APAKAH satu perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan perasaan umat Islam di seluruh dunia apabila Iraq tumpas di tangan tentera penceroboh? Tiada. Itulah jawapannya.
Amat sukar untuk mencari perkataan yang tepat bagi menggambarkan perasaan itu, lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana seluruh negara Islam tidak berdaya untuk berbuat apa-apa bagi menentang sekatan dan tekanan kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS). Umat Islam seluruh dunia bagai diikat tangan mereka daripada melawan kekejaman regim tentera penceroboh itu. Hanya ucapan simpati yang mampu dihulur dari jauh.
Pada 9 April 2003, pemerintahan lebih 24 tahun regim Saddam Hussein, akhirnya tumpas apabila kota Baghdad berjaya ditawan tentera penceroboh pimpinan AS. Selang beberapa hari kemudian, Tikrit, bandar kelahiran Saddam dan kubu kuat beliau, turut jatuh ke tangan penceroboh. Maka dengan itu, Iraq dikatakan bebas daripada cengkaman kekejaman Saddam.
Menyingkap kembali detik bermulanya perang di Iraq ini, tentera pimpinan AS itu mula menceroboh bumi Iraq pada 17 Mac 2003. Pada tarikh itu jugalah, AS bersama Britain dan Australia menidakkan kuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan menyerang Iraq.
Sejak perang bermula, banyak perkara terserlah. Di pihak tentera bersekutu, kekejaman yang ditonjolkan dengan menyerang dan mengebom Iraq sangat menyedihkan dan mencabar sifat kemanusiaan sejagat.
Pada masa sama, perang di Iraq menjadi satu pusat pameran kecanggihan peralatan perang tentera bersekutu. Ini adalah faktor kenapa AS begitu yakin dapat menumbangkan Saddam dalam masa 48 jam saja. Namun, sasaran itu tidak tercapai.
Bagaimana pula di pihak Saddam dan rakyatnya? Yang pasti, Saddam cuba menunjukkan sikap seorang pejuang sejati. Dengan kekuatan tidak sampai 60,000 orang tentera, Saddam tahu beliau tidak mampu melawan musuhnya yang mempunyai kekuatan 250,000 tentera, termasuk peralatan perang serba canggih. Namun, ibarat kata pepatah, berpantang maut sebelum ajal, Saddam nampaknya mahu kalah dengan cara terhormat.
Sehingga kini Saddam gagal dikesan. Apa yang tinggal cuma kisah pemerintahan beliau yang penuh dengan konflik, peperangan dan kekejaman.
Saddam dan kisahnya bukanlah satu-satunya perkara yang boleh dilihat akibat dari pencerobohan ini. Kisah yang lebih malang perlu dilihat daripada perspektif rakyat Iraq sendiri. Kos yang perlu mereka bayar terlalu tinggi, iaitu dalam bentuk kehilangan nyawa, harta benda, kehidupan dan jati diri.
Dalam masa lebih 30 hari pencerobohan itu, setiap hari media menyiarkan kisah penderitaan rakyat Iraq. Anak-anak kecil menangis meratapi kehilangan ibu bapa. Ibu dan ayah meraung kesedihan apabila kehilangan permata hati tercinta. Mereka yang cedera tetapi masih berpeluang melihat dunia, termenung jauh, tidak pasti sama ada perlu gembira atau bersedih.
Kesedihan itu dapat sama-sama kita rasai. Bantuan dapat kita hulurkan. Namun, dapatkah kesengsaraan mereka diubati?
Kini, lebih 24 juta penduduk Iraq berada dalam era pasca perang. Dalam fasa ini, yang lebih dikenali sebagai fasa ‘haru-biru’, bumi Iraq berada dalam keadaan kacau-bilau. Tanpa undang-undang, mencuri dan merampas harta benda menjadi kegiatan segelintir rakyat Iraq yang baru bebas. Kegilaan mencuri berlaku begitu meluas di kota Basra. Pencuri kelihatan menggunakan kereta sorong, lori pengangkut barang, malahan basikal, untuk mengambil apa saja yang mampu diangkut dari bangunan pejabat, syarikat perniagaan atau rumah kediaman.
Ketika melakukan kegiatan itu, wajah mereka bukan saja tersenyum girang, malah bangga menunjukkan barangan yang dicuri, seolah-olah tidak merasa bersalah dengan perbuatan yang dihina agama itu. Nampaknya, kepayahan hidup dalam mengharungi peperangan menyebabkan manusia lupa nilai moral dan tuntutan agama.
Sebenarnya, banyak yang dapat dipelajari daripada pencerobohan ke atas Iraq ini. Ia membawa kita menilai jauh ke dalam diri agar perkara yang sama dapat dijauhi dari menimpa negara kita. Satu daripada perkara yang paling berharga adalah memupuk perpaduan sesama manusia agar kekuatan diri, bangsa dan negara dapat dibina untuk menentang penjajahan alaf baru ini.
Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra di antara satu sama lain). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujuraat, ayat 13)
Daripada firman Allah itu, jelas menunjukkan bahawa, dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia, keperluan untuk bersatu padu adalah amat kritikal. Jika kita gagal mencapainya, dengan mudah sekali negara kita boleh dijajah dan diperkotak-katikkan, seperti yang berlaku di Iraq. Sudah tentu kita tidak mahu peristiwa penjajahan beratus-ratus tahun lamanya, berulang di negara ini.
Perpaduan seluruh umat Islam bersama umat bukan Islam juga penting bagi menghalang tragedi di Iraq berlaku di negara lain. Keserasian dan satu suara amat penting untuk mencapai kedamaian sejagat. Malangnya, keserasian inilah yang masih gagal kita capai, sehingga menyebabkan tangan kita “bagai ditindih yang berat, dililit yang panjang”.
Selain itu, perpaduan sesama manusia, perlu diikuti dengan perasaan kasih-sayang, berbaik sangka, bermaaf-maafan dan hormat-menghormati. Tidak kira apa juga warna kulit manusia di bumi ini, jika kasih sayang dapat dipupuk, tiada satu faktor pun yang dapat memporak-perandakan kita.
Semangat berkasih sayang, berbaik-baik serta saling memaafkan, sangat dituntut dalam Islam. Jika kita berjaya mencapai tahap ini, penindasan dan kekejaman sesama manusia dapat dielakkan. Walaupun sesama musuh, atas nama peri kemanusiaan, kita tidak akan sampai hati untuk mencederakan dan membunuh insan lain. Namun, perasaan begitu tidak lagi wujud sekarang kerana kepercayaan terhadap agama telah pupus. Atas alasan inilah, kekejaman berleluasa tanpa kawalan di muka bumi.
Selain perpaduan dan kasih sayang, kita perlu membina kekuatan diri, bangsa dan agama. Hanya dengan kekuatan ini, kita mampu menangkis tekanan kuasa besar yang cuba memperkosa tanah air kita.
Kekuatan diri ini boleh dibentuk daripada pelbagai sudut.
Antara yang terpenting ialah kekuatan ilmu dan ekonomi. Dua faktor ini terbukti menjadi perisai berkesan menangani kekejaman masa kini. Malah, kuasa besar seperti AS dan Britain menggunakan dua faktor ini untuk menjalankan niat buruk mereka terhadap negara kecil dan lemah.
Rasulullah saw pernah bersabda bahawa “menuntut ilmu itu fardu ke atas setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.” Untuk itu, umat Islam disarankan untuk “menuntut ilmu dari perut ibu sampailah ke liang lahat.” Rasulullah bersabda lagi bahawa “seseorang mukmin itu mestilah mempunyai dua sifat pemikiran. Pertama ‘kaiyasah’, iaitu cerdik, dan kedua ‘fatanah’, bermaksud bijaksana.”
Sifat cerdik merujuk kepada pencapaian ilmu yang tinggi berdasarkan ambilan ilmu yang betul, jelas kefahamannya dan pengamalan benar. Pencarian ilmu yang tinggi adalah proses tanpa henti. Ilmu dalam aspek ini tidak bermakna ilmu fardu ain semata-mata seperti ilmu akidah dan ibadat, tetapi mencakupi ilmu fardu kifayah, membabitkan teknologi duniawi yang semakin berkembang. Oleh itu, kita perlu memperlengkapkan diri dengan segala bentuk ilmu terutama ilmu yang berkait dengan sains dan teknologi.
Dari segi ekonomi pula, kita perlu membina kekuatan tersendiri agar suara kita dapat didengar dalam percaturan dunia. Dengan kekuatan ekonomi ini juga, kita boleh membantu negara Islam lain agar tidak terus ditindas oleh kuasa besar.
Kita belum lagi melihat sebuah negara Islam yang kukuh dari segi ekonomi yang juga boleh bersuara bagi pihak negara Islam seluruh dunia. Bukannya tidak ada negara Islam yang kuat dari segi ekonomi, namun kewibawaan negara Islam ini masih belum terserlah.
Iraq sendiri mempunyai kekuatan ekonomi yang tersendiri iaitu sumber minyaknya. Iraq dikatakan mempunyai 110 bilion tong simpanan minyak. Jumlah ini tidak termasuk 58 telaga minyak Iraq yang masih belum dibangunkan. Jika ini dikira, simpanan minyak Iraq tentunya mencecah angka trilion. Inilah harta Iraq yang sangat dikehendaki oleh AS dan sekutunya.
Kesimpulannya, pengajaran paling penting yang boleh disingkap daripada pencerobohan ke atas Iraq ialah kelemahan dan kegagalan kita sebagai umat Islam, yang menjadi salah satu faktor kuasa besar menindas negara kecil dan lemah.
Kekalahan Iraq mengajar kita melihat semula kelemahan diri dan berusaha memperbaiki ‘kecacatan’ itu.
Kita berharap pencerobohan ke atas Iraq tidak akan berlanjutan ke negara Islam lain dan mencetuskan keganasan lain yang boleh menggugat kesejahteraan hidup manusia lain di bumi Allah ini.