Perbelanjaan negara adalah satu amanah. Ia tidak boleh dibelanja untuk kepentingan peribadi pemerintah. Ia hendaklah dibelanjakan untuk keperluan dan kebajikan rakyat. Rasulullah s.a.w. ada mengarahkan supaya wang negara jangan sekali-kali dibelanja untuk kepentingan golongan pemerintah.
Sayidina Umar Al-Khattab, Khalifah Islam kedua ada mengingatkan kepada pemerintah berkaitan wang negara. Beliau menyarankan,
“Pada pandangan saya terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian berkaitan dengan wang negara. Ia hendaklah dipungut dengan kadar jumlah yang tidak membebankan rakyat, ia perlu dibelanja kepada yang berhak dan ia hendaklah jangan sekali-kali dibelanjakan kepada perkara yang tidak berfaedah. Kedudukan saya dengan wang negara adalah sama kedudukannya di antara Pengamanah harta anak yatim. Jika saya berkemampuan saya tidak akan mengambil sedikit pun untuk keperluan saya dan jika saya tidak berkemampuan saya akan mengambil mengikut keperluan minima yang biasa”.
(Abu Yusuf 1397H)
Perbelanjaan negara dapat berperanan dalam mempengaruhi peruntukan dan pengagihan sumber ekonomi. Ia juga dapat mempengaruhi usaha negara dalam menstabilkan keadaan paras harga dan gunatenaga pada sesuatu masa. Peranan ekonomi ini akan membawa natijah yang bermakna kepada negara jika wang negara dapat dirancang dan dibelanja dengan baik.
Perbelanjaan negara sukar ditetapkan sama ada tentang jumlahnya ataupun kumpulan perbelanjaan. Ia berasaskan peranan. Perbelanjaan kebiasaan disusun untuk memenuhi peranan-peranan tertentu dan ia dihadkan mengikut kemampuan negara.
Dari kefahaman di atas Professor Nejatullah Siddiqi seorang ahli ekonomi terkemuka, ada menyarankan pendekatan berikut sebagai garis panduan untuk kerajaan mengendali perbelanjaan negara:
(a) Peranan yang ditentukan oleh syariah untuk pembiayaan tetap;
(b) Peranan perbelanjaan pemerintah yang dirujuk dari semangat syariah di atas dasar ijtihad untuk keperluan semasa dan tempat; dan
(c) Peranan yang ditugas kepada negara pada sesuatu ketika dan tempat oleh rakyat melalui proses syura.
(a) Peranan yang ditentukan oleh syariah untuk pembiayaan tetap
Kumpulan pertama meliputi kesemua peranan yang ditentukan dalam syariah secara langsung atau tidak langsung. Peranan ini dianggap sebagai keperluan minima untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang tersusun di sesebuah negara.
Jenis perbelanjaan tersebut adalah seperti pembiayaan kepada keperluan pentadbiran awam, pertahanan negara, keselamatan dalam negeri, sistem perundangan, memenuhi keperluan asasi rakyat, fard Kifayah – (memenuhi keperluan masyarakat oleh kerana sektor swasta gagal menyediakannya), da’awah dan sebagainya.
Jenis perbelanjaan ini perlu disediakan oleh pihak pemerintah untuk menyusun negara semoga kesemua perkara asas yang diperlui negara dapat diperadakan. Jumlah untuk sesuatu peranan ini akan bergantung kepada keperluan sesebuah negara pada sesuatu masa tertentu.
Dari senarai peranan jenis perbelanjaan tetap jelas memperlihatkan bahawa Islam meletakkan tanggungan pembiayaan tersebut kepada pihak pemerintah. Tanpa penyediaan peranan asas bernegara seperti di atas ia akan pasti menjejaskan keutuhan masyarakat dalam penyusunan negara.
Keperluan untuk membiayai tanggungjawab negara seperti peranan tetap diperlui sama ada sesebuah negara itu maju ataupun kurang maju dari tahap kedudukan ekonominya. Ia adalah syarat asas untuk negara ditadbir secara tersusun.
(b) Peranan perbelanjaan pemerintah yang dirujuk dari semangat syariah di atas dasar ijtihad untuk keperluan semasa dan tempat.
Peranan perbelanjaan pemerintah ini perlu disediakan hasil dari ijtihad terhadap keperluan setempat dan semasa. Oleh kerana keadaan sesebuah negara kerap berubah dan memerlukan pihak pemerintah turut sama melibatkan demi kebajikan negara di mana pihak swasta mungkin tidak sesuai, Islam sentiasa membuka pintu untuk ijtihad.
Pada contohnya jika sesebuah negara menghadapi masalah pencemaran alam persekitaran akibat dari pembangunan pengindustrian negara, pemerintah perlu melibatkan dirinya yang pasti membebankan perbelanjaan negara. Penglibatan pemerintah ini adalah untuk menyelesaikan permasalahan pencemaran persekitaran negara demi kebajikan masyarakat. Tanpa penglibatan pihak pemerintah, masalah ini tidak akan dapat diselesaikan oleh pihak swasta sahaja kerana permasalahan ini berbentuk kesan luaran negatif (negative externality).
Begitu juga dalam hal seperti perbelanjaan negara untuk kemajuan penyelidikan sains dan teknologi, kestabilan ekonomi, mengurangkan pengangguran dan sebagainya yang dihadapi oleh sesebuah negara pada sesuatu masa. Pemerintah memutuskan selepas berijtihad, untuk mengurangkan permasalahan tersebut demi keutuhan masyarakat dan seterusnya untuk membangunkan negara.
Ruang untuk kerjasama dari pihak pemerintah bersama dengan pihak swasta menangani sesuatu keadaan tersebut amatlah luas asalkan kepentingan kedudukan pihak swasta tidak terganggu. Yang diutamakan oleh Islam, pemerintah sebagai rakan kongsi perlu peka kepada suasana semasa dan memberi keutamaan kepada kewujudan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.
Dalam suasana pada masa kini di mana kadar perubahan dalaman sesebuah negara sangat ketara dan pengaruh dan kesan dari luar negara terhadap suasana dalam negara yang meliputi politik, ekonomi, kebudayaan, cuaca dan sebagainya juga begitu berperanan, tugas pemerintah dalam menangani pengaruh ini sudah pasti sangat diperlukan. Pemerintah tidak boleh bersikap pasif bahkan perlu melalui ijtihad memandu negara ke arah penurusan pembangunan yang maju dan sihat.
(c) Peranan yang ditugas kepada negara pada sesuatu ketika dan tempat oleh rakyat melalui proses syura
Kumpulan ini adalah tidak terbatas. Berlainan negara mungkin mengambil keputusan yang berlainan mengikut keperluan setempat dan semasa. Ini bergantung kepada pandangan dan desakan rakyat dalam sesebuah negara jika mereka merasai sesuatu projek perlu dikendalikan oleh pihak pemerintah. Selepas kajian dilakukan terhadap kesesuaian pihak pemerintah untuk melibatkan dengan projek tersebut, dan didapati sesuai, pihak pemerintah akan mulai melibatkan dengan projek tersebut.
Contoh projek yang dimaksud, termasuk penyediaan kemudahan awam seperti pembekalan kuasa elektrik, bekalan air, jalanraya dan sebagainya. Projek tersebut memerlui pembiayaan yang besar dan keperluannya adalah merupakan kepentingan bagi keseluruhan rakyat.
Dari pendekatan kaedah perbelanjaan negara di atas, dapat kita rumuskan bahawa strategi perbelanjaan negara mengambilkira keistimewaan dan peranan sektor swasta dalam sesebuah negara. Penglibatan pemerintah jangan sekali-kali menjejas peluang sumbangan sektor swasta. Dalam keadaan ekonomi negara yang stabil (dimana gunatenaga penuh tercapai, paras harga stabil dan pertumbuhan ekonomi dapat dicapai), sektor swasta patut memainkan peranan ekonomi yang utama. Menepati fitrah bernegara, sektor swasta perlu diberi kedudukan istimewa ini. Memasuki bidang tugas yang sepatut dimainkan oleh sektor swasta oleh sektor awam tanpa tujuan yang munasabah dalam keadaan tersebut akan menjejas kestabilan dan kecekapan prestasi ekonomi negara.
Memahami pendekatan perbelanjaan negara mengikut huraian Islam di atas, jelas kepada kita bahawa pendekatan Islam memberi satu perspektif yang tepat semoga peranan sektor awam dan swasta dapat berperanan secara muafakat demi kestabilan dan pencapaian kemajuan ekonomi yang pantas dan berterusan.
Turut sama penting disamping strategi tersebut ialah sebarang perbelanjaan negara hendaklah mampu mengelak dari apa bentuk ketirisan daripada berlaku. Kerana jika ketirisan berlaku ia mengambarkan persoalan integriti pemerintah boleh dipersoalkan.