Baru-baru ini masyarakat tempatan sibuk membicara peristiwa pemberian hadiah penyapu oleh Y.A.B Menteri Besar Selangor kepada penjawat awam yang tidak berprestasi mengikut ukuran prestasi yang ditentukan.Sudut yang menjadi asas kepada perbincangan tersebut ialah bentuk pemberian hadiah sebagai simbolik kepada prestasi yang tidak bermutu.Kesemua aspek dari segi budaya dan adat resam pemberian hadiah tersebut turut diperdebatkan.Malangnya, perkara yang lebih penting yang masyarakat perlu tumpukan bagaimana tugasan yang lebih bermutu boleh dicapai oleh penjawat awam. Kita tidak boleh tolak ansur lagi tentang persoalan prestasi penjawat awam yang kurang memberangsangkan.Tanpa prestasi penjawat awam yang bermutu, taraf hidup rakyat akan terjejas dan pada akhirnya mutu hidup dan kemajuan rakyat dan negara turut akan terbantut.Isu ini merupakan perkara utama atau pokok yang perlu masyarakat memberi tumpuan.Justeru itu usaha ke arah penambahbaikan perlu diberi ruang untuk dikemukakan dalam perbincangan pada masa hadapan.
Jika kita rujuk kepada dokumen Wawasan 2020, Kerajaan dengan yakin dan jelasnya akan berusaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia yang mempunyai keyakinan diri dan mempunyai nilai-nilai moral dan etika yang utuh, hidup dalam masyarakat yang demokratis, liberal lagi bertolak ansur, penyayang, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis, kukuh serta mempunyai daya ketahanan.
Dengan kata lain, pemimpin negara berhasrat untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bertamaddun tinggi melalui pencapaian taraf ekonomi yang berdaya maju serta penghayatan nilai akhlak masyarakat yang tinggi.
Dalam usaha ke arah menjayakan matlamat dan aspirasi negara tersebut, peranan penjawat perkhidmatan awam sudah pasti besar dan penting.Penjawat awam hendaklah berusaha mengemukakan pandangan, dasar dan mewujudkan suasana yang sesuai semoga kesemua jentera kerajaan dengan sepenuhnya dapat digembeling untuk berperanan secara berkesan.Penjawat awam bukan seharusnya menjadi perlaksana kepada dasar kerajaan sahaja tetapi sekaligus hendaklah mengambil initiatif yang memungkinkan matlamat kerajaan tercapai.Justeru itu mereka perlu mempengaruhi arus dan membentuk suasana dan budaya yang dapat menghasil kejayaan negara tersebut.
Sebagai rakan kongsi kepada pekerja sektor swasta, mengikut Dasar Pensyarikatan Malaysia, dalam usaha membangunkan negara, penjawat awam perlu memiliki budaya kerja dan disiplin bekerja yang tinggi semoga nilai mulia seperti prestasi bekerja yang cekap dan bermutu dapat dipupukkan.Dalam zaman yang penuh dengan persaingan, Malaysia tidak mampu mencapai matlamat negara maju jika ia tidak memiliki daya saing yang tinggi.
Kita bernasib baik kerana usaha perubahan kebaikan penjawat perkhidmatan awam telah dan sedang diambil dengan bersungguh-sungguh sehingga ia boleh berprestasi tinggi pada umumnya.Beberapa langkah penambahbaikan yang diambil termasuk memperkenalkan pendekatan Kualiti Pengurusan yang Menyeluruh (Total Quality Management).Pendekatan ini memberi penumpuan kepada penghasilan perkhidmatan yang produktif dan hasil yang bermutu.Produktiviti dan kualiti adalah dua fakta yang menentukan daya saing.Fakta-fakta tersebut adalah ciri yang diutamakan oleh sektor swasta untuk menempah kejayaan.Bahkan ciri-ciri tersebut adalah ciri-ciri yang sangat dituntut oleh Islam.Islam mengutamakan produktiviti dan kualiti kerana pencapaian tersebut dengan serentak mampu menghapuskan pembaziran dari segi masa dan benda dalam proses penghasilan perkhidmatan dan sekaligus meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.Taraf mutu kehidupan masyarakat yang meliputi kesemua aspek keperluan asas manusia adalah sesuatu yang dinamik dan perlu ditingkat dari masa ke semasa.
Di samping itu satu usaha yang asastelah dirancang untuk mewujudkan satu perubahan yang menyeluruh kepada peranan penjawat awam dalam negara.Usaha yang dimaksudkan ialah ‘Pembentukan Paradigma Baru Perkhidmatan Awam’.Dalam membentuk Paradigma Baru Perkhidmatan Awam, persoalan sikap dan nilai akhlak perlu menjadi asas kepada matlamat pencapaian produktivi dan kualiti.Hasil-hasil positif tersebut dapat dipertahan dan dikekalkan jika perbentukkan sikap dan penghayatan nilai dalam perlaksanaan dapat diasaskan kepada keutuhan kemuliaan sifat manusia itu sendiri.Kemuliaan sifat manusia diharap akan dapat mengurangkan kerenah manusia dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.Pengalaman mengajar, bahawa ketidakcekapan dan kegagalan kebiasannya ada kaitan dengan persoalan sikap dan gelagat manusia.Kepakaran bekerja sahaja tidak mungkin menghasil kejayaan yang berterusan.Ia mesti disertai dengan nilai akhlak yang mulia melalui penghayatan nilai-nilai murni.
Prestasi cemerlang penjawat awam akan mengukuhkan lagi dasar Pensyarikatan Malaysia.Kedua-dua sektor awam dan swasta akan dapat berganding tenaga dengan lebih cekap dalam satu pasukan yang kukuh berasaskan semangat setia kawan dan muafakat yang sama-sama hormat menghormati di antara satu sama lain dan dilihat sebagai setaraf dalam kemampuan kearah mencapai matlamat Wawasan 2020.
Penghayatan kepada nilai-nilai murni dikalangan penjawat awam dikesemua lapisan adalah sangat sesuai dalam memantapkan prestasi kerja kearah pencapaian keperingkat cemerlang dan terus membina daya juang untuk kejayaan secara berterusan.Perasaan malap (feeling Anomie) seperti perasaan khayal, pemencilan dan perasaan tidak ada harapan dalam kehidupan di kalangan penjawat awam dapat dikurangkan jika mereka memiliki nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.
Ahli-ahli ilmuan di Barat dalam kajian mereka terhadap kejatuhan mutu perlaksanaan kerja, pekerja-pekerja mereka berpandangan bahawa pengabaian kepada penghayatan nilai murni adalah punca terpenting kepada perasaan malap (feeling anomie) yang mengarah kepada mundurnya taraf persaingan daya pengeluaran pekerja mereka.
Kata-kata pemikir dan ahli ilmuan Barat bersepakat bahawa penghayatan kepada nilai-nilai murni penting dan sesuai dalam membina budaya maju dikalangan anggota pekerja.Undang-undang dan segala bentuk pengubahsuaian dalam struktur organisasi, pengurusan dan corak kepimpinan tidak mencukupi untuk mencapai kecemerlangan dalam prestasi kerja.
Seorang lagi ahli fikir barat yang terkenal, Alexander Solzehenitsyn turut berpandangan bahawa penggunaan undang-undang atau peraturan sahaja tidak juga mempu meningkat prestasi kerja diparas pencapaian pekerja yang tertinggi jika perhubungan pekerja dengan majikan atau pekerja lain hanya diasaskan kepada peraturan undang-undang sahaja.Beliau berpandangan seperti berikut:
“A society based on the letter of the law and never reaching any higher fails to take advantage of the full range of human possibilities.The letter of the law is too cold and formal to have a beneficial influence on society.Whenever the tissue is woven of legalistic relation this creates an atmosphere of spiritual mediocrity that paralyses men’s noblest impulses” and later “After a certain level of the problem has been reached, a legalistic thinking induces paralysis; it prevents one from seeing the scale and the meaning of events.” (De Pree, Max – Leadership is an Art)
Pandangan-pandangan tersebut menyokong dengan kuat pendirian Islam dari awal lagi bahawa penghayatan kepada nilai-nilai murni atau akhlak Islam adalah bukan sekadar untuk melahirkan individu pekerja yang lurus (betul bendul) dan beramanah tetapi lebih daripada itu mampu menjadi penyumbang yang besar kepada penghasilan kerja yang cemerlang dan bermutu.Bahkan utusan Rasulullah S.A.W. adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia.Dengan sempurnanya akhlak manusia, individu akan mampu berperanan secara maju dan berkesan.
Dari keyakinan tersebut untuk menjayakan pencapaian negara untuk menghasil kedudukan negara maju pada 2020, usaha secara besar-besaran dan berkesan perlu digubal untuk membudayakan penghayatan nilai-nilai murni di kalangan penjawat awam.