Setiap tahun, banjir menjadi ancaman yang besar kepada Malaysia dan rakyatnya, serta mengubah landskap kehidupan mangsa yang terjejas. Lebih daripada sekadar kehilangan harta benda, banjir meninggalkan kesan mendalam kepada hubungan sosial, emosi, dan kestabilan komuniti. Salah satu kesan sampingan yang sering diabaikan dalam konteks bencana banjir adalah isolasi sosial, atau keterasingan sosial, iaitu keadaan di mana mangsa terputus hubungan sosial dan kehilangan sokongan komuniti. Isolasi sosial ini membawa pelbagai impak dan implikasi yang negatif terhadap individu dan masyarakat secara keseluruhan. Malah, isolasi sosial juga menyukarkan proses pemulihan berlaku dengan kadar yang lebih cepat sekiranya ia diabaikan sebagai sebahagian daripada keperluan pemulihan yang kritikal.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada isu isolasi sosial dalam kalangan mangsa banjir. Faktor tersebut termasuklah kehilangan tempat tinggal, akibat kemusnahan oleh banjir yang menyebabkan mangsa terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Situasi ini sering kali memisahkan mereka daripada jiran dan komuniti yang pernah mereka kenali. Satu kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2021 menunjukkan bahawa lebih 50% keluarga di PPS mengalami perasaan terasing akibat perpindahan mendadak yang berlaku disebabkan bencana banjir.
Banjir juga mengakibatkan kerosakan kepada jalan raya dan kemudahan asas seperti komunikasi lalu menyukarkan mangsa untuk berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan mereka. Pada banjir besar tahun 2014 di Kelantan, lebih 80% kawasan tidak dapat diakses dalam tempoh awal bencana akibat gangguan jalan raya, menyebabkan bantuan awal gagal disempurnakan lantas memburukkan lagi keadaan isolasi dan kehidupan mangsa yang telah sedia terjejas.
Isolasi sosial juga boleh berlaku akibat dari kerosakan aspek ekonomi di mana kehilangan sumber pendapatan akibat kerosakan pada perniagaan atau sektor pekerjaan mendorong tekanan emosi yang menyebabkan mangsa menarik diri daripada semua aktiviti melibatkan interaksi sosial. Selain itu, stigma sosial yang terjadi apabila mangsa banjir dilihat seolah sebagai punca segala masalah kerana kurang kesedaran tahap kesiapsiagaan untuk menghadapi bencana. Hal ini menambah tekanan mental kepada mereka, lalu mendorong pengasingan diri.
Hakikatnya, isolasi sosial adalah faktor risiko utama terhadap pelbagai gangguan mental, dan mengurangkannya memerlukan pendekatan yang terancang, termasuk sokongan psikososial, applikasi teknologi, dan intervensi dalam komuniti. Isolasi sosial juga mempunyai kesan yang signifikan terhadap penyakit mental sedia ada, dan ia boleh mencetuskan atau memperburuk pelbagai gangguan psikologi lain. Kesan utamanya ialah kemurungan akibat daripada interaksi manusia yang amat terhad bagi membina sokongan emosi. Ketiadaan sokongan ini sering kali menyebabkan perasaan kesunyian yang mendalam, yang merupakan faktor utama kemurungan. Pernah ada kajian di dalam jurnal The Lancet Psychiatry (2020) yang melaporkan bahawa individu yang mengalami isolasi sosial mempunyai risiko kemurungan 40% lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mengalaminya.
Di samping itu, isolasi sosial juga akan memperburukkan lagi keadaan gangguan kegelisahan akibat dari kurangnya hubungan sosial yang positif. Mereka berasa tidak selamat, malahan takut untuk berinteraksi dengan orang lain, yang seterusnya memperburuk kegelisahan yang dialami, dan meningkatkan risiko gejala kebimbangan sosial. Terdapat satu kajian dalam Harvard Health Publishing yang mendapati individu yang mengalami isolasi sosial berisiko dua kali ganda untuk menghidap penyakit Alzheimer. Hakikatnya, interaksi sosial membantu merangsang otak. Namun, kekurangan interaksi ini boleh menyebabkan kemerosotan kognitif, yang meningkatkan risiko demensia terutama di kalangan warga emas.
Secara umumnya, isolasi sosial yang sering dialami oleh mangsa banjir turut memperburuk simptom kecelaruan pasca trauma atau PTSD, kerana mangsa tidak mempunyai peluang untuk membincangkan trauma atau mendapatkan sokongan bagi berkongsi masalah yang dialami. Ia turut mengundang kesepian kronik yang berpanjangan serta mewujudkan perasaan tidak berharga, hilang motivasi, dan putus asa dalam diri individu. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menyatakan bahawa kesepian yang berkaitan dengan isolasi sosial adalah penyumbang utama kepada peningkatan kadar bunuh diri, terutamanya di kalangan golongan muda dan lanjut usia. Seterusnya, isolasi sosial turut menambah bebanan psikologi kerana individu berasa bersendirian dalam menangani semua masalah tanpa bantuan orang lain dan akhirnya menyebabkan burnout emosi.
Amat penting isu isolasi sosial ini dapat dikenalpasti dan dibantu untuk pemulihan. Terdapat beberapa langkah dalam mengatasi isolasi sosial. Secagai contoh, penggunaan media sosial merupakan satu strategi yang efektif di mana ia telah membantu menyatukan rakyat untuk memberikan sokongan kepada mangsa banjir. Ia dibuktikan apabila bencana banjir yang berlaku pada tahun 2021 telah menyaksikan media sosial sebagai platform utama untuk menghantar bantuan segera, menyatukan 10,000 sukarelawan dan NGO dalam masa kurang seminggu.
Pada peringkat komuniti, program seperti gotong-royong pasca banjir bukan sahaja memperbaiki infrastruktur tetapi juga menggalakkan interaksi sosial antara mangsa dan komuniti. Contohnya, Pertubuhan Amal Malaysia pernah melancarkan program “Rumah Selamat” yang membantu lebih 1,000 keluarga pada tahun 2022. Contoh yang sama apabila program seperti ini dilaksanakan lagi dengan misi Konvoi Musaadah al Falah Madani oleh pelbagai agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khusus bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, yang berjaya mengumpulkan sumbangan banjir sebanyak RM7.75 juta untuk diagihkan kepada mangsa.
Sokongan psikososial yang ada disediakan oleh pihak kerajaan dan NGO dalam menyediakan sokongan kaunseling melalui pusat pemindahan sementara dan talian bantuan psikologi pula merupakan inisiatif pemulihan yang utama. Pada Disember 2021, lebih 15,000 panggilan diterima oleh talian bantuan psikologi semasa banjir besar ketika itu.
Islam memandang bencana sebagai ujian dari Allah SWT. Firman Allah dalam al-Quran:
“Dan sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah: 155)
Isolasi sosial dalam kalangan mangsa banjir adalah cabaran yang kompleks, dipengaruhi oleh faktor seperti kehilangan tempat tinggal, gangguan infrastruktur, dan stigma sosial. Walau bagaimanapun, penggunaan media sosial, inisiatif komuniti, dan sokongan psikososial memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan negatif isolasi ini.