Perlembagaan menyediakan skop kepada perkhidmatan awam. Dalam Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan ada dinyatakan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikategorikan sebagai perkhimdatan awam.
Terdapat negara di dunia yang menggariskan secara umum peranan dan tanggungjawab penjawat awam dalam Perlembagan mereka. Walaubagaimana pun, Perlembagaan kita tidak menggariskan secara terperinci tentang peranan dan tanggungjawab para penjawat awam. Apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan bahawa penjawat awam adalah berkhidmat selama mana diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sementara itu, Perlembagaan juga menyediakan perlindungan-perlindungan tertentu kepada penjawat awam.
Dengan tiadanya peruntukan khusus, secara umumnya peranan dan tanggungjawab penjawat awam ini di negara kita ini difahami menerusi kaedah-kaedah atau peraturan berkaitan perkhidmatan awam ini. Peraturan-peraturan itu pada umumnya disandarkan kepada amalan-amalan atau konvensyen dalam pentadbiran bercorak demokrasi.
Secara umumnya terdapat tiga fungsi utama penjawat awam dalam sistem pentadbiran yang berasaskan sistem demokrasi. Tiga fungsi utama itu ialah, menasihati kerajaan mengenai pilihan-pilihan yang ada dalam menentuka dasar kementerian atau agensi ekrajaan, melaksanakan keputusan kepada dasar yang diputuskan oleh kerajaan; dan, melaksanakan fungsi umum jentera pentadbiran kerajaan.
Dengan itu, hubungan antara menteri dan penjawat awam dapat dilihat dalam sistem pentadbiran kita yang mana penjawat awam merupakan pelaksana kepada semua keputusan dan dasar kementerian yang dibuat oleh menteri.
Dalam sistem pentadbiran negara kita, kuasa eksekutif raja atau Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan oleh menteri-menteri melalui kementerian-kementerian. Dalam menjalankan tanggungjawab mereka, para menteri disokong dengan perkhidmatan awam.
Para menteri seterusnya bertanggungjawab kepada Parlimen, yang mana para menteri secara individu dan juga secara kolektif bertanggungjawab kepada Dewan Rakyat untuk segala dasar, program dan aktiviti Kerajaan.
Para penjawat awam berkewajipan untuk memberi sokongan dan kesetiaan, secara profesional dan tidak berat sebelah, kepada setiap kerajaan yang memerintah. Dengan kewajipan tersebut, penjawat awam adalah bertanggungjawab untuk memberikan nasihat dan maklumat yang tepat kepada menteri.
Penjawat awam adalah juga bertanggungjawab untuk menjalankan, dengan setia, setiap arahan yang diberikan oleh Menteri. Dengan berbuat demikian para penjawat awam sebenarnya berkhidmat kepada rakyat. Penjawat awam adalah bertanggungjawab kepada ketua mereka dan akhirnya kepada menteri bagi pelaksanaan tanggungjawab yang betul dan cekap. Menteri seterusnya bertanggungjawab kepada rakyat melalui wakil rakyat, iaitu Parlimen.
Sistem kerajaan kita ialah sistem kerajaan bertanggungjawab kerana kerajaan mestilah mengekalkan keyakinan atau kepercayaan Dewan Rakyat kerana Menteri bertanggungjawab kepada Dewan atas segala perbuatan atau pelaksanaan kuasa mereka. Menteri yang membuat keputusan dasar, para penjawat awam melaksana keputusan dan dasar dan seterusnya menteri bertanggungjawab atas segala pelaksanaan keputusan dan dasar kepada Parlimen, yang juga mewakili rakyat.
Oleh itu, tanggungjawab untuk menyediakan maklumat kepada Parlimen adalah terletak pada Menteri. Para penjawat awam pula tidak mempunyai tanggungjawab perlembagaan kepada Parlimen dan tidak pula berkongsi tanggungjawab kepada Parlimen yang digalas oleh menteri. Walaupun begitu para penjawat awam hendaklah menyokong menteri dalam hubungan mereka dengan Parlimen dengan membekalkan maklumat-maklumat berkaitan untuk dibentangkan kepada menteri.
Sekiranya berlaku ketirisan dalam pentadbiran atau pelaksanaan dasar dalam mana-mana kementerian atau agensi kerajaan, maka secara politiknya para menteri hendaklah mengambil tanggungjawab walaupun ketirisan itu sebenarnya berpunca daripada kelemahan dalam pelaksanaan kepada dasar tersebut. Disebabkan tanggungjawabnya kepada rakyat, para menteri berkaitan tidak boleh menuding jari kepada penjawat awam. Segalanya hendaklah ditanggung oleh menteri secara individu atau kolektif dengan jemaah menteri.
Oleh itu, pelaksanaan tanggungjawab oleh penjawat awam juga merupakan antara faktor yang menentukan panjang atau pendek jangka hayat sesebuah kerajaan yang dipilih rakyat. Disebabkan sektor perkhidmatan awam merupakan sektor yang dekat dengan rakyat, maka prestasi kerajaan, kejayaan atau kegagalan kerajaan adalah juga dinilai melalui penyampaian atau pelaksanaan oleh penjawat awam.
Dari sini jelaslah bahawa amanah yang digalas penjawat awam amat besar; pada penjawat awam bergantungnya kejayaan atau kegagalan sesuatu dasar atau keputusan yang dibuat oleh menteri, jemaah menteri atau kerajaan. Di atas bahu para penjawat awam jugalah terletaknya masa depan kerajaan yang dipilih rakyat.