Semua entiti yang wujud di muka Bumi mempunyai jejaknya yang tersendiri. Sama seperti manusia, kegiatan perniagaan turut meninggalkan kesan yang berkekalan kepada alam. Saat ini, ketika perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar menjadi isu global yang kritikal, kesan aktiviti perniagaan terhadap alam sekitar mendapat perhatian khusus. Apabila kegiatan perniagaan berkembang pesat dan bersifat global, keperluan untuk amalan perniagaan yang mampan menjadi lebih mendesak berbanding sebelum ini. Makalah ini cuba meneroka dan menjelaskan pelbagai tekanan alam sekitar yang berpunca daripada kegiatan perniagaan.
Sumber alam sekitar merupakan salah satu aspek penting dalam menjayakan perniagaan. Setiap perniagaan bergantung kepada sumber semula jadi. Antara sumber alam yang diperlukan ialah bahan mentah seperti air, tanah, tanaman serta sumber asli lain seperti arang batu, petroleum dan sebagainya. Dalam masa yang sama, setiap perniagaan menghasilkan sisa dan alam menjadi tempat untuk sesetengah perniagaan membuang dan merawat sisa peniagaan mereka. Bukan itu sahaja, ada ketikanya, alam ini membantu mengurangkan risiko perniagaan misalnya risiko daripada ancaman bencana. Hutan bakau misalnya, boleh membantu mengurangkan risiko hakisan tanah. Dalam hal ini, alam membantu mengurangkan ancaman yang timbul daripada masalah perubahan iklim. Dengan itu, alam dan sumbernya perlu dipulihara hubungannya dengan kelangsungan sesebuah perniagaan.
Namun, pelbagai kegiatan perniagaan telah memberi tekanan kepada alam ini. Satu penyelidikan bertajuk Carbon Majors (2017) mendapati bahawa 100 syarikat pengeluar bahan api fosil, antaranya ExxonMobil, Shell, BHP Billiton dan Gazprom, dikaitkan dengan 71 peratus pelepasan gas rumah hijau sejak 1988. Kumpulan ini telah menyumbang sebanyak 635 bilion tan gas rumah hijau sejak 1988. Malah kajian ini juga menunjukkan bahawa lebih separuh (52 peratus) daripada semua gas rumah hijau perindustrian global yang dilepaskan sejak permulaan revolusi perindustrian pada 1751, adalah berpunca daripada 100 pengeluar bahan api fosil tadi. Jelas bahawa kegiatan perniagaan sememangnya memberi kesan kepada persekitaran. Di sini, contoh diberikan melibatkan syarikat-syarikat pengeluar bahan api fosil. Namun, jika semua syarikat berbeza kegiatan diambilkira, pastinya pelepasan gas rumah hijau menjadi lebih tinggi .
Terdapat pelbagai kesan kegiatan perniagaan terhadap alam sekitar. Antara kesan yang paling ketara adalah mempercepat kehabisan sumber semula jadi. Hampir semua bentuk perniagaan memerlukan sumber semula jadi. Industri ekstraktif, seperti perlombongan dan pembalakan, sering kali memberikan kesan kepada kemusnahan habitat, dan kehilangan biodiversiti. Selain itu, penggunaan berlebihan sumber seperti air dan bahan api fosil, menimbulkan ancaman serius kepada ekosistem dan menyumbang kepada perubahan iklim.
Aktiviti perniagaan turut menyumbang kepada pencemaran udara, air, tanah dan bunyi. Pelepasan industri, pelupusan sisa yang tidak betul dan pembebasan bahan kimia berbahaya mencemarkan sumber udara dan air. Ini akhirnya menjejaskan kesihatan manusia dan kesejahteraan ekosistem. Syarikat atau perniagaan yang terlibat dengan perindustrian misalnya menggunakan jentera-jentera besar seperti jengkaut dan gergaji rantai yang mengasilkan bunyi bising. Ini menyebabkan pencemaran bunyi. Syarikat yang terlibat dengan industri pembuatan pula, terutamanya yang menggunakan peralatan lama dan menggunakan arang batu sebagai bahan mentah, menghasilkan bahan pencemar bawaan udara seperti zarah boleh-sedut (respirable particle), pelarut sintetik dan organik, sulfur dioksida (SO2) dan nitrogen oksida (NOx). Pencemaran udara merupakan satu ancaman yang bahaya kepada masyarakat kerana boleh menyebabkan pelbagai penyakit pernafasan seperti asma, bronkitis dan sebagainya.
Pencemaran air pula boleh berlaku apabila kegiatan industri melepaskan sisa berbahaya ke alam sekitar. Walaupun tindakan ini boleh menjimatkan kos perniagaan namun sebaliknya masyarakat pula yang terpaksa menerima akibat daripada tindakan itu. Kehadiran bahan kimia berbahaya seperti logam berat boleh mencemarkan bekalan air dan bukan sahaja menjejaskan masyarakat tetapi seluruh flora dan fauna setempat seperti tumbuh-tumbuhan, ikan serta hidupan akuatik yang lain.Proses biomagnifikasi berlaku apabila bahan kimia berbahaya yang itu bergerak ke bahagian paling bawah rantaian makanan. Ini mengakibatkan ikan dan hidupan air lain mati akibat keracunan. Selanjutnya, penduduk setempat turut menerima kesannya apabila memakan ikan atau hidupan air yang tercemar. Isu pencemaran air dan udara yang berlaku di Sungai Kim Kim pada Mac 2019 seharusnya menjadi pengajaran kepada kita semua.
Berdasarkan beberapa kesan terpilih kegiatan perniagaan terhadap alam sekitar, maka jelas bahawa semua kegiatan perniagaan yang memberi tekanan kepada persekitaran perlulah ditangani. Menangani isu alam sekitar adalah tanggungjawab kritikal bagi syarikat di dunia hari ini. Syarikat boleh menangani isu alam sekitar melalui pelbagai strategi dan inisiatif yang mengutamakan kelestarian alam sekitar, mengutamakan amalan bertanggungjawab dan memacu perubahan positif. Antaranya, menjalankan penilaian kesan alam sekitar. Penilaian ini membantu syarikat memahami kesan persekitaran daripada operasi, produk dan perkhidmatan mereka. Dengan mengenal pasti dan menilai kesan alam sekitar, perniagaan boleh mengurangkan kesan negatif dan mengoptimumkan penggunaan sumber.
Satu lagi aspek penting ialah melaksanakan strategi pengurusan sisa yang berkesan. Syarikat boleh melaksanakan program kitar semula, mengurangkan sisa pembungkusan, dan menggalakkan penggunaan semula bahan (reuse). Dengan mengutamakan prinsip ekonomi kitaran (circular economy), perniagaan boleh meminimakan pembaziran dan memaksimumkan kecekapan sumber. Hal ini termasuk mereka bentuk produk dengan ketahanan yang tinggi, boleh dikitar semula serta menggabungkan amalan pelupusan sisa yang bertanggungjawab. Perniagaan mesti menggunakan kaedah pengeluaran yang lebih bersih dan melabur dalam teknologi demi mengurangkan kesan negatif kepada alam.
Hakikatnya, sesebuah perniagaan melakukan usaha yang baik untuk menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk dinikmati orang ramai. Namun, dalam masa yang sama aktiviti itu telah menyumbang, secara besar-besaran, kepada pencemaran alam sekitar. Oleh itu, setiap syarikat perlu berpegang kepada etika perniagaan dan moral yang tinggi dalam segala aspek dan kegiatannya demi memastikan alam ini terpulihara.
Bagi pengusaha Muslim, mereka mempunyai kelebihan kerana Islam menyediakan pelbagai panduan melaksanakan urusan perniagaannya. Panduan ini meliputi perniagaan bersandarkan kepada syariah, beretika, perkongsian keuntungan, adil dalam urusniaga, memastikan kemampanan alam sekitar dan sebagainya. Hakikatnya, setiap Muslim digalakkan untuk memperolehi harta sebanyak mungkin namun mestilah melalui cara yang halal dan usaha tersebut hendaklah tidak membawa kerosakan kepada diri, masyarakat mahupun alam ini.