Umum mengetahui Malaysia dijangka menjadi negara tua (aged nation) menjelang 2030 apabila 15% daripada populasinya berusia melebihi 60 tahun. Namun di sebalik peningkatan populasi warga emas di Malaysia yang biasanya disertai dengan naratif kesejahteraan warga emas mahupun penuaan aktif, tersembunyi satu isu serius yang jarang dibicarakan secara terbuka iaitu penganiayaan kewangan (terhadap warga emas). Ia bukan sekadar masalah peribadi atau kekeluargaan, tetapi satu krisis sosial dan moral yang memberi kesan langsung kepada maruah, keselamatan dan kelangsungan hidup golongan berusia 60 tahun ke atas.
Penganiayaan kewangan warga emas merupakan satu sub kategori di bawah Penganiayaan dan Pengabaian Warga EMAS [elder abuse and neglect (EAN)]. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan EAN sebagai perbuatan atau kegagalan bertindak dalam hubungan berasaskan kepercayaan yang menyebabkan kemudaratan atau tekanan kepada warga emas. Di samping kewangan, sub-sub lain di bawah EAN termasuklah psikologi, fizikal, seksual dan pengabaian.
Penganiayaan kewangan terhadap warga emas merujuk kepada penyalahgunaan, eksploitasi atau penguasaan wang, harta dan aset warga emas tanpa kerelaan atau persetujuan mereka. Ironinya, pelaku selalunya bukan orang asing, tetapi individu yang paling dipercayai seperti anak, menantu, pasangan, ahli keluarga atau penjaga.
Bentuk penganiayaan ini merangkumi pemaksaan menandatangani dokumen pindah milik rumah, pengeluaran wang simpanan tanpa izin, penggunaan kad bank atau kredit secara tidak sah, caj berlebihan bagi perkhidmatan harian, malah pengubahan wasiat secara mencurigakan. Kesannya tidak selalu kelihatan secara fizikal, menjadikannya sukar dikesan dan mudah disembunyikan.
Ramai menganggap perubahan kewangan warga emas sebagai “perkara biasa” akibat usia lanjut. Hakikatnya, terdapat tanda awal yang jelas jika diperhatikan dengan teliti. Antaranya ialah pengeluaran bank yang luar biasa, kehilangan akses kepada wang sendiri, penyata kewangan yang disembunyikan, serta perubahan mendadak dalam dokumen undang-undang seperti wasiat atau kuasa peguam.
Dari perspektif tingkah laku, mangsa eksploitasi kewangan sering mempamerkan gejala kegelisahan, keengganan untuk membincangkan isu-isu kewangan, atau ketergantungan berlebihan terhadap individu tertentu. Apa yang lebih membimbangkan, akibat eksploitasi yang dihadapi, terdapat kes di kalangan warga emas yang mengurangkan perbelanjaan keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan walaupun mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi.
Kajian longitudinal oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Universiti Malaya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, mendapati penganiayaan kewangan adalah bentuk EAN paling lazim dan sering berlaku bersama penderaan psikologi. Kuala Pilah dipilih kerana mempunyai peratusan warga emas tertinggi (14.5%). Dari segi peratus, hasil kajian menunjukkan penganiayaan kewangan mencatatkan kadar tertinggi (4.8%), diikuti psikologi (3.4%), fizikal (1.2%), pengabaian (1.1%) dan seksual (0.3%). Secara keseluruhan, seorang daripada sepuluh responden mengalami EAN, dengan 59% daripadanya melibatkan penganiayaan kewangan dan 81% mengalami sama ada penganiayaan kewangan atau psikologi.
Angka ini berkemungkinan lebih rendah daripada realiti. Ini kerana warga emas sering memilih untuk berdiam diri, walaupun mereka kehilangan simpanan seumur hidup dan hidup dalam ketakutan. Faktor budaya seperti rasa malu, konsep “hutang budi”, serta keengganan membuka aib keluarga menjadikan isu ini satu wabak senyap dan tidak dilaporkan.
Sehingga kini, Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus yang komprehensif untuk melindungi warga emas daripada penganiayaan kewangan. Perlindungan sedia ada bergantung kepada peruntukan umum dalam undang-undang keganasan rumah tangga dan kesalahan jenayah, yang tidak mengambil kira kerumitan isu penuaan, kebergantungan dan eksploitasi ekonomi.
Walaupun kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang Warga Emas, kelewatan pelaksanaan dan ketiadaan mekanisme khas seperti tribunal atau pusat perlindungan khusus menyebabkan ramai mangsa terus terperangkap tanpa pembelaan yang berkesan.
Dari perspektif Islam, penganiayaan kewangan terhadap warga emas merupakan satu perbuatan yang sangat dilarang dan tergolong dalam dosa besar. Islam menegaskan kewajipan berbakti kepada ibu bapa dan orang tua melalui konsep birrul walidain (berbakti kepada ibu bapa). Al-Quran dengan jelas memerintahkan agar orang tua dihormati dan dimuliakan, apatah lagi ketika mereka berada dalam keadaan lemah. Merampas atau menyalahgunakan harta warga emas bukan sahaja melanggar hak milik, malah merupakan penderhakaan, pengkhianatan amanah dan kezaliman yang nyata. Selain itu ia juga bukan sahaja merosakkan hubungan kekeluargaan, tetapi mencemarkan nilai kemanusiaan dan akhlak masyarakat.
Islam menekankan bahawa harta adalah amanah yang perlu diurus dengan adil dan beretika. Oleh yang demikian, mereka yang bertanggungjawab perlu menjadikan nilai amanah dan adil sebagai paksi utama dalam pengurusan harta warga emas. Jika nilai-nilai ini dihayati dengan baik oleh pihak pengurus harta, sudah pasti matlamat hifz al-mal (pemeliharaan harta) dapat direalisasikan dan sekaligus kebajikan warga emas dapat dipelihara dan dijaga.
Pada masa yang sama, dalam Islam terdapat instrumen-instrumen kewangan sosial seperti wakaf, zakat, sedekah dan takaful yang dapat digembeleng sebagai mekanisme perlindungan warga emas bagi menjamin mereka menjalani kehidupan usia tua dengan bermaruah.
Dari sudut yang lain, warga emas sendiri perlu mengambil langkah proaktif dengan menyusun dokumen kewangan secara teratur, memantau akaun bank secara berkala, serta melantik wakil yang benar-benar dipercayai melalui proses yang telus dan bersaksi.
Maklumat perbankan seperti PIN dan kata laluan tidak wajar dikongsi, walaupun dengan ahli keluarga terdekat. Sekiranya timbul sebarang kecurigaan, laporan awal kepada pihak berkuasa dan agensi kaunseling kewangan adalah langkah penting untuk mengelakkan kerugian lebih besar.
Penganiayaan kewangan warga emas bukan sekadar isu wang, tetapi isu maruah, keadilan dan kemanusiaan. Ia juga bukan isu terpencil, tetapi cerminan tahap kemanusiaan dan nilai sesebuah masyarakat dalam melayan warga emas. Selagi ia dianggap sebagai urusan dalaman keluarga semata-mata, selagi itulah penderitaan warga emas akan terus tersembunyi.
Justeru masyarakat perlu lebih peka, keluarga perlu lebih bertanggungjawab, dan negara perlu lebih tegas. Melindungi warga emas bukan sekadar soal undang-undang, tetapi soal maruah, keadilan dan masa depan kita sendiri. Ini kerana penuaan bukan pilihan, tetapi takdir yang menanti semua.

