Subjek kepimpinan biasanya dianggap sebagai suatu topik yang hanya merujuk pada individu yang mengetuai atau memimpin orang-orang yang berada di bawahnya. Cuba perhatikan maksud hadis yang berstatus sahih ini, dan bandingkan dengan pandangan yang lumrah itu:
Dari Ibnu Umar RA dari Nabi SAW, bahawa baginda bersabda, “Ketahuilah, setiap kalian ialah pemimpin, dan setiap kalian bertanggung jawab atas apa yang kalian pimpin. Seorang pemimpin (pemerintah) yang memimpin rakyat, akan bertanggung jawab terhadap rakyatnya; seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggung jawab terhadap kesemua ahli keluarganya; manakala seorang wanita juga pemimpin terhadap rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggung jawab atas kesemua mereka; dan seorang hamba ialah pemimpin terhadap harta tuannya, dan dia bertanggung jawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggung jawab atas pemimpinannya.” (HR Muslim No: 3408)
Maksud hadis ini jelas menunjukkan bahawa kepimpinan itu bukan hanya semata-mata ditujukan kepada golongan individu yang memegang gelaran sebagai “ketua”, “pemerintah”, “tok penghulu”, “bapa” atau yang seumpamanya. Hatta seorang hamba yang berkhidmat untuk tuannya juga turut menjadi subjek kepada kepimpinan.
Dalam subjek kepimpinan, biasanya topik kepimpinan kendiri (self-leadership) akan diperkenalkan yang mungkin bagi sesetengah individu ia perbincangan baharu hasil penerokaan sarjana Barat. Sedangkan berdasarkan hadis yang dinyatakan sebelum ini kepimpinan kendiri sudah pun lama diperkenalkan dalam agama Islam, dan ia perlu diterapkan di peringkat diri, keluarga, dan seterusnya di peringkat yang lebih atas.
Kepimpinan kendiri adalah prasyarat untuk memimpin orang lain dengan baik. Mana-mana pemimpin tidak akan mempunyai kebolehan untuk memimpin melainkan individu tersebut dapat memimpin diri sendiri terlebih dahulu. Kepimpinan kendiri bukan berkenaan tindakan mengawal orang lain tetapi berkaitan dengan mengambil atau menerima tanggungjawab dan menentu kehidupan menurut impian sendiri. Penentuan hala tuju kehidupan sendiri memerlukan seseorang yang mampu untuk mengawal emosi, tingkah laku dan sikap. Keadaan ini akan membawa konsep kepimpinan melalui teladan. Pemimpin yang memiliki nilai-nilai kepimpinan diri yang berkualiti mampu membuat keputusan yang hebat; meningkatkan penglibatan modal insan dan peningkatan produktiviti. Ia juga boleh memangkinkan nilai kesetiaan dalam organisasi.
Secara asasnya kepimpinan kendiri memerlukan ciri-ciri atau aspek kecerdasan emosi (EQ), kebijaksanaan (IQ) dan personaliti. Kepimpinan kendiri juga turut merangkumi empat perkara yang melibatkan pengurusan diri, motivasi dalaman, disiplin dan kesedaran kendiri. Pengurusan diri ialah keupayaan individu dalam mengatur masa; menentukan matlamat serta menyusun keutamaan tanggungjawab. Manakala motivasi dalaman merupakan elemen penting kerana perkara ini yang akan menggerakkan diri individu untuk bertindak (secara inisiatif) bagi mencapai matlamat yang telah ditentukan tanpa bergantung pada insentif luaran.
Seterusnya kepimpinan kendiri perlu mempunyai ketekalan dalam tindakan atau keputusan apabila berhadapan dengan sebarang cabaran yang boleh menggugat cita-cita atau sifat amanah dalam pelaksanaan tanggungjawab yang digalasnya. Keperibadian ini akan terlihat sebagai bukti kekuatan kepimpinan kendiri yang dimiliki individu.
Kesedaran kendiri adalah sebahagian daripada kebijaksanaan. Memahami di mana letaknya kekuatan diri, pada masa yang sama mengetahui di mana letaknya kekurangan diri hakikatnya telah pun meletakkan seseorang di satu zon yang akan menaikkan seseorang ke satu tingkat yang lebih tinggi berbanding di mana dia sedia ada berada. Individu berkenaan tentunya akan berusaha untuk memperbaiki diri, dan memantapkan kekuatan yang ada. Pendek kata, ciri-ciri yang perlu ada dalam kepimpinan kendiri adalah asas untuk membentuk seseorang sebagai individu yang berpotensi menjadi pemimpin yang sebenar.
Kepimpinan kendiri dari perspektif Islam bermula dengan menyedari bahawa manusia itu diciptakan sebagai khalifah yang menuntut kebertanggungjawaban atas setiap tindakan. Sesuai dengan maksud sebuah hadis, iaitu:
Daripada Abu Barzah Nadlah bin Ubaid al-Aslami RA, Baginda bersabda, “Kedua-dua kaki seorang hamba tidak akan berganjak pada hari kiamat kelak hingga ditanya tentang umurnya, untuk apa ia habiskan? Tentang umurnya, untuk apa ia pergunakan? Tentang hartanya, dari mana ia peroleh dan untuk apa ia belanjakan? Dan tentang tubuhnya, untuk apa ia pergunakan?
Seterusnya kepimpinan kendiri Islami turut merujuk pada niat sebagaimana maksud sebuah hadis riwayat al-Bukhari bahawa setiap amalan itu bergantung pada niat. Maka, keberhasilan pahala yang akan diraih oleh individu adalah bergantung pada niat bagi setiap perbuatannya.
Jika dari sudut konvensional, disiplin diri dilihat dari sudut ketekalan seseorang dengan pendiriannya, dari aspek Islam pula disiplin diri seseorang individu Muslim itu akan terlihat pada sikap istiqamah dalam pelaksanaan ibadah yang diwajibkan ke atas setiap Muslim, serta kesungguhannya menjauhkan diri daripada perkara-perkara mungkar.
Kepimpinan kendiri dari perspektif Islam juga melibatkan soal ihsan. Secara ringkasnya ihsan bererti melakukan kebaikan dengan sepenuh hati. Terdapat dua dimensi dalam hal ini iaitu melakukan ibadah dengan sepenuh perhatian dan ikhlas, dan berbuat baik dalam kehidupan termasuklah kepada diri sendiri, alam sekeliling serta makhluk selain manusia.
Akhir sekali elemen terpenting dalam kepimpinan kendiri bagi seorang Muslim adalah sifat tawakal iaitu kebergantungan diri pada Allah SWT, yang intipatinya dapat dilihat dalam ayat 159 Surah Ali ‘Imraan, yang bermaksud, “…Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
Rumusannya di sini ialah, kepimpinan bermula dengan diri sendiri. Belajar untuk menguasai dan memimpin diri sendiri adalah usaha yang penting sebelum menerima tanggungjawab untuk memimpin sebarang organisasi. Kepimpinan kendiri merupakan suatu kualiti yang ada pada diri dan untuk menguasainya adalah proses yang berterusan. Iaitu dengan terus belajar untuk memajukan diri dan sudah tentu usaha ke arah itu akan memberi manfaat kepada diri sendiri, pasukan, syarikat dan organisasi yang dipimpin.
Nota:
Kedua-dua penulis telah mewakili IKIM bagi menyertai Kursus Khas Pegawai Hal Ehwal Islam (International Leadership Engagement Programme 2024) di United Kingdom bagi tahun 2024 baru-baru ini.
Penulis bersama :
Siti Shamsiah binti Md Supi, Pegawai Penyelidik Kanan
Azhani binti Zakaria, Ketua Unit Pentadbiran dan Perolehan