Dalam sistem ekonomi semasa penyusunan ekonomi yang berkesan memerlukan kepada sebuah sistem kewangan yang mantap dan berdaya maju. Sistem kewangan yang meliputi pengurusan penawaran wang dan mempengaruhi permintaan kepada wang secara positif akan dapat memberi kesan yang mendalam kepada peruntukan sumber-sumber dan prestasi menyeluruh sesebuah ekonomi tersebut. Prestasi menyeluruh ekonomi meliputi penentuan jumlah paras pengeluaran, pendapatan, guna tenaga dan harga dalam sesebuah ekonomi.
Di dalam sistem kewangan terdapat institusi kewangan seperti Bank Pusat, Bank Perdaganan, Bank Saudagar, Syarikat Kewangan bukan bank, Syarikat Insuran, Pasaran Modal (Saham), Pasaran komoditi dan sebagainya. Institusi-institusi tersebut adalah financial intermediaries yang mengembeleng pelaburan dari sumber atau kumpulan yang memiliki modal lebihan untuk dilabur dalam institusi kewangan. Tugas institusi kewangan seterusnya menyalur kepada sektor ekonomi yang memerlukan modal untuk mencetus kegiatan ekonomi. Kepentingan sektor kewangan dengan itu sangatlah penting dalam memesatkan pertumbuhan kegiatan ekonomi. Oleh itu sistem kewangan yang berdaya maju akan dapat menyumbang secara berkesan kepada pertumbuhan dan kestabilan ekonomi sesebuah negara.
Pasaran saham sebagai salah satu institusi kewangan turut mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan ekonomi negara. Pertama, ia membantu proses pembangunan ekonomi melalui pengembelengan dana jangka panjang dari masyarakat yang melabur untuk membiayai kegiatan program pembangunan sektor awam dan pelaburan sektor swasta. Kedua, pasaran saham mempromosikan keusahawanan sektor swasta melalui penyediaan modal dengan jumlah yang memberangsangkan untuk sektor swasta membuat pelaburan korporat dan pembesaran kegiatan ekonomi mereka.
Sebagai institusi intermediary, Pasaran Saham yang mantap dan berdaya maju sudah pasti memiliki daya tarikan kepada masyarakat dalam dan luar negara untuk melabur dalam pembelian saham terbitan tempatan. Jumlah nilai dagangan yang bertambah besar akan menambahkan lagi dana untuk peluang firma tempatan mengembangkan kegiatan ekonomi mereka. Oleh itu usaha untuk meningkatkan pembesaran dan mengemaskinikan perdagangan saham semoga menarik pelabur adalah usaha yang perlu kepada sesebuah ekonomi secara berterusan. Salah satu dari ciri penting yang perlu ada dalam Pasaran Saham ialah kestabilan harga saham-saham yang diperdagangkan. Pengaruh negatif samada yang diwujudkan oleh faktor dalam negara dan juga luar negara perlu sentiasa dielakkan. Kejayaan mewujudkan kemantapan Pasaran Saham adalah petanda positif dalam pengurusan ekonomi sesebuah negara.
Islam menggalak umatnya supaya melabur modal dalam kegiatan ekonomi. Minat melabur dalam kegiatan ekonomi adalah tuntutan yang mesti menjadi satu budaya dalam masyarakat Islam. Mengikut Islam harta yang dimiliki perlu dilaburkan dalam institusi kewangan dan aktiviti ekonomi untuk kepentingan umum. Pelaburan dengan itu jelas merupakan amalan yang perlu diberi perhatian yang rapi oleh umat Islam.
Usaha melabur harta untuk kegiatan ekonomi mampu memberi manfaat oleh seseorang pemilik harta untuk kebajikan masyarakat keseluruhanya melalui pencetusan kegiatan ekonomi. Bagi Islam harta yang dimiliki oleh seseorang itu adalah amanah Allah s.w.t. untuk pemilik tersebut mengguna demi kepentingan dirinya dan masyarakat. Dengan wujudnya institusi Pasaran Saham, ia merupakan salah satu institusi untuk umat Islam melibatkan harta mereka dalam pelaburan semoga lebih banyak dan pembesaran kegiatan ekonomi dapat dibangunkan.
Umat Islam perlu peka dan memahami kepentingan institusi Pasaran Saham. Mereka perlu mendalami dan memahami bagaimana institusi tersebut berperanan dan bagaimana mereka mampu turut serta secara aktif sebagai pelabur. Usaha-usaha mewujudkan amanah saham sebagai institusi untuk menarik masyarakat umum dan berpendapatan rendah dan yang tidak arif dalam kegiatan amalan Pasaran Saham, adalah usaha untuk mengembelengkan harta golongan pendapatan rendah dan sederhana melibatkan diri mereka dengan pelaburan dalam Pasaran Saham.
Amanah Saham adalah satu institusi pelaburan yang membolehkan sesebuah syarikat pengurusan tabungan untuk membuat pelaburan-pelaburan bagi pihak individu-individu dan institusi-institusi. Tanpa kewujudan institusi amanah Saham amalan pelaburan saham secara besar-besaran akan hanya dapat dimanfaatkan oleh institusi-institusi, individu-individu dan keluarga-keluarga yang kaya serta profesional sahaja.
Dengan penyediaan mekanisme untuk masyarakat melabur dan bagaimana pentingnya Islam melihat usaha menabung dan seterusnya melabur, tabungan umat Islam sepatutnya dapat dipertingkatkan demi memperkukuhkan ekonomi umat Islam. Harus juga diberi perhatian bahawa rata-rata individu Muslim di negara ini berpegang teguh dalam pendirian mereka dengan tuntutan agama dalam menjalani kegiatan ekonomi termasuk kegiatan melabur dalam Pasaran Saham.
Islam memiliki prinsip kawalan yang lengkap untuk mengawal semoga kegiatan pelaburan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Bagi Islam mana-mana pelaburan, termasuk pelaburan saham dalam sesebuah syarikat, ia dapat dianggap bersesuaian dengan Islam apabila ciri berikut dipenuhi:
i) Kegiatan aktiviti-aktiviti ekonomi syarikat berkenaan tidak bercanggah dengan Islam.
ii) Sumber pembiayaan pelaburan tidak mengandungi unsur riba.
iii) Tidak wujud unsur perjudian dalam mekanisme kegiatan pelaburan terbabit.
iv) Tidak terdapat unsur manipulasi pasaran atau sifat penindasan yang seterusnya mempengaruhi harga sesuatu saham untuk kepentingan diri atau institusi terbabit.
Tanpa ciri-ciri negatif, pelaburan dalam saham akan menepati peraturan agama. Oleh itu umat Islam perlu melibat dengan aktif dalam pasaran saham demi untuk membangun kekuatan ekonomi ummah.