Majalah National Geographic, Disember 2008 antara lain memaparkan penemuan makam Raja Herod yang juga dikenali sebagai Herod I atau Herod yang Agung (73 SM. – 4 SM.), pemerintah Judaea. Makamnya itu dikatakan berada di cerun atas Herodium, salah sebuah binaan terhebat dihasilkan Raja Herod yang dikelilingi istana-istana indah, kolam-kolam yang berdebur airnya dan taman-taman yang bertingkat. Penemuan makamnya itu pada April 2007 mengakhiri pencarian sekumpulan ahli arkeologi yang diketuai Ehud Netzer sejak separuh kurun yang lepas mengenai diri sebenar Raja Herod.
Penemuan makam tersebut juga turut merakamkan pencapaian hebat yang kononnya dicatat oleh pemerintah yang menggabungkan unsur kreativiti dengan kezaliman dan ketenangan serta keadaan huru-hara dalam pemerintahannya selama 34 tahun. Raja Herod terkenal dengan pencapaiannya dalam seni bina seperti, Second Temple (Herod’s Temple), Temple Mount, istana tiga tingkat, kota-kota perkubuan seperti Masada dan Herodium, kota pelabuhan, iaitu Caesaria dan pembangunan sumber bekalan air untuk kota Jerusalem. Kelihatannya bahawa gambaran sebenar Raja Herod yang cuba ditonjolkan oleh Ehud Netzer dan pasukannya hanyalah sebagai jurubina yang amat mahir dan memiliki daya kreativiti yang luar biasa, sebagaimana yang dapat dilihat pada peninggalan monumen-monumen yang ditemui dalam usaha penggalian mereka. Barangkali ia juga merupakan usaha mengetepikan pelbagai pandangan buruk yang diberikan terhadap pemerintah yang dikatakan mangkat akibat penyakit buah pinggang yang teruk, sifilis, kencing manis, kudis buta selain kemurungan dan paranoia yang dideritainya untuk suatu tempoh yang agak lama.
Namun, hakikatnya tiada sesiapa pun dapat menafikan kenyataan bahawa Raja Herod sememangnya seorang yang kejam dan zalim kerana membunuh tiga orang putera, isteri dan juga bonda mertuanya sendiri selain sedemikian ramai anggota istananya. Apalah maknanya segala keagungan yang cuba ditampilkan melalui binaan-binaan yang hebat lagi mengagumkan oleh Raja Herod itu seandainya jiwa dan rohaninya sendiri tidak berjaya dibangunkan? Jika sekalipun binaan-binaan ciptaan Raja Herod itu dianggap menakjubkan pandangan mata, ia tidaklah begitu menghairankan. Ini kerana, sebagai contoh, kaum Thamud, iaitu kaum Nabi Salih a.s., sebagaimana dirakamkan al-Qur’an, juga memiliki kehebatan dalam bidang seni bina dan pertukangan selain dikurniai peradaban, kemakmuran, kekuatan serta ketangkasan. Mereka membina tempat tinggal di tanah-tanah yang datar dan membangunkan istana-istana serta rumah-rumah yang bertingkat. Dengan kebijaksanaan akal yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada mereka, kaum Thamud berupaya membina bangunan dengan teknik binaan yang baik serta pertukangan yang teliti.
Di samping itu, Allah s.w.t. juga mengilhamkan teknik membuat lubang di celah-celah gunung kepada mereka untuk membina rumah dan memberikan kekuatan serta ketabahan dalam melaksanakan usaha mereka itu. Terdapat sebuah riwayat yang mengatakan, “Kaum Nabi Salih a.s. tinggal di kawasan pergunungan pada musim dingin kerana rumah-rumah hasil pahatan mereka itu cukup teguh sehingga tidak terjejas oleh hujan serta angin. Mereka tinggal di tanah-tanah yang datar pada musim-musim yang selainnya untuk bercucuk tanam dan bekerja.” Namun segala keagungan, kekuatan dan kegemilangan yang dicapai oleh kaum Thamud tidak sama sekali bermakna kerana mereka mengkufuri dan mendurhakai Allah s.w.t. lalu akhirnya Allah membinasakan serta melenyapkan mereka dari muka bumi (Surah al-A`raaf 74-78).
Pada hakikatnya, pembangunan dan kemajuan yang sebenar pada pandangan agama Islam, bukanlah pembangunan dari segi jasmaniah semata-mata, misalnya melalui pembinaan peradaban dan ketamadunan yang tinggi, tanpa memiliki roh atau asasnya yang teguh. Namun yang lebih diutamakan dan lebih bermakna pada pandangan agama Islam ialah pembangunan dari sudut rohani dan diri. Dengan kata-kata lain, pembangunan jiwa, akal dan diri harus diberikan penekanan yang utama. Ini kerana, hanya mereka yang dibimbing oleh iman dan dibangunkan jiwa serta dibentuk akalnya dengan sempurna sahaja yang akan dapat melaksanakan pembangunan dari segenap sudut. Pembangunan dari sudut-sudut yang lain itu pula sudah pasti menurut garis panduan yang ditetapkan oleh agama Islam, iaitu berasaskan akidah suci kepada Allah s.w.t., syariah yang berperanan sebagai panduan serta peraturan hidup dan juga akhlak yang mulia. Inilah asas yang mendasari tamadun Islam dan menjadikannya berbeza dengan tamadun-tamadun yang lain di dunia.
Memetik pandangan yang diutarakan oleh Prof. Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Risalah untuk Kaum Muslimin (ISTAC, 2001), usaha yang menuju kepada dasar Islam yang tulen itulah sebenarnya pembangunan dan pembangunan sedemikian sahajalah yang dapat dinamai sebagai kemajuan. Menurut beliau lagi, kemajuan bukan usaha yang dirancang untuk dicapai dalam tempoh atau jangka masa yang pendek bahkan ia merupakan usaha untuk mencapai tujuan yang tetap dan jelas dalam tempoh atau jangka masa sepanjang kehidupan seseorang. Selain itu, disebabkan kemajuan masyarakat bergantung pada kemajuan individu, maka segala usaha mencapai kemajuan tersebut haruslah bermula dengan individu.
Ini bermakna, segala usaha harus ditumpukan untuk meneguhkan dan membina jiwa, akal serta rohani individu terlebih dahulu. Hakikat ini menyerlahkan amanah dan tanggungjawab besar yang digalas oleh setiap pemimpin. Malah setiap pemimpin juga harus menyedari bahawa jiwa dan rohaninya pula terlebih dahulu perlu dibangunkan agar ia berkemampuan untuk membimbing setiap rakyatnya untuk berbuat demikian. Jika perkara yang penting ini diabaikan maka tidak mustahil pemimpin tersebut hanya akan mengulangi kesilapan yang sama yang pernah dilakukan oleh pemimpin terdahulu dan generasi kemudian tidak sama sekali dapat mempelajari suatu apa pun yang berguna daripada dirinya. Akan tetapi yang mungkin hanya disebut-sebut cuma sisa peninggalan bangunan-bangunan bersejarah yang pernah dibina atau didirikan sebagai bukti kewujudan tamadun bangsanya; tidak lebih dan tiada yang lebih bermakna daripada itu.