Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu ‘alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Kemerdekaan.
- Syukur alhamdulillah hari ini pada tanggal 31 Ogos 2021 Masihi bersamaan dengan 22 Muharram 1443H, kita dapat menyambut Hari Kemerdekaan Negara kita yang ke-64 dengan temanya “Malaysia Prihatin”.
- Dari sudut bahasanya, ‘merdeka’ adalah daripada perkataan Sanskrit ‘maharddhika’ yang bermaksud kaya, makmur, dan bebas daripada penjajahan atau perhambaan.
- Tema “Malaysia Prihatin” menggambarkan bahawa seluruh rakyat Malaysia telah dan akan turut sama menggembeleng semangat dan tenaga dalam memerangi wabak COVID-19 serta memperkasa komitmen kerajaan dalam melakukan pelbagai inisiatif dan usaha merangkumi aspek ekonomi dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat.
- Dalam konteks pelbagai permasalahan alam sekitar hari ini, semangat Malaysia Prihatin ini turut disemarakkan dengan rakyat cakna terhadap nasib alam sekitar tersebut. Satu perkara yang banyak memberi impak ekonomi dan kesihatan hari ini dan yang pasti menuntut perhatian yang serius adalah perubahan iklim yang sebenarnya merupakan kemuncak kepada permasalahan alam sekitar yang sudah pun lebih lima dekad berbunyi loceng penggeranya. Tindak balas kita terhadap loceng penggera ini mendambakan kita berhijrah di dalam pemahaman dan kelakuan kita terhadap alam sekitar yang dicipta untuk kita hidup.
- Islam sebenarnya adalah agama yang sangat prihatin dan ia adalah aspek sikap dan tabiat yang amat dititikberatkan dan perlu dihayati oleh setiap insan. Surah pembuka kitab al-Quran itu sendiri berupa penampilan sifat-sifat Tuhan ar-Rahman dan ar-Rahim yang membawa makna betapa besarnya perhatian, kemurahan, kasih sayang dan keprihatinan Allah Maha Pencipta dan Pentadbir alam ini terhadap manusia dalam segala permasalahan dan keperluannya.
- Sejarah perjuangan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sendiri memaparkan begitu banyak contoh keprihatinan Baginda di dalam perjuangannya bukan sahaja di dalam keadaan yang aman dan makmur bahkan dalam waktu-waktu yang sukar seperti peperangan sekalipun.
Sebagai contoh, di dalam peperangan, Baginda menegah orang Islam menyakiti mereka yang tidak berdaya dan yang lemah seperti kanak-kanak dan wanita, melarang memusnahkan rumah kediaman dan rumah ibadat, haiwan, dan tumbuh-tumbuhan.
Dalam konteks keprihatinan dan kasih sayang, Rasulullah SAW telah bersabda:
“Orang-orang yang memiliki sifat kasih sayang akan disayangi oleh Allah yang Maha Penyayang; sayangilah semua yang ada di bumi maka semua yang ada di langit akan menyayangimu. Kasih sayang itu adalah sebahagian daripada Rahmat Allah. Barangsiapa menyayangi, Allah akan menyayanginya. Siapa yang memutuskannya, Allah juga akan memutuskannya”.
(Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Rasulullah juga menganjurkan bahawa kasih sayang dan sifat prihatin kita tidak terbatas hanya terhadap orang mukmin sahaja, bahkan ia adalah untuk semua umat manusia. Sehubungan ini, Baginda turut bersabda:
“Sekali-kali tidaklah kalian beriman sebelum kalian mengasihi”. Kemudian mereka menjawab “Wahai Rasulullah, semua kami pengasih”. Rasulullah bersabda kembali “kasih sayang itu tidak terbatas di antara kalian semata-mata, tetapi bersifat umum (iaitu untuk seluruh umat manusia).
(Hadis riwayat ath-Thabarani)
- Bersandarkan sifat kasih sayang, kita berharap amalan keprihatinan akan disemai dan diperkukuhkan di kalangan pemimpin dan rakyat. Melaluinya, nasib golongan-golongan yang terpinggir diharap akan terbela dengan rasa kemanusiaan yang tinggi di dalam masyarakat kita.
- Kita juga perlu prihatin dengan maksud merdeka itu sendiri dengan kita menghargai jasa para pejuang kemerdekaan yang terdahulu. Ketika dijajah, nenek moyang atau generasi terdahulu tidak hanya berpeluk tubuh, dan kita harus menyedari bahawa keamanan yang kita alami hari ini adalah di atas titisan air mata dan darah pengorbanan mereka yang terdahulu itu. Jika kita tidak kekalkan keprihatinan kita terhadap perjuangan mereka ini, kita khuatir jiwa patriotisme rakyat akan turut terhakis dan tanpa patriotisme, akan amat sukar kemerdekaan itu dipertahankan.
- Tanpa kita memperkecilkan sumbangan semua lapisan rakyat dan warganegara kita, mungkin tidak keterlaluan misalnya dikongsikan bahawa bagi pejuang kemerdekaan di kalangan orang Islam “merdeka” ataupun dalam huruf jawinya mim, ra, dal, ya, kaf dan alif adalahbermaksud (mim) mengikut (ra) Rasul (dal) dan (ya) yakin (kaf) kepada (Alif) Allah, iaitu teras kemerdekaan itu adalah pegangan kepada agama yang jitu.
- Atas dasar ingin sama-sama menyemarakkan jiwa kemerdekaan kita, Radio IKIM tidak ketinggalan menyajikan rancangan-rancangan istimewa yang dapat menyuntik semangat dan kefahaman yang lebih mendalam supaya kita dapat memaknai lagi erti kemerdekaan tersebut. Antara rancangan khas yang diterbitkan adalah Analisis – dengan tajuk ‘Malaysia Prihatin’; rancangan Generasi – dengan tajuk ‘Anak-Anak Pasca Merdeka’; rancangan Syariah dan Perundangan – dengan tajuk ‘Nilai Patriotisme dan Kepentingannya Membina Bangsa’; rancangan Usrah Nurani – dengan tajuk ‘Dirgahayu Tanah Airku’ dan lain-lain lagi.
- Sama-samalah kita suburkan sifat dan amalan keprihatinan kita demi kelestarian negara tercinta.
Sekian, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang ke-64 Negara Malaysia.
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.