Perkembangan mutakhir abad ke-20 ini jelas memperlihatkan kepada kita perkembangan teknologi maklumat yang begitu pesat. Pengaruhnya dalam kehidupan seharian begitu dirasai lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang memungkinkan manusia berinteraksi dengan lebih mudah, cepat dan efisien. Adalah tidak mustahil pengaruh dan penguasaan ini akan berterusan untuk satu jangkamasa yang agak panjang. Fenomena semasa juga turut memperlihatkan kepada kita bahawa mana-mana bangsa yang dapat menguasai ekonomi dengan dibantu oleh sistem komunikasi yang canggih adalah sebenarnya menguasai ekonomi dunia. Hal ini sebenarnya telah dibuktikan oleh sejarah kepada kita bahawa negara yang dapat menguasai perairan laut pada abad ke-19 sebenarnya menguasai dunia.
Bagi kita umat Islam, perkembangan teknologi maklumat pastinya menjadi suatu rahmat, peluang dan cabaran baru kepada kita, khususnya di negara Malaysia ini. Dunia yang terbentang luas kini menjadi semakin sesak dengan maklumat dan sistem perhubungan yang canggih. Pada zaman mutakhir ini, orang yang bermaklumat dikatakan sebagai orang yang mempunyai masa depan. Dengan maklumat kita memperolehi pengetahuan dan dengan pengetahuan inilah yang menjadi asas membuat sebarang keputusan atau tindakan. Maklumat hanya di hujung jari. Dalam erti kata lain, pada hari ini manusia begitu mudah untuk mendapatkan maklumat dengan cepat dan tepat.
Sebagai umat yang mengaku beriman kepada Allah, apabila berbicara mengenai kecanggihan teknologi maklumat sewajarnya mengingatkan kita kepada kecanggihan wahyu Ilahi. Intelektual-intelektual Islam sehingga kini tidak mampu mengupas lebih lanjut mengenai “kecanggihan wahyu”. Sebagai contoh, Kalam Allah yang didengari oleh malaikat sebelum disampaikan kepada para rasul dan nabi, tidak dapat diterangkan mahupun diterjemahkan oleh manusia. Walau bagaimanapun, adalah tidak wajar untuk membanding atau menyamakan teknologi maklumat masa kini dengan Kalam atau wahyu Allah. Sungguhpun begitu ianya adalah untuk menjelaskan bahawa manusia tidak sewajarnya mendabik dada dengan ciptaannya sendiri.
Persoalannya sekarang bagaimana kita harus merebut peluang ini dan memanfaatkannya sebagai sistem perhubungan manusia sejagat. Apakah kita mampu menjadikan teknologi maklumat sebagai satu saluran yang boleh mendidik umat? Adakah menerusi teknologi maklumat dapat melahirkan generasi umat yang bermaklumat dan pada masa yang sama berakhlak dan bermaruah? Adakah kita sudah ada kemampuan untuk menguasai bidang ini? Barangkali inilah di antara cabaran-cabaran yang perlu difikirkan oleh umat Islam masa kini. Walau bagaimanapun, apa yang pasti ialah jika masyarakat Islam tidak bersedia memanfaatkan teknologi maklumat ini, kita mungkin akan terperangkap dan lemas di tengah-tengah kesesakan maklumat yang berkembang pesat. Kita tidak mahu ketinggalan lagi dan hanya menjadi golongan yang menggunakan teknologi yang dicipta oleh orang lain.
Oleh itu, umat Islam tidak ada jalan lain melainkan menguasai bidang sains dan teknologi, khususnya dalam bidang penyebaran maklumat dan komunikasi. Kita harus bangkit dari kelesuan minda dan kebekuan yang selama ini membelenggu kita, dan bangun menjadi umat yang bertanggungjawab serta kembali disegani seperti suatu masa dahulu. Cabaran ini harus dipikul bersama oleh semua individu Muslim, sama ada seorang guru, doktor, jurutera mahupun ahli korporat. Masing-masing mempunyai kelebihan dan peranan untuk sama-sama menyebarkan dan mempergiat usaha membangunkan umat.
Kelebihan serta janji Allah S.W.T. yang mengiktiraf kedudukan umat Islam sebagai umat mithali, umat terbaik yang sentiasa menjadi contoh, mengajak manusia berbuat kebajikan dan mencegah daripada kemungkaran hendaklah dibuktikan. Keistimewaan ini telah dirakamkan di dalam al-Qur’an dan surah Ali Imran, ayat ke-110, yang maksudnya :
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan kepada manusia, menyuruh
kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah”.
Kedudukan ini harus dijaga dengan mempertingkatkan usaha menyebarkan maklumat Islam kepada kaum keluarga, masyarakat sekeliling hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam erti kata lain, menjalankan tanggungjawab berdakwah. Antara dakwah yang paling mudah dan berkesan adalah dengan memberikan contoh teladan yang baik sama ada kepada anak-anak ataupun rakan-rakan.
Selain itu, dalam usaha memperluaskan penyebaran maklumat Islam dan dakwah, masjid-masjid dan surau-surau juga boleh memainkan peranan yang cukup berkesan menerusi teknologi maklumat. Ini dapat dilakukan dengan melipat-gandakan usaha menyebarkan maklumat kepada masyarakat. Segala kegiatan berbentuk berita dan ilmu pengetahuan hendaklah diutamakan. Maklumat seperti kegiatan masjid, sistem pentadbiran, perancangan tahunan, keratan akhbar dan lain-lain aktiviti masyarakat yang berfaedah hendaklah dikumpul dan disebarkan melalui masjid.
Untuk mencapai tujuan ini, pengurusan masjid haruslah menyediakan kemudahan teknologi maklumat seperti telefon, faksimili, komputer multimedia dan juga internet. Teknologi ini perlu dimiliki agar masjid dapat berfungsi sebagai pusat penyebaran maklumat sejagat dan penggerak ke arah masyarakat bermaklumat. Dengan cara ini, masyarakat bukan sahaja dapat melibatkan diri secara aktif dalam segala kegiatan masjid, malah turut berpeluang menambah pengetahuan seterusnya menyayangi institusi masjid atau surau sebagai milik masyarakat.
Bagi organisasi-organisasi Islam yang lain pula, kualiti pengurusan dapat dipertingkatkan dan digerakkan secara lebih sistematik dan tersusun menerusi penguasaan teknologi maklumat. Organisasi-organisasi Islam ini perlulah bergerak cergas setanding dengan organisasi-organisasi lain, malah perlu lebih dari itu.
Selain itu, sikap yang positif dan inisiatif yang bersungguh-sungguh hendaklah ditanam dalam jiwa masyarakat Islam bahawa teknologi maklumat adalah satu saluran yang berguna dan bermanfaat kepada agama. Sikap melihat kemajuan sains dan teknologi terutamanya di bidang teknologi maklumat sebagai halangan atau hambatan kepada pembangunan insan adalah semangat yang sengaja ditanam oleh musuh Islam untuk terus menguasai kita. Malangnya, terdapat juga di kalangan umat Islam yang terpedaya dengan tiupan semangat palsu ini, hingga melihat sebarang perkembangan sains dan teknologi sebagai jalan yang membawa kepada kesesatan.
Oleh itu, tidak sah untuk dinyatakan bahawa segala kekeliruan terhadap fungsi sains dan teknologi adalah juga berpunca dari kejahilan umat Islam terhadap sains dan teknologi yang disusuli dengan sikap takut, salah faham, curiga atau terlalu akur dengan keupayaannya sehingga mewujudkan satu kelompok manusia yang begitu mudah untuk ditundukkan. Senario yang berlaku ini seharusnya mencabar umat Islam supaya menumpukan kepada penguasaan teknologi canggih kerana ia merupakan fardu kifayah ke atas umat Islam.
Sudah tiba masanya umat Islam melahirkan golongan Islam profesional dalam bidang maklumat dan memiliki keahlian khusus untuk menghadapi kerumitan dan cabaran teknologi maklumat. Di antara strategi yang perlu digerakkan oleh mereka ialah membangunkan Rangkaian Sistem Maklumat Islam Nasional dan Antarabangsa yang boleh dihubungkan di kalangan pusat maklumat di negara-negara Islam. Pihak kerajaan dan pihak swasta perlu memperbanyakkan pusat latihan atau Institut Pengajian Tinggi untuk menghasilkan pakar maklumat yang terlibat secara langsung dalam bidang maklumat. Para pemikir-pemikir Islam sewajarnya memberikan berbentuk praktikal kepada konsep-konsep dan nilai-nilai Islam dalam mengendalikan teknologi maklumat.
Sudah pasti sekiranya harapan-harapan ini dapat dilaksana dan direalisasikan ianya memungkinkan kita terselamat dari terus dijajah dan sekali gus melahirkan masyarakat Islam yang bukan hanya kuat pegangan aqidah dan tinggi akhlaknya, tetapi juga masyarakat yang berteknologi tinggi dan informasi.