SENI suara sama ada bunyi-bunyian, muzik dan nyanyian adalah sebahagian daripada budaya hidup manusia. Setiap bangsa mempunyai seni suaranya tersendiri. Pada umumnya seni suara bertujuan mendapat hiburan dan keseronokan.
Al-Quran memberi penjelasan yang teliti mengenai seni suara.
Allah berfirman yang bermaksud : “Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) daripada agama Allah, tanpa pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan. Mereka berhak menerima azab yang hina.” (Surah Lukman, ayat 6)
Kebanyakan ulama tafsir berpendapat bahawa ‘laghwa al-hadith’ ialah nyanyian. Dalam surah al-Isra’ ayat 64, Allah berfirman, yang bermaksud:
“Pujuklah (wahai Iblis) siapa yang engkau mampu di antara mereka dengan menggunakan ajakanmu (sawtika).” Mujahid menjelaskan ‘ajakanmu’ dalam ayat itu bermaksud ‘nyanyian dan serunai.’
Seterusnya, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan penyair-penyair itu diikuti oleh golongan yang sesat.
“Tidaklah kamu perhatikan mereka merayau-rayau di tiap-tiap lembah dan mereka memperkatakan apa yang mereka tidak lakukan kecuali orang yang beriman dan beramal salih, banyak mengingati Allah serta mereka membela diri selepas dizalimi. Dan orang yang zalim akan mengetahui ke tempat mereka akan kembali.” (Surah al-Syu’ara, ayat 224 hingga 227).
Daripada ayat berkenaan, jelas menunjukkan bahawa Allah mengutuk nyanyian yang digunakan untuk menyesatkan manusia daripada agama Allah. Begitu juga syaitan menggunakan media nyanyian dan muzik untuk melalaikan manusia daripada tanggungjawabnya terhadap agama Islam.
Seterusnya, Allah turut mengecam penyair yang tidak beriman dan menjalankan kegiatan hidupnya tanpa matlamat, berusaha menyesatkan orang ramai dan mencari pengaruh dengan menggunakan syairnya.
Namun, penyair yang beriman dan beramal salih serta sentiasa menjalankan tanggungjawab agama dengan baik, tidak termasuk dalam golongan yang dikutuk oleh Allah, disebabkan syair mereka mengajak orang ramai kepada kebaikan.
Selain itu, ada hadis yang menerangkan kedudukan seni suara.
Termizi meriwayatkan daripada Aisyah, katanya Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta palulah rebana.”
Sejarah Islam juga menceritakan kepada kita bagaimana gendang digunakan untuk menaikkan semangat pejuang Islam apabila berada dalam peperangan.
Hadis dan sejarah di atas menjelaskan bahawa nyanyian dan bunyian boleh diadakan dalam majlis perkahwinan. Begitu juga pada hari perayaan dan kebesaran tertentu serta dalam peperangan.
Imam al-Ghazali berpendapat, dalam mendengar nyanyian, ada yang harus dan sunat.
Selain itu, ada pula yang haram. Nyanyian itu haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar orang awam.
Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh Al-Azhar berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu, sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya, adalah keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya.
Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan kedudukannya, maka ia diharuskan.
Apabila membincangkan mengenai seni suara, perkara seperti susunan kata yang haram, kedudukan penyanyi perempuan, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan orang, majlis yang disertai minuman haram dan percampuran lelaki dan perempuan, dan kesan nyanyian kepada pendengar sehingga membawa kepada kelakuan buruk, hendaklah diambil kira.
Selain itu, ada syarat lain yang perlu dipenuhi, iaitu:
Niat. Ia perlu tiada unsur bercanggah dengan akidah, seperti syirik, kufur dan nifak (munafik).
Tidak bercanggah dengan syariat Islam, seperti haram dan syubahat.
Tidak melalaikan kewajipan yang difardukan oleh Allah.
Menutup aurat.
Sentiasa menjaga adab pergaulan.
Tiada unsur perjudian (pertaruhan).
Tidak berlaku pembaziran
Tujuannya juga hendaklah betul, seperti:
Untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan.
Jalan untuk takarub (mendekatkan diri) dan mencapai keredaan Allah.
Menjalin hubungan sesama manusia dan mesra alam.