Sulaman integrasi antara kaum di Malaysia kini semakin bercelaru dan melompangkan jurang yang membimbangkan terutama apabila isu-isu sensitif seperti keagamaan, hak samarata dan wadah politik dipergunakan oleh pihak yang berkepentingan. Sekali direnung ke hadapan, agak mustahil keharmonian dalam masyarakat berbilang bangsa dapat dicapai sekiranya tindakan wajar tidak diambil. Akhirnya, sejarah Malaysia akan mengulangi lagi detik cemas peristiwa 13 May 1969 dalam lipatan sejarah keruncingan perkauman. Kesempatan ke atas perancangan gunatenaga di Malaysia perlu dilihat sebagai satu cara menerapkan kembali bibit-bibit khazanah kebudayaan milik bersama yang kian menghilang.
Sudah tiba masanya kita memikirkan satu formulasi daripada sering memandang sinis atau memberi komen yang lebih menipiskan penyatuan aliran matlamat kebangsaan. Apabila cadangan dilontarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk melanjutkan tempoh latihan industri kepada 6 bulan, ramai yang melihat isu ini dari sudut pandangan yang sempit. Penumpuan hanya untuk mengatasi masalah kurangnya pengalaman pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi apabila memasuki alam pekerjaan. Sebenarnya, di sinilah peluang keemasan yang perlu direbut bagi merancang gunatenaga seiring dengan proses penerapan integrasi antara kaum.
Integrasi bukan sekadar agenda retorik yang ditekankan kepada pelajar peringkat sekolah rendah dan menengah sahaja tetapi merupakan program bersepadu yang perlu diutamakan dalam perancangan sumber manusia. Pertimbangan penyusunan semula latihan industri hendaklah mengambilkira perkara-perkara berikut:
a. Latihan industri seadilnya dilanjutkan kepada tempoh melebihi satu tahun dengan mensyaratkan perlaksanaan integrasi.
b. Modul yang sewajarnya perlu diperkenalkan bagi memastikan pelajar bukan sahaja terdedah kepada pengalaman bekerja malah berupaya berinteraksi sesama bangsa lain. Pelajar berbangsa melayu contohnya perlu menjalankan latihan industri di syarikat milik bangsa cina atau india, bangsa cina diwajibkan menjalani latihan industri di syarikat milik bangsa melayu atau india, manakala bangsa india ditetapkan melalui pengalaman bekerja di syarikat milik melayu atau cina. Berbeza dengan keadaan sedia ada, usaha ini diambil dengan cara berfikir mengimbau ke belakang (reverse thinking) dalam menangani permasalahan perkauman.
c. Secara tidak langsung pelajar yang ditempatkan di syarikat tersebut akan cuba untuk menyesuaikan diri mereka dalam persekitaran bangsa lain, cuba memahami dan menyesuaikan diri dengan budaya bangsa tersebut. Dengan kata lain, latihan industri menjadikan pelajar terdedah kepada persekitaran yang memerlukan mereka berinteraksi dan cuba menyesuaikan diri mereka selama tempoh waktu tersebut.
d. Setelah mereka menerima maklumat dan pengisian peringkat pengajian yang lebih berbentuk Intelligence Quotient (IQ), mereka akan berhadapan pula dengan Emotional Quotient (EQ) di peringkat latihan industri dalam usaha mendapatkan pengalaman sebenar bekerja.
e. Usaha penjernihan ini juga mengambilkira ciri pembangunan insan yang mantap dari segi pembentukan sikap dan budaya kerja mereka. Pelajar bukan sekadar berusaha untuk mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran, malah yang paling penting pembangunan sikap yang proaktif dengan persekitaran kerja pelbagai bangsa sebagaimana yang disentuh oleh Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini.
f. Pendekatan ini juga merupakan salah satu usaha untuk mengatasi masalah penguasaan bahasa kebangsaan di kalangan bangsa bukan melayu dan penguasaan bahasa kedua iaitu Bahasa Inggeris di kalangan pelajar terutamanya bangsa melayu.
g. Program latihan industri tidak perlu melibatkan penempatan pelajar-pelajar di badan atau agensi kerajaan kerana kerajaan telah mempunyai jentera tertentu perjawatan ditambah pula ianya melibatkan maklumat-maklumat yang sulit dan terkawal.
h. Pendekatan ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk menjemput syarikat swasta terlibat dalam pembangunan ekonomi dan perlaksanaan tanggungjawab kemasyarakatan kepada negara. Secara tidak langsung, syarikat terbabit mendapat manafaat dari sumbangan tenaga kerja, pelajar juga mendapat pendedahan sebenar di dalam industri manakala kerajaan dapat mengimbangi jurang kemasyarakatan antara kaum.
i. Kita bukan sahaja menjawab persoalan sumbangan Government Linked Company (GLC) terhadap negara malah semua syarikat yang menjalankan perniagaan mereka di Malaysia perlu mengambil bahagian. Usaha Khazanah Nasional Berhad melaksanakan program Graduate Employability Enhancement Program (GREEN) bukan setakat perlu dipuji tetapi dicontohi oleh semua syarikat lain.
j. Perkara paling penting di sini ialah modul menjalani latihan industri perlu dikawalselia oleh satu jawatankuasa melalui penggunaan talian (on line) selari dengan perkembangan teknologi. Maklumat perkembangan pelajar yang sedang atau telah tamat latihan industri direkodkan untuk rujukan majikan yang berminat mendapatkan tenaga kerjanya.
k. Ini akan memudahkan pihak yang ingin mendapatkan maklumat siswazah atau pelajar bagi tujuan mengisi kekosongan jawatan seperti program Malaysian Electronic Labour Exchange (ELX) yang dipantau oleh Jabatan Tenaga Rakyat (JTR) Kementerian Sumber Manusia boleh mengetahui tahap pendedahan yang pernah diikuti oleh pelajar terbabit.
l. Dengan cara ini, isu ketidaksepadanan pengalaman (skill mismatch) berkemungkinan besar boleh dielakkan.
m. Maklumat perangkaan ini juga boleh dibentangkan kepada mereka yang menyerang isu perkauman di Malaysia sekiranya kita ingin berbuat demikian.
Persoalan-persoalan seperti ada sesetengah pihak mengambil tindakan tertentu melalui parti politik dalam memastikan peluang pekerjaan kelompok mereka sahaja dan pilih kasih dalam pemilihan calon dengan mensyaratkan bahasa tertentu yang semakin hari semakin menjadi-jadi boleh diatasi melalui usaha ini.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) telah melaksanakan Skim Latihan Graduan (SLG) dengan tujuan untuk membantu meningkatkan kemahiran graduan yang masih menganggur dengan kemahiran khusus bagi memperluaskan peluang mereka mendapat pekerjaan. Sejak dilancarkan pada 9 Ogos 2005 hingga 4 Januari 2006, sebanyak 7,992 permohonan diterima dari graduan, membabitkan tanggungan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM50 juta dari RM100 juta keseluruhan perbelanjaan yang diluluskan. (Berita Harian.Lahir Pekerja Mahir Tangani Pengangguran. 5 Februari 2006).
Namun, terdapat tempiasan yang melaporkan bahawa SLG kurang mendapat sambutan di sesetengah tempat. Sebahagian dari peruntukan yang diluluskan ini boleh disalurkan kepada syarikat yang mengambil pelajar latihan industri sebagai insentif. Kelebihan yang jelas dengan tindakan ini ialah, pelajar yang menjalankan latihan praktikal di syarikat yang bersesuaian dengan bidang mereka lebih banyak mendapat maklumat dan pengalaman berbanding dengan mengikuti sukatan pengisian SLG secara umum.
Melalui perlaksanaan program ini, adalah disarankan agar pelajar didedahkan di peringkat awal maklumat tentang syarikat seperti penubuhan, struktur organisasi, matlamat dan sebagainya diikuti dengan pengetahuan tentang barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan secara teliti, seterusnya penekanan operasi seperti perhubungan pelanggan atau aduan pengguna terhadap barangan dan perkhidmatan. Ini akan memberi peluang kepada pelajar memahami secara terperinci sesuatu perkara berkaitan yang telah mereka pelajari di institusi pengajian. Mungkin juga ada pelajar yang terkejut bahawa perkataan ‘c.c’ yang digunakan di dalam industri berasaskan kimia itu adalah ‘calcium carbonate’ ataupun kapur makan yang digunakan di dalam makanan.
Kesemua kemahiran yang diperolehi perlu disahkan di akhir sesi latihan industri supaya ianya boleh dijadikan sebagai bukti kecekapan dan pengalaman yang dimiliki oleh pelajar terbabit. Tidak dapat diragukan lagi bahawa mutu gunatenaga yang terlibat dengan modul latihan industri yang dipantau oleh jawatankuasa tertentu dan teratur dapat mendokong matlamat kebangsaan secara bersesama.
Masyarakat perlu celik melihat kepentingan kebangsaan dengan fikiran yang baik. Adalah terlalu hina melabelkan kemampuan pelajar hasil dari latihan industri sekadar berupaya membuat salinan fotokopi, mengangkat telefon dan menyusun fail. Menyamatarafkan pelajar institusi pengajian tinggi dengan budak yang baru bersekolah rendah adalah satu penghinaan kepada semua pihak. Tanpa berbuat apa-apa, penghinaan ini akan berterusan.