Pada umumnya, cult atau pun ajaran sesat adalah satu perilaku atau fahaman yang sering dikaitkan dengan kesesatan kerana ajarannya yang mempunyai unsur-unsur ketahyulan, khurafat dan pemujaan syaitan. Cult atau ajaran sesat sebenarnya didokongi oleh satu golongan atau kumpulan manusia yang menjadikan pemujaan atau penyembahan iblis dan syaitan sebagai matlamat utama ajaran. Di samping itu, mereka juga berpegang kepada kepercayaan dan fahaman-fahaman yang berunsur tahyul dan khurafat atau magik serta sihir yang ada kaitannya dengan kedudukan, keagongan atau kemuliaan seseorang. Juga terdapat penyalahgunaan dadah dan seks bebas, didorong oleh fahaman keagamaan dan politik songsang serta lain-lain.
Memang terdapat individu yang memuja manusia atau kumpulan tertentu kerana minat atau perasaan kasih dan sayang yang melampau. Dan Islam telah pun meletakkan garis panduan yang jelas dalam hal ini agar ia tidak melampaui batas. Dalam Islam, pemujaan terhadap mana-mana objek atau makhluk selain dari Allah adalah satu kesesatan yang sudah tentu membawa kepada syirik. Apatah lagi yang menjadi objek pemujaan itu adalah syaitan yang sudah jelas kedudukannya sebagai musuh umat manusia yang utama. Menurut ajaran Islam, segala kepercayaan yang tidak mengagungkan KeEsaan Allah adalah ajaran sesat. Pemujaan yang mutlak hanyalah kepada Allah, bukan kepada yang lain dariNya. Bersesuaian dengan firman Allah dalam surah az Zaariyaat, ayat 56 bermaksud: “Aku ciptakan Jin dan Manusia supaya mereka mengabdi dan memuja Ku”
Mengapa fahaman dan ajaran cult ini menjadi sesat ? Terdapat beberapa ciri yang menjadikan ajaran tersebut sebagai sesat. Perkara pokok adalah seperti berikut:
1. Memuja selain Allah yang membawa kepada syirik
2. Memuja iblis dan syaitan
3. Bercanggah dengan al Quran, al Sunnah, al Ijmak dan al Qiyas
4. Bercanggah dengan iktikad dan kepercayaan Ahli Sunnah wal Jamaah
Ciri-ciri utama ajaran sesat atau berunsur cult:
1. Bergiat secara berkumpulan yang diketuai oleh seseorang yang mempunyai ciri-ciri tersendiri seperti petah berpidato, seseorang yang dianggap agong dan mulia serta kaya, atau dianggap sebagai keramat, pandai mempengaruhi dan lain-lain
2. Bergiat secara underground
3. Mempunyai fahaman songsang dari kebiasaan seperti anti ketuhanan, hedonisme, memuja syaitan dan iblis, upacara meminum darah, perhubungan seks secara batiniah dan membunuh diri secara beramai-ramai
4. Mempunyai identiti kumpulan yang tersendiri seperti pakaian hitam, simbol-simbol bintang bucu lima, salib terbalik, muzik ekstrim, tingkahlaku liar dan ganas dan lain-lain
5. Terlalu fanatik kepada kepercayaan dan fahaman dalam kumpulan mereka
Kalau dahulu, pengaruh cult ini cukup meluas di kalangan golongan dewasa, tetapi kini ia telah merebak di kalangan anak-anak remaja. Jika dulu ajaran sesat ini didorong oleh fahaman agama yang songsang, tetapi kini pengaruh muzik juga boleh menjadikan seseorang itu sesat. Cuba imbau kembali gejala buruk black metal di kalangan remaja negara ini baru-baru ini. Mengapa perkara ini terjadi? Adakah ibubapa gagal mendidik anak-anak mereka sebaiknya? Adakah guru-guru tidak memberikan ajaran agama secukupnya kepada murid mereka di samping menunjukkan kepincangan institusi ulamak? Ataukah kerajaan terlalu mengutamakan kemajuan dan kesan negatifnya menimpa golongan remaja?
Sememangnya amat di luar daripada dugaan masyarakat negara kita bahawa muzik boleh menjadi satu kumpulan cult atau kumpulan ajaran sesat. Memang kuat juga pengaruh muzik ini terutamanya di kalangan kanak-kanak dan remaja. Pengalaman negara ini sudah sebati dengan ajaran sesat yang didorong oleh fahaman keagamaan yang songsang, yang mempunyai kumpulan dan ahli-ahli yang tersendiri. Kebiasaannya terdiri daripada golongan dewasa yang mudah terpengaruh. Tambahan pula, golongan ini adalah majoriti mereka yang telah mula kembali kepada agama atau mula berjinak-jinak dengan agama. Beberapa contoh ajaran sesat yang pernah menggemparkan negara ini sedikit masa dulu seperti ajaran Aurad Muhammadiah oleh Al Arqam, ajaran Tarikat Naqsabandiyah Kadir un Yahya, ajaran Tok Ayah dan banyak lagi. Tiada ahli remaja terlibat kerana pada peringkat ini mereka lebih cenderung kepada aktiviti selain dari aktiviti keagamaan, terutamanya muzik dan hiburan. Akibatnya, pengaruh muzik dan hiburan yang kuat dalam kehidupan mereka menjadikan mereka terlalu fanatik dengan muzik yang mereka minati itu.
Pengaruh cult dan ajaran sesat di kalangan remaja yang berpunca akibat dari rasa fanatik dan taksub terhadap muzik tertentu mula menggemparkan negara ini apabila pengaruh buruk muzik black metal mula diketengahkan oleh Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman. Selepas kenyataan oleh menteri berkenaan, ia telah menjadi satu isu yang amat hangat, kerana tindakannya telah memberikan sedikit keberanian dan keyakinan diri kepada masyarakat umum untuk menyingkapnya yang sebelum ini amat was-was untuk membicarakannya secara terbuka.
Bagaimana pengaruh cult boleh meresap ke dalam diri remaja? Pada dasarnya, ia berpunca dari pengaruh muzik black metal. Walaupun ia sejenis aliran muzik dari genre metal, tetapi ia bukan semata-mata muzik. Ia adalah aliran muzik liar dan songsang yang bersifat underground dan banyak menampilkan aliran muzik berbentuk hard rock dan heavy metal. Terdapat unsur pemujaan syaitan dalam aliran muzik ini dan ia mula dikesan pada tahun 1970an apabila artis rock dari Amerika Jimmy Hendrik mula menonjolkannya. Bermula dari situ, jumlah peminatnya semakin ramai sehingga terbentuklah kumpulannya yang tersendiri. Penampilan mereka di atas pentas dengan wajah syaitan yang dipuja akhirnya menjadi ikutan sebagai satu trend masyarakat terutamanya remaja. Kesannya bukan sahaja dari segi penampilan wajah, tetapi juga pakaian sehinggalah kepada fahaman dan kepercayaan. Selain black metal, terdapat juga muzik metal lain seperti Pink Metal, Skin Head, Hip Hop, Trash Metal dan Hard Metal. Kesemua aliran muzik ini mempunyai peminatnya yang tersendiri. Biasanya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yang amat meminati aliran muzik ekstreme.
Mengimbau kewujudan dan penerimaan remaja negara ini terhadap muzik aliran ini, ia bermula seawal tahun 1980-an. Kehadirannya di negara ini dari negara asalnya seperti Sweden, Norway dan Finland pada masa itu mendapat pelbagai reaksi masyarakat. Antara rasa bimbang dan cemas, suka dan benci, namun ia mendapat perhatian yang memberangsangkan dari golongan muda-mudi. Pada mulanya ia hanyalah satu hiburan dari aliran muzik kontemporari, tetapi kini ia mengejutkan negara sebagai satu kumpulan ajaran sesat dengan pengikut dan cirinya tersendiri. Jika ditinju dari sudut penampilan kumpulan muzik black metal ini, banyak yang buruk dari baiknya. Pakaian serabai dan wajah syaitan menjadi imej digemari. Setiap album dan lirik lagu menyimpang dari syariat Islam. Ia mengandungi unsur anti ketuhanan dan pemujaan syaitan serta khurafat. Tidak hairanlah pada peringkat awal lagi, masyarakat amat tidak senang dengan kehadiran aliran muzik ini di negara ini.
Walaubagaimanapun, kebimbangan yang ada tidak mampu menyekat pengaruhnya. Ini kerana ia bukanlah satu isu jenayah sehingga sampai mengancam kestabilan atau keselamatan negara. Akibatnya, tiada sebarang pemantauan oleh pihak berkuasa kerana bab ini bukan kerja mereka. Dalam satu perjumpaan mufti-mufti di Pulau Pinang tidak berapa lama dulu, ada disarankan agar kerajaan mengharamkan kemasukan muzik aliran ini ke negara ini. Tindakan ini kelihatannya amat berisiko. Ia mungkin akan mengundang kekecewaan golongan pencinta seni yang berjuang atas dasar seni untuk seni. Tetapi sekiranya semua pihak berfikir secara logik, semua tindakan mereka akan lebih rasional lagi.
Ciri-ciri ahli kumpulan black metal:
1. Berpakaian serba hitam, berlambang salib terbalik dan objek pentagram
2. Meminati muzik ekstrim dan metal berunsur pemujaan syaitan dan iblis, melibatkan dadah dan arak, anti agama dan memijak al Quran
3. Ada upacara ‘Gig’, pemujaan dan meminum darah binatang
4. Menggalakkan perhubungan seks bebas sesama ahli
5. Sering menghitamkan wajah ketika menghadiri upacara pemujaan
6. Berusaha mencari ahli baru dengan mendapat wang sebagai komisen
Pengaruh cult dan ajaran sesat di kalangan remaja negara ini merupakan satu isu serius dan mesti dibanteras segera. Semua pihak seperti ibubapa, guru, pemimpin agama dan masyarakat perlu berganding bahu bagi membanterasnya. Ibubapa perlu sering memantau perilaku anak-anak mereka. Jangan abaikan perhatian yang sepatutnya anak-anak ini terima. Pihak kerajaan pula harus lebih memahami aliran muzik yang membina roh dan minda serta daya intelek remaja dan muda-mudi, bukan semata-mata rambang mata kepada keuntungan berlipat ganda tetapi sebenarnya merosakkan. Penguatkuasaan perlu sering dipertingkatkan lagi. Jika perlu, haramkan kemasukan aliran muzik yang akan mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat. Sememangnya setiap ahli masyarakat negara ini sentiasa prihatin dan akan bekerjasama dengan kuasa yang ada pada pihak berkuasa demi kebaikan bersama.