Dunia sains digemparkan lagi pada tahun ini. Selepas kejayaan ahli embriologi dari Scotland, Ian Wilmut menghasilkan kambing biri-biri Dolly melalui kaedah pengklonan pada tahun lalu (Nature 385, m.s. 810-813, 1997), seorang penyelidik pasca-kedoktoran di Universiti Hawaii, Amerika Syarikat, Teruhiko Wakayama, mengulangi kejayaan ini dengan mengklon dua puluh dua ekor mencit yang merentasi tiga generasi (TIME, 3 Ogos 1998, m.s. 42). Wakayama bukan sekadar membuktikan bahawa teknik pengklonan yang dilaporkan Wilmut adalah sahih, malah ianya boleh diperbaiki lagi. Kalau Wilmut hanya mampu berjaya menghasilkan satu klon daripada 277 percubaan, teknik Wakayama pula mempunyai keupayaan kejayaan lebih tinggi iaitu 2-3 peratus.
Ketika berita tentang Dolly mula-mula diumumkan Wilmut tahun lepas, beliau mendapat kritikan dan cemuhan dari pelbagai pihak, terutama sekali ahli sains dan ahli agama. Menurut Wilmut, sel kelenjar susu klon (atau `ibu’) Dolly dijadikan sumber untuk menghasilkan benih yang kemudiannya disemai di dalam kandungan `ibu tumpangan’ Dolly. Ramai yang mengatakan bahawa teknik Wilmut tidak teliti, malah ada kemungkinan bahawa beliau telah memasukkan beberapa unsur cemar, termasuk sel pembiakan biasa ke dalam rahim `ibu tumpangan’ Dolly. Justeru, para pengkritik Wilmut berpendapat Dolly sebenarnya adalah seekor biri-biri biasa yang lahir hasil daripada proses persenyawaan lazim antara sperma jantan dan telur betina. Perbezaannya ialah persenyawaan benih dijalankan secara tiruan di dalam tabung uji dan bukannya melalui hubungan jenis.
Walau bagaimanapun, Wilmut kini boleh menarik nafas lega. Laporan demi laporan menunjukkan bahawa kaedahnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Contohnya, analisis DNA mengesahkan bahawa tiada perbezaan antara kod gen tisu darah Dolly dan sel kelenjar `ibunya’ (Nature 394, m.s. 329-330, 1998). Justeru itu laporan Wilmut tentang Dolly terbukti benar. Tekniknya yang dahulu dianggap tidak mantap juga telah dapat dipermudahkan lagi hasil penyelidikan Wakayama.
Kejayaan mengklon haiwan boleh diaplikasikan di dalam pelbagai bidang bagi mewujudkan peluang perniagaan. Tidak hairanlah kenapa banyak syarikat berorientasikan keuntungan ingin mengambilpakai teknik pengklonan dengan secepat mungkin. Antara kegunaan keupayaan mengklon ialah di dalam industri pengeluaran makanan. Pengklonan biri-biri dan lembu secara besar-besaran boleh menghasilkan sumber protein haiwan yang tidak terhingga.
Walau bagaimanapun, suatu kemungkinan yang sering dikaitkan dengan kejayaan Wilmut dan Wakayama ialah pengklonan manusia. Maka dengan itu, apakah aplikasi penemuan-penemuan ini bagi umat Islam? Menurut pendapat ulama, pengklonan manusia adalah haram. Syeikh Yusof Qardhawi mengeluarkan pendapatnya di dalam sebuah rencana di dalam Arab Family Magazine bahawa pengklonan tidak dapat diterima kerana ianya boleh mendatangkan kemudaratan di dalam kehidupan masyarakat. Menurut Qardhawi lagi, kaedah ini tidak dapat diterima dari segi akhlak kemanusiaan sejagat kerana ianya akan menimbulkan impak yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip asas dalam proses pembiakan insan yang dicipta oleh Allah Taala. Firman Allah menerusi ayat 28 dari Surah ar-Rum yang bermaksud, “Fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrahNya. Tiada perubahan pada fitrah itu”.
Pengklonan dianggap bertentangan dengan fitrah kejadian insan. Sekiranya manusia `dilahirkan’ melalui kaedah ini, maka mungkin akan ada orang yang tidak memandang konsep perkahwinan sebagai satu cara untuk mengembangkan zuriat keturunan. Mungkin juga berlaku tindakan lelaki tidak memerlukan kepada wanita dan sebaliknya. Bilangan wanita dan lelaki juga tidak boleh diseimbangkan, seperti yang berlaku sekarang, melalui konsep kandungan dan kelahiran semulajadi. Faktor rambang di dalam kaedah ini mempastikan bilangan lelaki dan wanita adalah seimbang. Jika tidak, maka kumpulan jantina yang lebih aktif melakukan pengklonan mungkin boleh menguasai dunia secara mutlak. Hal ini bercanggah dengan firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan Aku ciptakan sesuatu itu berpasangan, moga-moga mereka beringat”.
Islam juga memandang serius perkara ini kerana ianya menyalahi peraturan dan sistem yang telah ditetapkan oleh Allah Taala yang menjadikan manusia makhluk yang paling mulia di dunia ini. Bagaimanakah pula untuk mengenakan sesuatu tindakan atau hukuman terhadap seseorang jika terdapat beberapa individu yang serupa di segi perawakan mereka hasil daripada proses pengklonan? Sudah tentu, pelaksanaan proses undang-undang akan menjadi lebih sukar dan mengelirukan. Jika keadilan tidak mampu dicapai, maka salah satu prinsip agama Islam iaitu menegakkan keadilan, tidak dapat dilaksanakan.
Di sebalik kecaman terhadap pengklonan manusia yang semakin hari semakin menjadi kenyataan, terdapat juga suara-suara yang lebih prihatin dengan manfaat yang boleh disumbangkan oleh perjumpaan sains terbaru ini. Pengklonan sebenarnya bukanlah satu kaedah yang boleh menduplikasikan manusia dengan cara spontan. Nukleus sel yang diambil dari mana-mana bahagian individu perlu disenyawakan dengan telur sebelum disemaikan di dalam kandungan seorang ibu seperti biasa. Janin ini kemudiannya akan mengambil masa yang secukupnya sebelum menjadi individu yang lengkap. Selepas kelahiran, individu baru ini akan melalui proses pembesaran sama seperti kanak-kanak lain. Faktor persekitaran ketika membesar juga banyak mempengaruhi perwatakan individu. Jadi, tidak timbul isu bahawa pengklonan boleh mewujudkan anak dari baka bapa atau klonnya dengan serta merta.
Walau apapun, pasti ada kebaikan di sebalik pengklonan, satu ilmu yang sudah dikurniakan oleh Allah Taala kepada manusia. Salah satu daripada bidang yang sedang dikaji yang boleh menggunakan kaedah pengklonan ialah terapi atau rawatan menggunakan tisu dan sel. Sel dan tisu baru individu boleh dikulturkan (dibela) bagi menghasilkan sel dan tisu baru untuk dipindahkan kepadanya apabila ia memerlukannya. Contohnya, pesakit yang sum sum tulangnya tidak berupaya menghasilkan sel darah secukupnya, mungkin boleh mengklon sel yang tinggal agar bilangan sel ini akan dapat ditingkatkan. Kejayaan menerima sel sum sum kendiri atau terklon adalah jauh lebih baik daripada sel penderma. Pengklonan organ manusia seperti ini merupakan satu aspek yang sedang diberi perhatian. Hal ini ialah kerana berlaku kekurangan yang serius bekalan organ dan tisu manusia untuk digunakan di dalam rawatan pemindahan organ.
Justeru itu, isu pengklonan masih boleh dilihat dari pelbagai perspektif sebelum sebarang hukuman dikeluarkan. Kita masih boleh menunggu pandangan dari semua pihak terbabit agar keputusan yang diambil adalah yang terbaik dan paling memanfaatkan.