
28 OGOS 2021, KUALA LUMPUR – Dukacita dimaklumkan Pengerusi IKIM, YABhg. Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah disahkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras pada jam 1:40 pagi.
Pada Sabtu 31 Julai 2021, Tun Ahmad Sarji telah dimasukkan ke ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras akibat komplikasi virus Covid-19.
Dilahirkan pada 16 September 1938, Tun Ahmad Sarji merupakan pengasas dan Pengerusi IKIM yang pertama yang dilantik pada tahun 1992, sehingga disandang pula oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjawat jawatan tersebut pada 1 Sept 2015 hingga 31 Ogos 2018. Pada 4 Februari 2019, Tun Ahmad Sarji dilantik semula sebagai Pengerusi IKIM dan Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman sebagai Naib Pengerusi IKIM.
Pelantikan Tun Ahmad Sarji telah mengukuhkan lagi prestasi IKIM dalam menjayakan misi dan visi penubuhannya untuk menjadi institusi utama kefahaman Islam bertaraf antarabangsa dengan menjalankan program-program penyelidikan bermanfaat besar, meningkatkan kefahaman Islam yang benar kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam dan luar negara serta memberi khidmat perundingan kepada semua pihak melalui saluran media dan ilmiahnya.
Tun Ahmad Sarji merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara yang mempunyai pengalaman luas dan cemerlang dalam menerajui pelbagai badan kerajaan dan organisasi di dalam sektor awam, korporat, agama, pendidikan, budaya dan sukan mulai dari tahun 1961 sehingga 2021.
Unit Perhubungan Korporat
28 Ogos 2021