). Maka apakah mereka tidak memikirkan?”
Dalam Islam, anak-anak, ahli keluarga, anggota masyarakat dan pemerintah disuruh agar menjaga kebajikan warga tua lebih-lebih lagi jika mereka merupakan ibu bapa kita. Bagi menegaskan tentang kewajipan ini, al-Quran meletakkan penekanan berbuat baik terhadap ibu bapa selepas arahan supaya manusia mentauhidkan Allah SWT. Hal ini dapat dicerap menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Isra’, ayat ke-23–24 yang bermaksud:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah,” dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakan (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Ayat-ayat ini menerangkan tentang kewajipan berbuat baik terhadap ibu bapa lebih-lebih lagi apabila usia mereka menginjak ke usia tua. Dalam konteks menghormati ibu bapa dan penjagaan warga tua, konsep berbuat baik merupakan satu hak dan tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh anak-anak yang merangkumi aspek memastikan kesejahteraan mereka sama ada dari segi psikososial, kualiti hidup, keperluan kewangan dan sebagainya. Bagi menunjukkan lagi bahawa kebajikan warga tua ini perlu ditunai dengan sebaik mungkin, ungkapan “ah” yang biasanya dianggap lembut bagi menunjukkan rasa tidak setuju atau keluhan pun dilarang oleh Islam untuk diucapkan kepada ibu bapa.
Kegagalan anak-anak untuk mematuhi suruhan al-Quran ini merupakan satu bentuk penderhakaan terhadap ibu bapa dan ia dianggap satu dosa besar. Perkara ini ada disebut dalam hadis: Daripada ʿAbdurrahman bin Abu Bakrah r.a., daripada bapanya, katanya: “Kami berada di sisi Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda: ‘Perhatikanlah! Ku beritahukan kepada kamu sekelian tentang dosa-dosa besar yang paling besar: (Rasulullah mengucapkannya tiga kali) (1) Mempersekutukan Allah; (2) Durhaka kepada ibu-bapa; (3) Sumpah palsu. ‘”(Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0068).
Selain daripada al-Quran, terdapat banyak hadis yang menyuruh kita berbuat baik kepada ibu bapa atau warga tua. Antaranya ialah (1) Daripada Abdullah bin Amru r.a., katanya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW minta izin hendak ikut jihad (berperang). Tanya Nabi SAW kepadanya, ‘Apakah kedua-dua orang tuamu masih hidup?’ Jawab orang itu, ‘Masih!’ Sabda beliau, ‘Berbakti kepada kedua-duanya adalah jihad.’” (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2179); (2) Abu Bakar Muhammad bin Aban menceritakan kepada kami, Muhammad bin Fudhail menceritakan kepada kami, daripada Muhammad bin Ishaq dari Amr bin Syuaib daripada ayahnya, daripada neneknya berkata: “Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi anak kecil kami dan tidak mengerti kemuliaan orang tua kami.” (Hadis Sunan Al-Termizi Jilid 3. Hadis Nombor 1985).
Sudah tiba masanya kita mengubah persepsi umum bahawa warga tua ini merupakan beban kepada negara dan masyarakat. Penat lelah dan kos yang terpaksa ditanggung bagi menjaga kebajikan warga tua tidak seharusnya dijadikan ukuran kerana tanpa golongan tua tiada golongan muda. Suatu hari nanti, golongan muda juga akan meniti usia senja. Jadi, selain daripada pelbagai polisi dan dasar berkaitan warga tua yang sedia ada di negara ini seperti Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara, kita perlu memupuk dan menyubur nilai menghormati dan menghargai warga tua dalam kalangan anak-anak dan masyarakat supaya mereka dapat mengharungi usia tua secara berkualiti.