Kematian Noramfaizul Mohd. Nor, Wartawan BERNAMA baru-baru ini merupakan suatu kehilangan besar di kalangan pengamal media di negara kita ini. Namun, itulah sebahagian dari kehidupan petugas media yang seringkali berhadapan dengan risiko sebegitu apabila cuba mendapatkan berita dengan turun ke lapangan. Ramai di kalangan wartawan media-media besar dunia yang meninggal dunia sebelum ini khususnya apabila membuat liputan di kawasan-kawasan peperangan dan konflik.
Kita percaya pemergian beliau itu tidak sia-sia andainya beliau bekerja dengan penuh keikhlasan untuk mendapatkan maklumat dan berita yang benar tentang apa yang terjadi di Somalia untuk dimaklumkan kepada masyarakat umum di Malaysia. Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Industri pemberitaan dunia hari sudah sekian lama tersasar dari kebenaran apabila ianya dimonopoli oleh kuasa-kuasa besar yang kebanyakkannya dimiliki oleh tokoh-tokoh Yahudi. Lihat saja siapa di belakang CNN, CNBC, FOX, REUTERS, BBC dan lain-lain yang samada secara langsung atau tidak langsung ianya pasti ada kaitan dengan rejim Zionis.
Apabila Yahudi yang menguasai media, maka sudah pasti berita yang diterima oleh masyarakat hanya yang baik-baik belaka berhubung rejim tersebut dan itulah yang berlaku hari ini apabila segala penderitaan, kesengasaraan warga Palestin dan kekejaman Israel langsung tidak dihebahkan kepada masyarakat antarabangsa. Begitu juga kesengsaraan umat Islam di Somalia, Kenya, Sudan dan lain-lain. Yang dilapurkan hanyalah berita yang ingin didengar oleh pemilik-pemilik saham syarikat berkenaan.
Hari ini, ianya sudah menjadi fardu kifayah kepada umat Islam untuk menjadi pembekal berita yang sebenar tanpa perlu bergantung lagi kepada sumber-sumber asing ini. Peranan yang dimainkan oleh al-Jazeera ketika peristiwa 11 September dan Perang Amerika-Iraq pada tahun 2003 suatu ketika dulu telah memberi pukulan teruk kepada media-media asing yang berpengaruh itu. Ia sepatutnya turut dicontohi oleh agensi-agensi media tempatan di negara kita ini untuk menjadi pembekal berita setanding seperti al-Jazeera dan media-media besar lain. Sampai bilakah umat Islam harus bergantung sumber berita dari media-media besar bukan Islam ini?
Masyarakat Islam hari ini mendambakan berita yang benar dan siapakah yang diharapkan akan berpegang teguh kepada kebenaran melainkan berita dari orang Islam sendiri. Mana-mana wartawan yang berjuang dengan ikhlas mencari berita yang benar dan menyampaikan kebenaran itu kepada masyarakat sebenarnya menjalankan tugas yang murni di sisi Islam. Itulah etika kewartawanan Islami yang semakin tidak dihayati oleh sebahagian pengamal media hari ini, bahkan di kalangan pengamal media beragama Islam sendiri. Selama mana kita tidak berpegang kepada etika kewartawanan Islami, selama itulah kita tidak akan mampu pergi jauh dan menjadi sumber berita yang mempunyai kredibiliti dan diterima ramai.
Kalau diperhatikan kebanyakan berita yang disiarkan hari ini bukan lagi berdasarkan fakta yang sebenar tetapi sejauh mana sesuatu berita itu boleh melariskan jualan. Akhbar nombor satu tahanair bukan kerana akhbar tersebut dari arus perdana yang mampu mendidik masyarakat, membina jati diri bangsa dan menyajikan berita-berita benar tetapi kerana ianya sarat dengan berita-berita sensasi, gossip dan ada ketikanya separa lucah, walaupun hanya sekadar tabloid nyamuk. Ramai yang mula merasakan membaca akhbar-akhbar hari ini lebih banyak membuang masa dari mengikuti perkembangan semasa yang disajikan dengan penuh fakta kebenaran.
Itu belum bercakap tentang media yang dijadikan sebagai ejen propaganda sehingga begitu meloyakan dan menjengkelkan sesiapa yang membacanya. Lalu segala perasa dan perisa ditambah dalam berita sehingga kebenaran itu hanya tinggal beberapa peratus sahaja manakala 90 % lagi adalah tokok-tambah dan kepalsuan belaka. Ada juga berita yang disediakan oleh wartawan yang turun di lapangan sudah sebenarnya menggambarkan cerita sebenar yang berlaku, tetapi ditapis oleh penyunting dan ketua pengarang menjadikan berita tersebut berat sebelah atau laporan terpilih (selective reporting) dan menguntungkan pihak-pihak tertentu dan menzalimi pihak lain. Ini jauh sekali tersasar dari etika kewartawatan Islami. Apabila kita melanggari etika kewartawanan Islami, maka usah diharapkan media tersebut akan mampu menjadi sumber pembekal berita yang ampuh, berkredibiliti dan dipercayai ramai.
Islam begitu mementingkan kebenaran bukan sahaja dalam laporan pemberitaan bahkan dalam segenap aspek kehidupan kita. Sebab itulah salah satu sifat wajib Baginda SAW ialah “al-Siddiq” yang membawa maksud benar dalam tutur kata dan tingkahlaku. Begitu juga salah satu Asma ul-Husna ialah “al-Haq” yang membawa maksud benar. Walaupun di sana ada sedikit perbezaan dari segi makna al-Haq dan al-Siddiq, namun itu bukanlah isunya di sini. Yang pentingnya ialah “kebenaran” itu merupakan isu pokok dalam ajaran Islam sehingga Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW wajib bersifat dengan sifat benar dalam pertuturan, tingkahlaku dan akhlaq Baginda. Bahkan Islam menggesa agar bercakap benar walaupun pahit (mafhum hadith dari Imam Ahmad), walaupun kebenaran itu ada ketikanya kena batang tubuh kita sendiri yang menuturkannya. Berapa ramai para Sahabat dan Salafussoleh yang apabila ditegur mengakui kesilapannya kerana kuatnya mereka berpegang kepada prinsip kebenaran. Umar al-Khattab misalnya pernah mengatakan “Ya perempuan itu benar, dan Umar salah”. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Jabir, Baginda SAW menyebut yang mafhumnya “Tiada sedekah yang lebih dicintai Allah dari bercakap benar” (Bayhaqi).
Namum, ada ketikanya kita tidak dapat lari dari menerima berita-berita yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Lantas, Allah SWT berpesan agar setiap berita yang diterima disiasat terlebih dahulu kebenarannya, khususnya berita yang dibawa oleh golongan-golongan yang berdosa seperti golongan fasiq yang suka berdusta, (Surah Al-Hujurat 49:6). Ini kerana mudaratnya amat besar terhadap diri dan masyarakat apabila berita yang dibawa itu merupakan suatu pembohongan dan kepalsuan, namun disangka suatu kebenaran.
Sungguh mendukacitakan kita semua setelah lebih 54 tahun merdeka, media hari ini bukan sahaja gagal untuk menjadi ejen menyediakan maklumat berita yang benar dan berkredibiliti tanpa berpihak kepada mana-mana melainkan kebenaran, jauh sekali untuk diharapkan menjadi ejen mendidik bangsa dan membina jati diri umat. Yang ada hari ini ialah media yang saling menabur fitnah, yang satu memfitnah pihak yang satu lagi bergantung kepada siapakah empunya media tersebut. Sampai bilakah umat Islam harus begini?