Amalan haji adalah satu ibadah yang wajib dilakukan khususnya bagi mereka yang berkemampuan sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah kepada para hamba-Nya. Ia juga adalah menurut firman Allah dalam surah al Imran, ayat 97, yang bermaksud ‘Dan di antara kewajipan manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu melakukan perjalanan ke sana. Barangsiapa yang mengingkari kewajipan haji, ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya dan tidak memerlukan sesuatu dari seluruh alam’. Dari segi sejarahnya, ibadat haji ini telah difardhukan untuk seluruh umat Islam pada tahun ke 6 selepas hijrah Baginda Rasulullah s.a.w ke Madinah, dan juga sebagai menyambung ajaran yang telah diajarkan oleh Allah kepada Nabi Ibrahim a.s.
Timbul persoalan mengapa Nabi Ibrahim, dan apakah hubungkait di antara Nabi Ibrahim dengan ibadah haji yang diwajibkan Allah kepada umat Nabi Muhammad ini? Walhal, pada zaman Nabi Ibrahim a.s, ajaran agama Islam belum lagi diturunkan, dan ibadah haji hanya difardhukan selepas kewafatan beliau, bahkan itupun selepas 6 tahun penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah. Sudah pasti, ini sebenarnya adalah berkait rapat dengan sikap dan amalan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Allah, Ibrahim dan Nabi Ismail yang amat penyabar, sebagai menuruti perintah Allah s.w.t, dan ibadah haji pula adalah satu amalan ibadah yang menuntut banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Manakala amalan pengorbanan tersebut adalah satu contoh pengorbanan suci yang telah diangkat dan diterima oleh Allah sebagai satu bentuk ibadah yang dituntut daripada kalangan hamba-hambaNya yang ingin mendekatkan diri dan meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah s.w.t. Selain itu, ia juga menunjukkan kepada umat Islam bahawa ibadah korban dan sikap pengorbanan merupakan amalan mulia yang dituntut oleh Allah dan hanya Dia lah sahaja yang layak untuk menilai dan memberikan ganjarannya.
Sememangnya amat banyak definisi dan ungkapan yang diberikan untuk menerangkan konsep pengorbanan yang berasal dari ibadah dan amalan korban mahupun ibadah haji. Namun pada asasnya, pengorbanan yang dilakukan itu mestilah jujur dan ikhlas serta mengharapkan hanya keredhaan Allah dan sebagai bukti penghambaan yang sepenuh hati kepada-Nya. Pengorbanan adalah satu perkataan yang diambil dari bahasa Arab yang memberi maksud dekat atau mendekatkan. Secara istilahnya, ia adalah sebarang usaha yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah bagi meningkatkan ketakwaan dan keimanan. Pada hakikatnya, pengorbanan adalah satu konsep dan amalan yang diajarkan secara langsung oleh Allah kepada umat Islam, sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Apa yang pasti, Allah jua yang akan memberi ganjaran terhadap keikhlasan hamba dalam pengorbanan mereka. Kehidupan juga adalah satu pengorbanan yang melibatkan perjuangan. Ia menuntut banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Individu perlu berkorban masa dan tenaga, wang ringgit dan pemikiran untuk meneruskan kehidupan. Kadang-kadang mereka terpaksa mengorbankan kepentingan peribadi dan diri sendiri demi kebajikan dan kemaslahatan orang lain dan ia adalah satu ibadah yang akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Amalan ini amat mulia kerana ia akan memberi satu peluang dan kehidupan baharu kepada orang lain demi kebajikan umum. Ini jugalah yang sebenarnya telah ditunjukkan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. Perjuangan untuk meneruskan kehidupan berdasarkan ajaran agama suci menuntut beliau untuk berkorban nyawa apabila sanggup meredah ketandusan padang pasir yang kering kontang dan panas terik, sambil meninggalkan Siti Hajar dan anaknya yang baru lahir setelah menunggu akan kelahirannya selama 86 tahun, iaitu Nabi Ismail, yang masih bayi, secara sehelai sepinggang dan tanpa sebarang perlindungan, demi untuk menuruti perintah Allah s.w.t., tanpa menoleh lagi ke belakang, sambil terus berdoa mengharapkan pertolongan dan kasih Allah.
Contoh ini telah memberi gambaran bahawa betapa hebatnya tekanan yang dihadapi mereka sesekali tidak menjejaskan tahap kestabilan emosi dan kewarasan pemikiran. Ini kerana keimanan dan ketakwaan serta kepercayaan secara langsung yang tinggi terhadap kebergantungan kepada Allah dan itu sudah mencukupi. Dalam erti kata yang lain, pertalian dan kebergantungan yang menjadi asas keimanan kepada Allah s.w.t adalah asas untuk memiliki kestabilan dan kekuatan mental dan emosi di kalangan umat Islam. Cumanya, mereka mungkin perlu didedahkan dengan beberapa kaedah dan cara tertentu yang boleh membuka minda mereka bagaimana pendekatan ini boleh mereka terima dan amalkan serta mereka percaya bahawa ia boleh membantu mereka mencapai kesejahteraan mental dan emosi. Atas dasar ini juga, adalah amat penting bagi pengamal kesihatan mental untuk memasukkan aspek spiritual dan agama serta kerohanian dalam merawat permasalahan pesakit.
Kebergantungan dan penyerahan diri serta kehidupan duniawi ini hanya kepada Allah memerlukan kekuatan minda dan pemikiran serta kesanggupan mereka untuk mengorbankan segala kemewahan dan keseronokan dunia ini. Kemewahan dan keseronokan dunia terdiri dari pelbagai perkara merangkumi status dan pangkat, pekerjaan, harta, pasangan, anak-anak, ahli keluarga dan kaum kerabat. Semua ini adalah ujian kepada manusia. Dengan pengorbanan yang diajarkan Islam ini sebenarnya manusia akan sanggup untuk melepaskan segala kemewahan ini pada bila-bila masa tanpa ada sebarang kegusaran dan ketakutan demi mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.