Dewasa ini, ramai orang berlumba-lumba mengejar kekayaan tidak kira apa latar belakang dan kerjaya. Dalam kesibukan mengejar kekayaan, kerap kali perimbangan di antara pendapatan dan perbelanjaan menjadi semakin pincang. Kaya itu dilihat apabila mempunyai banyak kemewahan dan barang yang dimiliki. Akhirnya budaya suka berhutang menjadi satu kebiasaan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu. Suasana ini wujud kerana dua perkara iaitu kemudahan yang disediakan oleh institusi kewangan dan pandangan mereka terhadap hutang. Perkara yang menjadi tanda tanya ialah adakah dengan memberi pinjaman institusi berkenaan mendapat keuntungan yang tinggi dan adakah hutang boleh mengkayakan seseorang? Kesilapan tasawwur sebenar dalam proses mencari kekayaan telah menyebabkan ketidakseimbangan berlaku di dalam institusi perbankan dan kekeluargaan.
Untuk menyediakan kemewahan dan mengumpul perlbagai kemudahan, jalan yang paling mudah ialah dengan cara berhutang. Hakikat yang perlu ditangani ialah amalan hutang di kalangan rakyat semakin membimbangkan. Menurut perangkaan Bank Negara Malaysia, Skim Perbankan Islam-Pinjaman Kredit Penggunaan (consumption credit) bagi Kegunaan Persendirian telah meningkat melebihi sekali ganda untuk tempoh setahun iaitu daripada RM2,041 juta (Mei 2005) kepada RM4,339.7 juta (Mei 2006). Pola ini dianggarkan akan terus meningkat untuk tempoh berikutnya. Suasana ini berlaku kerana galakan hutang peribadi samada pada individu yang terlibat dalam perniagaan mahupun makan gaji. Sudahlah dikelilingi hutang sedia ada seperti hutang perumahan, kenderaan, pengajian, kelengkapan rumah ditambah pula dengan hutang peribadi. Akibatnya beban membayar balik hutang melebihi pendapatan sehingga menjejaskan kemampuan untuk menyediakan keperluan asas keluarga. Sebagai contoh, laporan yang diperolehi menunjukkan ada kakitangan kementerian tertentu menghadapi masalah lebihan 60% potongan gaji.
Namun, mereka yang berhutang ini tidak pula kaya atau bebas dari masalah kewangan malah berada di dalam keadaan lebih tertekan serta menjejaskan mutu kerja kerana terlibat dengan masalah kekurangan tunai, kerja sampingan atau tindakan buruk rasuah dan pecah amanah. Apabila terdapat kakitangan yang berada dalam kekangan kewangan yang meruncing, pelbagai kemungkinan boleh berlaku seperti institusi keluarga berada di dalam keadaan yang tertekan. Walaupun berbagai tindakan diambil oleh pihak-pihak tertentu untuk memulihkan keadaan ini, ianya tidak akan berubah sekiranya kefahaman terhadap hutang tidak diubah.
Kita kadang-kadang mendengar bahawa ada orang kaya dengan berhutang. Sesetengah orang beranggapan orang yang kaya banyak hutang dan untuk menjadi kaya kena pandai bermain hutang. Tanggapan ini perlu diperbetulkan dengan membezakan apakah yang dimaksudkan dengan keperluan untuk berhutang. Adakah perlu kita berhutang untuk menyelesaikan masalah kewangan dan ketidakcekapan kita mengurus perbelanjaan? Kalau perlu, maka tidak perlu kita berusaha untuk mendapatkan pendapatan kerana dengan berhutang, segala keperluan boleh diperolehi. Hutang hanya perlu dan sesuai apabila ingin menggunakan kemudahan tersebut ke arah usaha menyuburkan lagi asas modal awalan lain. Hasil dari usaha mengurus modal-modal ini, ‘harga’ atau kadar sesebuah peruntukan pinjaman dalam bentuk usahasama atau perkongsian dapat pula diagihkan.
Harga yang dikenakan ke atas pinjaman tanpa pertukaran kecambahan modal lain dianggap sebagai riba. Inilah antara hikmah pengharaman riba dalam Islam kerana riba tidak mencerna kecambahan sumber modal awalan. Aqad muamalah perkongsian sesuatu pelaburan melalui peruntukan kewangan dari satu pihak kepada pihak yang lain mestilah disertakan bersama unsur kecambahan harta dalam gabungan modal-modal seiring dengan risiko ke atas muamalah juga dikongsikan. Apabila muamalah tanpa unsur ini tetapi melibatkan bayaran balik secara berlebih dari peruntukan asas maka ianya dianggap sebagai muamalah beriba. Walau apa nama diberikan atau apa perantaraan aqad tersebut seperti sebidang tanah atau saham tertentu, ia tetap muamalah yang samar (dzan) di sisi syarak.
Ada sesetengah pihak beranggapan bahawa individu sekarang tidak dapat lari dari amalan berhutang. Keadaan ini berlaku kerana terdapat banyak kemudahan hutang yang disediakan oleh institusi kewangan sehingga mengaburi mata si peminjam. Sekali imbas, seolah-olah dengan berhutang, kita nampak bijak dalam menguruskan aliran tunai berbanding pendapatan, tetapi semua ini tidak semudah yang difikirkan. Terlalu sedikit badan yang bersedia untuk memberi wang tanpa mendapatkan tambahan pulangan kepada asas yang diberikan walaupun Islam melarang keras pengambilan riba. Sedangkan hutang yang dibolehkan dalam Islam hanyalah Qardh Hasan iaitu hutang yang tidak dikenakan apa-apa bayaran ke atasnya. Amalan ini telah menjadi kebiasaan dan sesetengah pula menganggap sama saja di antara riba dan muamalah perjanjian jualbeli sebagaimana yang telah ditempelak di dalam al-Quran. Demikianlah tidak kekoknya sesebuah institusi melaksanakan ‘muamalah jualbeli’ tetapi semasa meminta balik bayarannya mereka menyatakan bahawa tergantung amalan seseorang sekiranya hutang tersebut tidak dilangsaikan. Sekiranya betul aqad yang dibuat itu jual beli, maka tidak timbul soal kutipan balik hutang tetapi mungkin kerugian hasil dari perkongsian dalam jualbeli tersebut.
Dalam dunia perniagaan, modal tidak sewajarnya diperolehi dengan jalan berhutang kecuali melibatkan urusan perniagaan yang besar jumlahnya. Itupun melalui asas perkongsian keuntungan berdasarkan jangkaan pendapatan sesebuah perniagaan. Malangnya, ada sesetengah pihak menjalankan perniagaan dengan semua modal diperolehi dengan cara berhutang. Keadaan ini akan mengurangkan kadar keuntungan kerana mereka terpaksa membayar harga tertentu ke atas pinjaman tersebut. Keadaan ini ditambah pula dengan kekurangan pengalaman dan kemampuan menyebabkan usaha sahaja sebagai satu cara untuk menggandakan pulangan perniagaan. Akhirnya, peniaga menjadi alat untuk institusi kewangan mengaut keuntungan dan perniagaan tidak ada daya saing serta kurang peluang untuk maju. Modal perniagaan bukan sahaja dalam bentuk duit, oleh itu perlu difahami bahawa modal yang lebih penting adalah kemampuan seseorang itu dari segi kemahiran, pengalaman, kemahuan, kenalan perhubungan dan kekuatan barangan yang hendak diniagakan. Mendapatkan kemudahan pinjaman memanglah mudah tetapi tidak boleh dianggap remeh sekiranya ingin berjaya dalam urusan perniagaan yang diceburi. Mereka yang lemah penguasaan mengurus kecukupan sedia ada akan sukar memperolehi apa yang berada di luar dari kemampuannya.
Kaedah pinjaman terutamanya pinjaman peribadi telah dipermudahkan oleh institusi kewangan yang kurang peka kepada kesan buruk jangka panjang ke atas keseluruhan aturan kewangan. Namun, institusi kewangan kini mula berhati-hati dengan pola baru budaya berhutang masyarakat. Kemudahan pinjaman hanya dibuka kepada mereka yang boleh menjamin bayaran balik melalui potongan gaji kerana terdapat banyak masalah pembayaran balik yang dihadapi oleh institusi. Timbullah pula isu pilih kasih atau ‘double standard’ di mata penjawat kakitangan syarikat yang tidak melaksanakan potongan gaji. Tekanan seumpama ini telah memberi kesan buruk secara tidak langsung pengurusan syarikat tersebut.
Orang yang terlibat dengan hutang secara tidak wajar sebenarnya berada dalam lingkungan sikap tidak mahu susah dan tidak faham tentang maksud sebenar ikhtiar. Lantaran ‘kecukupan’ kehidupannya terlampau tinggi, mereka terpaksa mendapatkan sumber kewangan dengan cara berhutang untuk memenuhi kecukupan ini. Hutang dijadikan sebagai cara mendapatkan sumber bagi menyelesaikan masalah kelemahan mengurus kewangan mereka sendiri.
Hutang layaknya kepada mereka yang dianggap sebagai betul-betul memerlukan. Dasarnya tetap sama iaitu pinjaman tersebut tidak boleh dikenakan apa-apa tambahan sama ada dipanggil bunga atau kadar keuntungan. Institusi mana yang cukup berani untuk memberi pinjaman kepada mereka yang belum terjamin pembayaran balik?
Inilah keadaan yang terang-terangan telah ditegah oleh al-Quran dalam menghalalkan sesuatu yang haram khususnya pengambilan riba. Ada juga sebilangan manusia mengambil pendekatan faham tersurat sahaja hadith nabi bahawa kefakiran menghampiri kekufuran. Sedangkan hakikat kefahaman ini lebih menjurus kepada kefakiran pengetahuan dan kemahiran yang mendorong manusia ditipu dan mengarah kepada kekufuran. Sama halnya bagi mereka yang tidak mengendahkan maksud sebenar kekayaan dengan berlumba-lumba memperbanyakkan harta kemewahan. Sebenarnya kekayaan itu apabila sedikit kecukupannya. Apabila dengan sedikit kecukupan sudah memadai, maka lebihan dari kecukupan itulah memberi maksud seseorang itu kaya. Secara tidak langsung, minda dan hati akan lebih bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan dan berusaha secara telus serta tidak meletakkan kebendaan sebagai matlamat utama. Semua ini terpulang kepada cara seseorang menafsirkan pandangan hidup. Kalau kita masih salah atau samar tentang tempat yang dipandangnya, bagaimana mungkin dapat menuju ke sana dengan jayanya.