Menjelang SUKOM 98 tentulah terdapat banyak negara Komanwel yang akan memfokuskan liputan berita mereka di sekitar temasya sukan tersebut untuk sekian juta penduduk negara masing-masing. Malaysia dengan itu akan menjadi objek pemerhatian dan tumpuan jutaan penduduk dunia sebagai negara penganjur, yang kita harapkan mencapai kejayaan cemerlang dalam mengurus dan menjayakan sukan tersebut, sekali gus menempah nama dalam dunia antarabangsa sebagai negara gergasi yang perkasa walaupun saiz tanah dan penduduknya agak kecil dan selama ini agak tersorok dari pandangan umum dunia.
Sebagai saluran liputan berita, maka media yang akan memfokuskan Malaysia, tentulah merupakan pemain utama dalam arus perdana temasya ini, yang akan memprojekkan buruk baik, cemerlang tidaknya keupayaan Malaysia dan orang¬orangnya dalam arena sukan dan bukan sukan.
Saya menyebut hal ini, kerana pada hari Selasa 21 Julai lalu, saya dikunjungi oleh Canadian Broadcasting Corporation (CBC) dengan tiga orang krewnya yang terdiri dari penerbit, pengulas dan jurukamera yang datang menemubual saya, bukan tentang Sukan Komanwel, tetapi tentang latar belakang negara kita dalam bidang keagamaan, khususnya senario Malaysia sebagai sebuah negara yang komited kepada dasar Islam di samping amalan kebebasan agama yang amat unik dalam negara kepelbagaian agama dan kaum ini.
Menurut keterangan yang diberikan, CBC yang mempunyai pengalaman luas dalam membuat liputan acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Piala Dunia dan Sukan Komanwel serta acara sukan antarabangsa yang lain, akan memfokuskan Malaysia dengan kepelbagaian latar belakangnya ketika membuat liputan secara langsung bagi SUKOM 98 nanti, yang tentunya juga akan memfokuskan tentang amalan Islam dan institusi-institusinya di Malaysia.
Saya amat menghormati usaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan yang mengatur program CBC ke IKIM melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, kerana usaha ini saya rasa amat tepat pada masanya, iaitu ketika berusaha menggalakkan pelancongan di Malaysia, maka gambaran unik Malaysia tentang amalan agama yang dinamik dan murni, serta kejayaan Malaysia mewuiudkan keharmonian kaum dan kekuatan serta kedamaiannya melalui sikap toleransi dan persefahaman haruslah diprojekkan sebagai sesuatu yang amat unik bagi negara kita.
Maka dalam konteks inilah, saya rasa kewujudan media antarabangsa di Malaysia untuk membuat liputan temasya Sukan Komanwel yang sudah dirasai bahangnya sekarang dapat dipergunakan dengan sebaik-baiknya untuk menonjolkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ajaran dan nilai-nilai agama yang positif dan dinamik, dengan para penduduknya sendiri yang diharap dapat menonjolkan model dan contoh yang cemerlang sebagai para penganut agama yang komited di samping mengamalkan sikap toleransi, keterbukaan, hormat menghormati dan bersedia melakukan perubahan tanpa mengambil jalan keganasan dan kekacauan.
Hal inilah yang saya cuba jelaskan kepada CBC iaitu Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, sentiasa terikat dengan nilai-nilai sejagat Islam yang dilaksanakan demi menegakkan kesejahteraan dan keadilan bagi seluruh rakyatnya. Islam yang disibarkan dan dilaksanakan di Malaysia sentiasa tertakluk kepada dasar sosio-politik negara bangsa, iaitu berdasarkan demokrasi berparlimen di mana semua kaum diwakili dalam berbagai-bagai parti politik untuk bersaing secara bebas dalam pilihanraya umum setiap lima tahun sekali, dan memberi peluang yang sama rata kepada rakyat dalam bidang ekonomi, pendidikan, agama dan sosial.
Malah, bersesuaian dengan amalan demokrasi Islam, para pembangkang juga mempunyai wakil-wakil mereka sendiri dalam arus perdana politik Malaysia untuk menyuarakan kehendak mereka tanpa perlu mengambil jalan kekerasan, atau bergerak secara sulit dalam gerakan “bawah tanah” yang akan menggugat kestabilan sosial, ekonomi, dan politik negara.
Pihak CBC sebenarnya telah membuat penyelidikannya sendiri tentang aspek-aspek pembangunan di Malaysia seperti yang dapat saya ciumi baunya dari soalan¬soalan yang dikemukakan kepada saya, termasuk soal kegawatan ekonomi dan hubungannya dengan Islam dan ahli-ahli korporat Islam sendiri.
Saya menjelaskan kepada mereka bahawa orang Islam sentiasa mengambil sikap terbuka kepada perubahan dan sentiasa mempelajari berbagai-bagai hikmah dari pengalaman pahit, termasuk kegawatan ekonomi, dan berikutan dari pengamalan itu orang-orang Islam sentiasa merangka dan merancang langkah-langkah seterusnya secara berhati-hati dan penuh waspada. Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan dunia selama mana mereka mengetahui dan menghormati batas-batasnya dan melaksanakan tugas-tugas keagamaannya ketika mewah dan makmur.
Sungguhpun persaingan pemiagaan yang pesat di kalangan ahli-ahli korporat meninggalkan sedikit sebanyak kesan negatif kepada hali-ahli korporat Islam dari segi penghayatan nilai-nilai moral kerohanian mereka, namun pada umumnya ahli-ahli korporat Islam di Malaysia masih dapat menonjolkan beberapa orang model ahli korporat Islam yang komited kepada nilai-nilai etika dan moral kerohanian yang murni.
John Naisbitt dalam Megatremis Asia (1997) menekankan tentang fenomena baru dalam dunia korporat di Asia di mana komitmen kepada dasar Islam merupakan satu komponen penting dalam kebangkitan ahli korporat islam di benua itu. Menurut beliau, terdapat ketua-ketua korporat Muslim di Asia yang komited kepada dasar-dasar Islam dan masih muda, tiga puluhan ke empat puluhan umumya, muncul secara mendadak dalam dunia perniagaan Asia, dan mereka menerima perubahan secara terbuka.
Tidak hairanlah bahawa perkara ini ditonjolkan oleh Naisbitt kerana beliau sentiasa melihat perubahan dinamik yang berlaku di Asia malah beliau memetik contoh ketua korporat Muslim yang dimaksudkannya dengan nama Tajuddin Ramli, Pengerusi MAS yang digambarkan sebagai tokoh korporat muda yang mewakili golongan korporat Muslim yang menonjol dalam dunia pemiagaan antarabangsa dan dalam masa yang sama menonjol dengan identiti keIslamannya.
Demikianlah rangkaian dan rintitan peristiwa dunia dari sukan ke dunia korporat yang saya fikir tidak dapat dipisahkan dari pembangunan Islam dan umatnya sendiri. Oleh itu pelaksanaan program sukan, khususnya SUKOM 98 sendiri merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari nilai-nilai dan ajaran Islam, terutamanya di Malaysia yang sering menjadi fokus sebagai model pelaksanaan dan amalan Islam yang dinamik dan progresif berdasarkan toleransi dan keterbukaan.
Peristiwa iklan minuman keras dalam penajaan SUKOM 98 yang menimbulkan kontraversi tidak lama dulu, berjaya diselesaikan dengan amat bijaksana oleh pimpinan negara. Semoga dalam penyusunan jadual dan acara pembukaan dan penutupan SUKOM 98 ini juga diharapkan pihak penganjur dapat melaksanakannya secara bijaksana sesuai dengan kepekaan orang-orang Islam dan kehendak-kehendak Islam sendiri tentang waktu sembahyang dan sebagainya, serta dapat mengokohkan lagi dasar Kerajaan mempertahankan ajaran asas agama rakyatnya.
Acara pembukaan dan penutupan SUKOM 98 yang diadakan pada waktu maghrib hendaknya dapat dijelaskan oleh pihak penganjur bagaimana peluang untuk menunaikan sembahyang maghrib dapat dilakukan oleh orang-orang Islam (yang bukan musafir tentunya) supaya hal ini tidak menimbulkan kontraversi sekali lagi. Orang-orang Islam sebenarnya bebas mengerjakan amalan sembahyang di tempat yang sesuai di mana-mana sahaja, dengan syarat mereka diberi waktu dan peluangnya yang agak mencukupi.