Hikmah atau kebijaksanaan merupakan kurniaan terbesar Allah s.w.t. kepada manusia. Ini sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya bahawa sesiapa yang dikurniai hikmah maka ia pada hakikatnya dikurniai kebaikan yang banyak. Selain itu, al-Qur’an juga menceritakan kisah Luqman ibn Ba`ura (Luqman al-Hakim), hamba Allah yang dikurniai hikmah dan bagaimana hikmah dimanfaatkan oleh Luqman dalam kehidupannya dan ia terserlah melalui nasihat-nasihat kepada puteranya. Ibn Kathir menjelaskan bahawa Allah s.w.t. mengurniakan hikmah, iaitu petunjuk kepada Luqman untuk melakukan sesuatu berdasarkan ilmu serta kefahaman yang mendalam, bersyukur kepada Allah serta memuji-Nya atas segala nikmat dan kelebihan yang dikurniakan, suka melakukan kebaikan terhadap orang lain selain membantu apa sahaja usaha kebaikan serta amal salih. Menurut riwayat, Luqman pernah membantu Nabi Daud a.s. dalam urusan pemerintahan dan juga menjadi hakim untuk mengadili perbicaraan kaum Bani Isra’il.
Imam al-Ghazzali r.h. dalam kitabnya, Mizan al-`Amal menegaskan bahawa hikmah dinisbahkan pada kekuatan akal. Menurut beliau lagi, hikmah dan tiga sifat yang lain, iaitu keberanian, kesederhanaan dan keadilan merupakan ibu segala kelebihan (ummahat al-fada’il) yang boleh melahirkan atau membentuk sifat-sifat terpuji yang lain. Ciri-ciri kecemerlangan tertentu akan terpancar pada diri orang yang memiliki hikmah. Antaranya termasuklah kearifan, kebijaksanaan dalam budi bicara; ketajaman fikiran, ketepatan pandangan, kepantasan kefahaman, kejelasan minda, kepantasan dan kemudahanan dalam pembelajaran, kepetahan bertutur, keteguhan dan kemuktamadan pandangan, keazaman yang teguh, kebenaran, kesetiaan, belas kasihan dan kesedaran terhadap tindakan halus jiwanya. Hikmah dikatakan terjana dalam jiwa apabila keupayaan fikiran menjadi mantap atau sempurna yang memberi maksud seseorang dapat membezakan antara kenyataan yang benar dengan yang palsu, antara kepercayaan yang benar dengan yang salah dan antara yang tindakan yang benar dengan yang sebaliknya.
Hikmah atau kebijaksanaan dan juga keberanian, kesederhanaan serta keadilan yang distilahkan sebagai ibu segala kelebihan dikatakan sebagai sifat-sifat utama yang mesti dimiliki oleh pemimpin. Sifat-sifat utama inilah yang akan membimbing seseorang pemimpin dalam melaksanakan urusan kepemimpinan dan pentadbiran negaranya dengan cemerlang. Dengan hikmah misalnya seseorang pemimpin akan didorong untuk sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat pimpinannya sehingga mengatasi kepentingan yang lain, hatta kepentingan dirinya sendiri. Hikmah jugalah yang akan membolehkan ia membezakan antara tindakan atau keputusan yang akan membawa kebaikan kepada rakyat atau yang membawa kemudaratan kepada kehidupan mereka sehingga menyebabkan mereka ditimpa kesulitan yang tidak putus-putus. Selain itu, hikmah lebih-lebih lagi diperlukan oleh seseorang pemimpin dalam mencari penyelesaian bagi sesuatu kemelut yang melanda negara serta rakyat yang dipimpinnya.
Merujuk kepada keadaan yang sedang melanda negara ketika ini, kelihatannya rakyat begitu mengharapkan agar pihak pimpinan negara dapat merumus tindakan penuh hikmah bagi melindungi kepentingan serta kebajikan mereka. Bahawa mereka mengharapkan agar pemimpin dapat menunjukkan teladan terbaik dalam menangani kemelut yang sedang dihadapi. Mereka tidak sekadar memerlukan seruan supaya mereka mengubah gaya hidup agar kemelut yang dihadapi dapat ditangani dengan sebaik-baiknya. Apa yang lebih diperlukan oleh rakyat ialah bukti serta contoh yang jelas bahawa pihak pemimpin sendiri yang menjalani kehidupan penuh sederhana dan ternyata sanggup mengorbankan kepentingan diri mereka demi memastikan rakyat tidak terjerumus dalam belenggu kesulitan dan penderitaan yang berpanjangan. Bagi rakyat yang sudah terbiasa dengan kehidupan yang sederhana atau juga yang sukar serta dibelenggu kemisikinan serta kedaifan, seruan supaya mereka mengubah gaya hidup sama sekali tidak memberikan sebarang makna kerana itulah bentuk kehidupan yang dijalani oleh mereka selama ini. Apatah lagi jika mereka hanya mendengar seruan kosong tanpa sebarang bukti kukuh daripada pihak yang menuturkan nasihat berkenaan.
Apalah maknanya bagi mereka seruan itu kerana pada saat-saat mereka berjuang bermati-matian bagi menyara diri dan keluarga sementara pihak pemimpin dan anggota keluarga mereka, penasihat-penasihat serta pegawai-pegawai utama kerajaan melayari kehidupan yang dilimpahi kemewahan dan keselesaan yang tiada sempadannya. Tidak mustahil bahawa isyarat yang diterima oleh rakyat ialah hanya mereka sahajalah yang perlu berkorban diri, tenaga dan kudrat, harta dan apa jua yang dimiliki dalam apa jua keadaan; sama ada ketika senang mahupun sukar. Contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf a.s. dalam mengurus pentadbiran kewangan negeri Mesir sebelum dan sewaktu bencana kemarau melanda amat wajar dijadikan teladan oleh pemimpin negara ini. Selain kebijaksanaan baginda merancang penanaman bijirin selama tujuh tahun yang subur dan penyimpanannya dalam gudang besar yang dibina berasaskan struktur binaan yang membolehkan pengaliran udara yang baik serta dapat menggalakkan proses pengawetan bijiran yang disimpan dengan sempurna, Nabi Yusuf a.s. juga menunjukkan teladan yang amat baik kepada seluruh rakyat Mesir. Baginda, pemerintah (`Aziz) Mesir dan tentera-tentera Mesir hanya makan sekali sahaja dalam sehari, iaitu pada waktu tengah hari.
Dalam hubungan ini juga, kisah yang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan al-Mansur ‘Ali, pemerintah muda Dinasti Mamluk Mesir amat wajar dijadikan renungan dan teladan. Disebabkan bimbang dengan kemaraan tentera Tartar, pemerintah Aleppo meminta bantuan Mesir untuk mempertahankan negeri dan wilayahnya. Ibn al-Adim, sejarawan yang terkenal datang ke Kaherah pada tahun 657H. sebagai utusan negeri Syria untuk memohon bantuan yang dimaksudkan. Pemangku raja, Qutuz lantas mengumpulkan semua pegawai kanan tentera, panglima perang, kadi dan pegawai-pegawai kanan kerajaan lalu mengadakan mesyuarat. Salah seorang kadi yang terkenal dan sentiasa diminta pandangannya juga menghadiri mesyuarat berkenaan. Beliau ialah Sultan al-‘Ulama’ al-Izz ibn `Abdissalam bersama-sama dengan ketua kadi. Jurucakap istana segera melaporkan kemaraan tentera Hulagu, penyerahan oleh segenap kota yang dilewatinya dan ketibaannya di Aleppo. Jurucakap itu juga melaporkan bahawa Baitulmal telah pun kosong dan tiada lagi simpanan. Sementara sultan yang memerintah pula masih lagi muda dan keamanan serta keselamatan negeri berada dalam keadaan bahaya. Oleh yang demikian, katanya, keutamaan paling penting pada waktu itu ialah memilih pemimpin yang dapat bertanggungjawab, yang disegani oleh rakyat dan dapat berdiri teguh menghadapi musuh. Selain itu, Baitulmal memerlukan sumbangan daripada orang ramai untuk membentuk tentera yang kuat dan menyediakan mereka dengan segala bentuk peralatan bagi mereka mara menentang tentera Hulagu.
Lantas, Qutuz mengisytiharkan dirinya sebagai raja dan membuat keputusan untuk memungut cukai yang besar daripada orang ramai untuk digunakan oleh tentera. Tiada sesiapa pun yang berani membantah kata-kata jurucakap istana. Namun, dengan penuh ketegasan, Sultan al-`Ulama’ `Izz ibn `Abdissalam mengutarakan pandangannya. Kata beliau, “Jika sesuatu musuh menyerang negara Islam, setiap individu wajib mempertahankannya. Diharuskan untuk dipungut apa juga bentuk cukai yang diperlukan untuk membiayai peperangan bagi mempertahankan negara, dengan syarat, tidak terdapat walau satu pun senjata dan pelana bersepuh emas, hud bersulam cantik dan pedang yang dihiasi batu pertama yang masih ada dalam Baitulmal; juga dengan syarat, kamu menjual semua barang kamu yang berharga; dan setiap tentera hanya memiliki senjata serta haiwan yang ditunggangnya dan ia setaraf dengan rakyat biasa. Akan tetapi, tidak dibenarkan (haram) sama sekali bagi kamu untuk memungut wang daripada rakyat sedangkan tentera kamu dibenarkan menyimpan barang-barang dan senjata mereka yang berharga.” Raja Qutuz menerima pandangan Sultan al-`Ulama’ al-Izz ibn `Abdissalam dengan hati yang terbuka dan beliau seterusnya menasihati baginda dengan kata-katanya, “Jika kamu mengikut jalan yang benar, aku dapat menjamin bahawa kamu akan memenangi peperangan itu, dengan izin Allah.”
Nasihat yang diberikan oleh Sultan al-`Ulama’ al-Izz bukan sahaja menyelamatkan rakyat tetapi memberikan semangat yang tinggi kepada raja, panglima tentera dan juga seluruh anggota tentera. Bahkan segenap rakyat telah bangun dengan penuh semangat dan keberanian yang tinggi untuk mempertahankan negeri mereka. Sebagaimana dijangka, tentera Islam yang bertembung dengan tentera musuh di Palestin akhirnya mencapai kemenangan yang besar.