Secara purata, setiap rakyat Malaysia menghasilkan 0.8kg. sampah setiap hari. Jumlah ini bertambah besar jika mengambil kira individu yang tinggal di bandar. Penghuni kawasan bandar dianggarkan menghasilkan 1.5kg. sampah setiap hari. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2001, 16,247 tan sampah dihasilkan di Malaysia setiap hari. Negeri Selangor mendahului negeri-negeri lain dengan penghasilan sampah sebanyak 2,955 tan sehari. Ini diikuti dengan Kuala Lumpur (2,634 tan/hari), Johor (2,002 tan/hari), Perak (1,596 tan/hari) dan Kedah (1,383 tan/hari).
Melihatkan data di atas, penghasilan sampah atau sisa pepejal bergantung kepada keluasan sesebuah kawasan, jumlah penduduk dan aktiviti yang dijalankan. Jenis sampah yang terhasil juga berbeza mengikut kawasan.� Bagi kawasan bandar, sampah pepejal yang terhasil adalah lebih kompleks berbanding di luar bandar. Sampah yang terhasil adalah dalam bentuk kertas, bahan-bahan kaca, kayu-kayu sisa binaan, bahan-bahan plastik, sisa-sisa makanan, bahan-bahan aluminium dan sebagainya.
Di Malaysia, sampah yang dihasilkan dihantar ke tapak pelupusan ataupun ke pusat pembakaran (incinerator). Dua sistem ini amat popular di Malaysia. Terdapat 161 tapak pelupusan sisa pepejal di Malaysia (jumlah ini tidak termasuk sepuluh pihak berkuasa tempatan di Sabah dan Sarawak ). Negeri Sarawak mempunyai jumlah tapak pelupusan sampah yang tertinggi iaitu sebanyak 28 tapak. Ini diikuti dengan Johor (26), Perak (18), Pahang (14) dan Kelantan (12). Di antara 161 tapak ini, 77 daripadanya terdiri dari tapak pembuangan sampah terbuka (open dumping). 49 tapak terdiri dari pelupusan terkawal (controlled tipping), 19 tapak mempunyai ‘bund’ dan sisa pepejalnya dikambus setiap hari, sepuluh tapak mempunyai kemudahan paip pengumpulan ‘leachate’ dan paip pengudaraan serta selebihnya mempunyai sistem rawatan ‘leachate’.
Walaupun Malaysia mempunyai jumlah tapak pelupusan sisa pepejal yang banyak namun jumlah ini tidak mencukupi untuk menampung jumlah sampah yang dihasilkan. Dianggarkan, sebahagian besar tapak ini akan penuh atau tidak boleh digunakan dalam masa dua tahun lagi. Bukan itu sahaja, kaedah pelupusan sampah jenis ini berisiko tinggi terhadap alam sekitar dan manusia di sekitar kawasan tapak pelupusan itu. Sebagai contoh, tapak pelupusan terbuka boleh memberi kesan kepada sistem tanah dan air di kawasan tersebut. Selain bau busuk, penyakit mata dan kulit juga boleh mengganggu hidup manusia di persekitaran kawasan tapak.
Akibat masalah ruang yang semakin terhad, Malaysia kini beralih kepada teknik pembakaran untuk mengatasi masalah pelupusan sampah. Terdapat 7 pusat pembakaran mini di Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Pulau Labuan. Pusat pembakaran mini ini mempunyai kapasiti pengurusan sisa pepejal sebanyak 3-10 tan/hari/unit. Di samping itu, sebuah pusat pembakaran berteknologi tinggi (Thermal Treatment Plant) akan dibina di Kampung Brogo, Semenyih, Selangor. Pusat pembakaran ini mampu menguruskan 1,500 tan sisa pepejal dalam sehari. Sementara itu, di Pulau Labuan juga terdapat sebuah pusat pembakaran yang menggunakan kaedah ‘Thermal Oxidation’. Pusat pembakaran ini mampu mengendalikan 40 tan sisa pepejal sehari.
Pembinaan pusat pembakaran dikatakan mampu mengatasi masalah pelupusan sisa pepejal di Malaysia .Ini kerana sistem itu berkeupayaan membakar sampah dengan lebih cepat berbanding pelupusan sampah terbuka. Sistem pembakaran boleh membakar 99 peratus sisa pepejal menggunakan suhu yang tinggi sekitar 500-600 darjah celsius. Melalui kaedah ini separuh dari sisa pepejal yang dihasilkan boleh dibakar setiap hari. Abu hasil dari pembakaran itu pula dikatakan 99 peratus selamat untuk ditanam di mana-mana tapak pelupusan sampah yang sedia ada. Selain dari itu, kaedah pembakaran juga dikatakan mampu membakar kuman-kuman yang terdapat dalam sisa bagi mengelakkan masalah penyebaran penyakit. Dalam masa yang sama, sistem ini telah dibina dengan mengambil kira semua aspek bagi mengatasi masalah jerebu, masalah bau busuk dan pelepasan gas dioksin.
Walaupun kaedah pembakaran menjadi pilihan untuk mengatasi masalah pelupusan sampah yang meningkat, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira. Pembinaan pusat pembakaran sebenarnya memerlukan sumber kewangan yang sangat tinggi. Misalnya, pembinaan pusat pembakaran mini di Langkawi sahaja melibatkan kos sebanyak RM5.7 juta. Manakala pembinaan pusat pembakaran di ibu kota pula menelan belanja antara RM500 juta hingga RM1 billion. Dengan kos yang setinggi ini, seluruh rakyat perlu menanggung kos itu secara bersama. Ini tentu sahaja akan menimbulkan rungutan pihak tertentu.
Di samping itu, masalah alam sekitar dan kesihatan manusia yang berpunca dari aktiviti pembakaran juga harus diambil kira. Misalnya masalah jerebu dan masalah gas dioksin akibat pembakaran sisa yang tidak sempurna. Di Jepun, pelepasan gas dioksin merupakan satu masalah yang besar. Ia dikaitkan dengan penyakit kanser, kecacatan bayi dalam kandungan, masalah kulit dan memberi kesan negatif kepada sistem reproduktif manusia. Selain mencemarkan udara, dioksin juga mampu menyerap ke dalam tanah dan air lalu mencemarkan air dan seterusnya mencemarkan tumbuhan, hasil tenusu dan ikan. Kedua-dua masalah ini perlu diambil kira agar tidak mewujudkan masalah lain yang akan menyukarkan kehidupan manusia dan merosakkan alam sekitar.
Pengurusan sisa pepejal di Malaysia telah berubah mengikut masa. Teknologi yang digunakan di dalam pengurusan ini juga semakin canggih. Penggunaan teknologi dan system pengurusan yang canggih adalah semata-mata untuk mencapai kualiti alam sekitar yang baik bagi negara Malaysia . Kerajaan bertanggungjawab untuk mencapai matlamat ini. Walaubagaimana pun, rakyat juga mempunyai tanggungjawab yang sama. Haruslah diingat bahawa manusia adalah khalifah di bumi ini. Oleh itu, tanggungjawab menjaga alam ini adalah tanggungjawab kita bersama. Bermula di rumah, sisa yang dihasilkan perlu diuruskan dengan baik agar pengurusan pada peringkat yang lebih tinggi menjadi mudah dan berkesan.