Peningkatan hutang isi rumah kini telah menjadi satu fenomena yang membarah bukan sahaja di negara kita malah sehingga peringkat antarabangsa. Lazimnya hutang isi rumah negara merupakan sesuatu hutang yang dibuat oleh isi rumah melalui pinjaman daripada institusi kewangan bagi tujuan tertentu seperti hutang untuk pembelian rumah, kereta, pinjaman peribadi, kad kredit dan lain-lain lagi.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) komposisi hutang isi rumah untuk empat tahun berturut-turut (2010-2013) mengikut pengelasan peratusan menunjukkan bahawa pinjaman perumahan (47%) merupakan kategori pinjaman yang paling tinggi diikuti dengan pinjaman kenderaan (20%), peribadi (8.3%) dan kad kredit (5%). Hutang isi rumah Malaysia antara yang tertinggi di rantau Asia iaitu 83% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Manakala purata pendapatan isi rumah terus lembab pada peningkatan sekitar lapan peratus saban tahun.
Peningkatan pendapatan isi rumah yang lembab dan tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup menyebabkan masyarakat terus dihimpit dengan bebanan hutang yang tinggi. Malah tidak dapat dinafikan bahawa setiap isi rumah di Malaysia berhutang melebihi daripada apa yang sepatutnya dan akhirnya terjerat dalam hutang yang berpanjangan. Apa yang menakutkan lagi kita apabila wujud pula kes kebankrapan, dalam kalangan golongan muda. Gaya hidup mewah dan peningkatan kos sara hidup yang semakin mendesak memaksa mereka memilih hutang sebagai penyelesaian terutama untuk mengecapi kehidupan yang lebih selesa sehingga sanggup berbelanja melebihi kemampuan kewangan diri.
Namun ironinya, saban tahun laporan ekonomi sentiasa mencatatkan ayat-ayat positif daripada pihak bertanggungjawab seperti “ekonomi negara masih stabil”, “ekonomi masih belum sampai tahap kritikal”, “ekonomi negara dalam pemantauan” dan lain-lain kenyataan positif. Walhal kita masih membicarakan tentang hutang isi rumah yang semakin meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini, namun adakah ayat–ayat positif sedemikian masih sesuai digunakan dengan tahap keberhutangan isi rumah yang semakin meningkat?
Ditambah pula dengan harga rumah yang semakin melambung tinggi dan pertumbuhan kredit yang pesat. Apabila berlakunya peningkatan krisis kredit ini sebenarnya ia berupaya merendahkan kuasa beli masyarakat, sekaligus mengurangkan aliran tunai dan melembapkan ekonomi domestik. Ini juga satu merupakan petanda tidak baik yang akan mendatangkan implikasi buruk kepada kepada psikologi masyarakat. Di mana ahli psikologi ada menyuarakan kebimbangan dengan kewujudan krisis kredit yang boleh menyebabkan tekanan, depressi, masalah mental, bunuh diri dan pergaduhan serta perpisahan antara hubungan kekeluargaan.
Di samping itu, peningkatan hutang isi rumah ini juga akan terdedah kepada risiko peningkatan faedah. Peningkatan kadar faedah ini turut akan meningkatkan lagi kos hutang dan akan mengurangkan pendapatan boleh guna dan selanjutnya akan mengurangkan penggunaan. Trend sebegini lambat laun akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga ekonomi negara secara keseluruhannya.
Justeru, apakah peranan masyarakat dalam menangani isu yang tidak berkesudahan ini? Di sinilah kesedaran dalam masyarakat terhadap aspek perancangan kewangan perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan pinjaman tidak berbayar dan diisytiharkan muflis. Dalam Islam, panduan Maqasid Syariah perlu diterapkan dalam minda masyarakat sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan soal kewangan dan perbelanjaan sama ada pembelian sesuatu barang itu suatu keperluan, kemudahan atau semata-mata untuk kemewahan. Seharusnya hutang bagi sesebuah isi rumah seharusnya tidak melebihi 40 peratus daripada jumlah pendapatan. Begitu juga pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan dilihat mampu membantu masyarakat untuk mengatasi masalah bebanan hutang dan melahirkan masyarakat yang celik kewangan.
Pendidikan kewangan seharusnya bermula daripada rumah dan masyarakat Malaysia harus dipupuk dengan tabiat ini. Ianya juga harus dibudayakan dalam masyarakat dan perlu istiqamah dalam usaha menabung dan mengurus kewangan dengan baik. Ibu bapa adalah ejen sosialisasi kewangan yang terbaik dan memainkan peranan penting dalam memupuk tabiat menabung di dalam diri anak-anak sejak kecil lagi.
Dari segi tabungan ini juga, masyarakat perlu mendisiplinkan diri dengan sekurang-kurangnya menabung antara lima peratus hingga 10 peratus daripada pendapatan dan perlu dilakukan secara disiplin. Sebagai contoh, untuk memudahkan tujuan ini, potongan gaji bulanan boleh dilakukan seperti potongan gaji terus ke dalam akaun Tabung Haji. Perlu diingat, menabung bukan hak keistimewaan orang yang bergaji besar sahaja. Tidak salah untuk memulakan tabungan dengan jumlah yang kecil kerana usaha itu adalah lebih baik dan mulia daripada tidak memikirkan langsung tentang perlunya menabung.
Begitu juga agensi yang dipertanggungjawabkan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) perlu mempergiatkan lagi usaha mereka untuk membantu masyarakat meningkatkan kesedaran akan kepentingan menabung di samping memberi bimbingan tentang cara mengurus kewangan isi rumah secara berhemat.
Bagi masyarakat yang berminat untuk melabur dinasihatkan supaya memastikan kewangan mereka benar-benar kukuh terlebih dahulu. Hal demikian kerana pelaburan adalah suatu risiko yang perlu diambil oleh penghutang. Justeru, dicadangkan jika terdapat lebihan pendapatan baru digalakkan untuk membuat pelaburan. Begitu juga dengan meminjam atau berhutang untuk membiayai mana-mana skim pelaburan, di sini masyarakat harus tahu bahawa terdapat risiko dalam pelaburan ini kerana kadar dividen mungkin lebih rendah daripada kadar keuntungan pada masa hadapan. Ini kerana pulangan pada masa hadapan adalah tidak menentu.
Justeru, untuk menangani fenomena yang membarah yang terus menular dalam kalangan masyarakat hari ini, semua pihak tidak kira individu, masyarakat, kerajaan dan institusi kewangan dan swasta haruslah memainkan peranan masing-masing terutama dalam memperkenalkan beberapa garis panduan untuk mengawal aliran peningkatan hutang isi rumah yang semakin meruncing ini.