Intipati dari Kalam Allah dan Sunnah Rasulullah dalam hal makanan dan pemakanan boleh dijadikan panduan dalam kehidupan muslim. Sudah pasti ia boleh dijadikan pedoman, baik dalam bab memilih makanan, sumber mendapatkan makanan, jenis makanan dan juga adab makan. Makanan mempunyai pengaruh yang amat besar kepada rutin harian manusia sama ada dari segi jasmani mahupun rohani. Pada zaman yang serba moden ini, kita seringkali dilalaikan dengan memilih makanan yang bertujuan hanya untuk pertumbuhan jasmani sahaja yang semata- mata berbentuk luaran tetapi kita lupa untuk mencari makanan yang seimbang kesannya dalam pembentukan lahiriah dan rohaniah iaitu pembentukan akal cemerlang dan peribadi yang gemilang.
Bagaimana hubungan rohani dengan makanan dan juga kesihatan? Menurut Hunayn Ibn Ishaq, roh atau jiwa boleh dibahagikan kepada tiga iaitu yang semulajadi dari hati, yang berhubung dengan keperluan hidup iaitu jantung dan yang terakhir ialah otak manusia. Selaras dengan itu, ketiga- tiga unsur penting ini memerlukan kesejahteraan tubuh badan untuk memeliharanya. Justeru, badan memerlukan makanan yang baik untuk memeliharanya dengan cara mendapatkan zat yang terbaik untuk digunakan oleh tubuh badan manusia. Disini, jelas menunjukkan bahawa kepentingan makanan dan minuman yang mempunyai hubungkait dengan kesihatan hati, jantung dan otak yang merupakan organ penting di dalam jasad manusia dan ia juga diperlukan dalam pembangunan jasmani dan rohani insan mengikut acuan yang berlandaskan lunas- lunas Islam. Ahli sains dan perubatan tidak menafikan peri pentingnya peranan hati dalam fungsi badan. Bahkan, Islam juga memandang bahawa hati mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan manusia di mana ia mempengaruhi keseluruhan pembentukan peribadi dan akal seseorang insan sepertimana dalam sepotong hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari: “Di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging yang apabila baik daging itu maka baiklah seluruh tubuh badan (jasad), dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad, sesungguhnya ia adalah hati”. Oleh itu, jelas kepada kita bahawa dari sudut pandangan sains, makanan yang baik adalah penting untuk menjaga kesihatan hati kerana ia mempunyai fungsi penting untuk tubuh antara lainnya mempunyai dua kali ganda bekalan darah, mengkumuhkan bahan- bahan beracun dalam badan, membina dan memusnahkan sel darah merah , menukarkan glikogen kepada glukosa untuk diserap oleh badan serta banyak lagi fungsi- fungsi khusus lain yang penting dalam sistem tubuh badan manusia. Manakala dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk keterampilan peribadi seseorang yang akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan ummah yang terbilang.
Di dalam tafsir Al- Azhar, Prof Hamka mengingatkan agar manusia tetap mencari makanan dan mengatur makanan serta minumannya daripada sumber yang halal dan bukannya daripada sumber penipuan yang sering berlaku kini sama ada ia berbentuk rasuah, dicuri atau dipaksa. Ia adalah untuk memelihara jiwa daripada dikotori oleh makanan yang tidak halal sumbernya. Meskipun makanan tersebut adalah baik tetapi unsur halal perlu dititikberatkan agar kita dapat menjaga hati kita agar tidak dicemari dengan makanan yang haram yang akan memberi kesan kepada keperibadian kita keseluruhannya. Batas- batas yang baik itu sudah tentu dapat dipertimbangkan oleh akal fikiran manusia. Yang penting makanan tersebut bukan sahaja yang halal tetapi juga baik sepertimana faham halalan tayyiban yang dianjurkan dalam agama. Di dalam satu riwayat yang disampaikan oleh Ibn Mardawaihi daripada Ibn Abbas bahawa seorang sahabat Rasulullah yang terkenal iaitu Saad Ibn Abu Waqqas memohon kepada Rasulullah agar baginda memohon kepada Allah supaya apa sahaja yang doa permohonan yang disampaikannya kepada Tuhan, supaya dikabulkan. Rasulullah bersabda: ” Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangannya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam peritnya, maka tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan Barangsiapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya dari harta yang haram dan riba, maka api lebih baik baginya”.
Hadis ini sudah tentu cukup menggerunkan hati kita supaya kita menjauhi makanan yang haram dan makanan daripada sumber yang haram. Seandainya ingin doa yang kita panjatkan dimakbul oleh Allah, maka kita juga perlu menjaga makanan yang disuap ke mulut kita. Perut yang dipenuhi dengan makanan yang haram akan mempengaruhi jiwa kita. Oleh itu, sebagai intisari daripada hadis tersebut, seharusnya boleh dijadikan pengiktibaran untuk memberi petunjuk kepada kita menyelidiki serta memperhalusi sendiri jika selama ini doa kita tidak dimakbulkan oleh Allah. Perincikanlah dimana salah kita, pekerjaan, makanan dan adakah kita berusaha di dalam hidup ini hanya sekadar untuk memenuhi perut kita? Bagaimana mungkin hati yang kotor akan dikabulkan doanya? Bagaimana mungkin perut yang terisi daripada makanan yang haram itu dapat menjelmakan peribadi yang soleh? Sama- samalah kita fikirkan.
Pemakanan yang sihat dan seimbang mampu memelihara tubuh badan kita dari sebarang penyakit yang memudaratkan. Pengambilan dan penggunaan tenaga yang seimbang dan optimum dapat mengekalkan kesihatan jasmani. Apabila tubuh kita kuat dan sihat, kita dapat melakukan pekerjaan atau rutin harian dengan sempurna sekaligus dapat melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah. Daripada bab memilih makanan yang baik, Islam juga menggariskan kepada kita tentang adab- adab makan yang sedikit sebanyak mempengaruhi pengamalan seharian kita. Adab sebelum dan selepas makan, adab semasa makan dan adab makan bersama tetamu, semuanya telah digariskan oleh Islam yang mana ia melambangkan kesyumulan Islam dalam melahirkan generasi berkeperibadian mulia dan beradab.
Seorang muslim makan adalah untuk meneruskan kehidupan dan bukanlah makan semata- maata untuk hidup. Walaupun makanan memainkan peranan penting dalam menentukan taraf kesihatan seseorang, bukanlah hanya makanan yang menjadi punca kepada segala penyakit kerana banyak lagi unsur yang menyebabkan gangguan kepada kesihatan. Namun, sebagai manusia yang banyak kelemahan, kita seharusnya menyedari bahawa kita boleh mencegah sesuatu penyakit itu berlaku. Islam sendiri mementingkan faham pencegahan penyakit lebih baik daripada pengubatan. Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang membawa maksud: ” Kami adalah suatu kaum yang tidak makan sebelum kami lapar dan sekiranya kami makan tidak pula sampai kekenyangan”. Faham yang diutarakan ini berteraskan makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang adalah sesuai diamalkan dalam kehidupan dimana kita seringkali mengambil makanan mengikut runtunan hawa nafsu dan bukannya makan mengikut keperluan. Sebab itulah masyarakat kita sekarang selalu berhadapan dengan masalah kesihatan berkaitan makanan seperti kegemukan, kencing manis dan penyakit berkaitan jantung. Pemakanan yang seimbang mengambilkira keperluan makanan untuk tubuh seseorang, usia dan kegiatan harian seseorang. Ibnu Sina juga di dalam Al Qanun Fi al-Tibb menyarankan agar kita mengelak daripada makan dengan sekenyang- kenyangnya sehingga tiada ruang lagi untuk baki makanan lain di dalam perut. Malah perasaan ingin makan tersebut hendaklah ditahan kerana keinginan untuk makan itu merupakan sebahagian daripada tuntutan lapar yang akan hilang sendiri selepas satu jam. Saranan ini hendaklah menjadi satu kelaziman agar kita dapat mengawal keinginan dan selera makan yang tidak berpatutan.
Makanan yang baik akan membuatkan manusia sihat dan selamat. Ia akan menambah kekuatan badan untuk melawan penyakit dan menjadikannya lebih bertenaga untuk bekerja mencari rezeki dan memakmurkan bumi. Bukankah itu satu daripada taklif yang diturunkan Allah kepada kita sebagai manusia? Justeru, berlebihan- lebihan dalam makan dan minum akan mengundang kepada penyakit dan kemudaratan dan Allah juga mengingatkan kita agar jangan berlebih- lebihan dalam perkara tersebut sepertimana yang telah dinyatakan dalam Al Quran ayat 31 Surah al- A’raf. Berlebih- lebihan dalam mengambil makanan dan minuman akan membawa kepada kesukaran penghadaman makanan oleh perut dan sistem ini bakal ditimpa dengan pelbagai penyakit. Contohnya, kegemukan boleh mendatangkan kepada pelbagai komplikasi penyakit lain bahkan boleh membawa kepada malas, tidak cergas dan tidak sempurna dalam pekerjaan. Kesannya adalah lebih teruk seandainya penyakit berkaitan makanan itu melarat dan boleh membawa kepada maut. Namun perlu diingatkan bahawa berlebih- lebihan dalam mengambil makanan dan minuman juga akan membawa kepada berlebih- lebihan dalam berbelanja dan boleh menyebabkan kepapaan. Sikap boros bukanlah satu sikap yang dipuji dalam Islam malah ia merupakan sikap syaitan. Oleh itu, kita perlulah bersederhana dalam semua perkara yang kita lakukan hatta dalam pengambilan makanan seharian sekalipun.
Walaubagaimanapun, sebagai langkah untuk kita memelihara kesihatan anugerah Allah ini, seharusnya kita mengamalkan apa yang telah dianjurkan dalam Islam berkaitan dengan pemakanan yang sihat sekaligus dapat menjadikan kita insan yang beradab. Pemakanan yang sihat dan seimbang dari segi kualiti dan kuantitinya mampu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja cemerlang dari segi kesihatannya bahkan juga cemerlang dari segi akhlak sahsiah, berperibadi mulia, bertamadun mengikut acuan Islam dan yang paling penting mampu menzahirkan masyarakat yang terbilang dalam mengamalkan ajaran Islam secara lengkap dan menyeluruh.