Dalam menuju ke arah mencapai taraf sebagai sebuah negara maju, Malaysia perlu melalui proses pengukuhan beberapa elemen penting yang mendasari identiti dan pembinaan negara ini. Antara elemen-elemen ini adalah kepelbagaian dan kemajmukan masyarakat yang menjadi aset penting kepada Malaysia. Sebagai sebuah negara yang melalui pelbagai latar belakang sejarah, negara ini juga berhadapan dengan cabaran-cabaran dalam proses mencapai kestabilan dan kemajuan. Acapakali kita diperingatkan untuk senantiasa mensyukuri dan menghargai kelebihan yang ada pada Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk pelbagai agama, kaum dan budaya. Acuan sosial yang sebegini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik dan tersendiri dengan adat resam dan tradisi masyarakatnya. Pemimpin dari segenap lapisan masyarakat juga dilihat berterusan menyaran agar setiap individu warganegara menilai kepelbagaian masyarakat Malaysia sebagai satu aset penting yang harus dilindungi dan dipertahankan supaya negara kekal utuh dan stabil.
Namun begitu, sebagai pemimpin, perlu juga ada satu bentuk pemahaman tentang peranan sebenar yang perlu dimainkan dalam mencapai keharmonian dan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk ini. Para pemimpin sebenarmya harus memahami bahawa mereka memainkan peranan utama dalam usaha memperkukuhkan negara. Peranan ini sering dilupakan dan dipinggirkan oleh individu-individu yang menggunakan kuasa sebagai pemimpin masyarakat atau politik untuk tujuan peribadi semata-mata. Kuasa atau pangkat yang diperolehi hanya dijadikan batu loncatan untuk memperjuangkan agenda peribadi yang lebih besar tanpa menyedari bahawa sebagai pemimpin, amanah yang dipikul adalah amat berat. Sehubungan dengan itu, adalah amat mustahak untuk memahami maksud sebenar kepemimpinan dan peranan yang perlu dimainkan oleh para pemimpin dalam memupuk keharmonian dan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Pemimpin bukan hanya sekadar individu yang boleh mempengaruhi orang lain, tetapi harus juga mempunyai kejituan ilmu pengetahuan yang akan dapat membantu beliau untuk mengutarakan penyelesaian kepada masalah. Dari perspektif Islam, kepimpinan haruslah bertunjangkan kepada kerangka tauhid iaitu keEsaan kepada Allah SWT dan penyerahan kepada keKuasaanNya. Pemimpin yang sebenar akan menggunakan kuasa dan pangkat yang diamanahkan kepadanya untuk memperkukuhkan sahsiah, akhlak dan agamanya. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan Kami jadikan di kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat Kami.” (Surah Al-Sajdah, Ayat 24).
Corak kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sewaktu memimpin masyarakat pelbagai bangsa dan agama di Madinah juga pelu diikuti dan dijadikan contoh yang terbaik bagi pemimpin hari ini. Kepimpinan Rasulullah SAW yang didasari dengan sifat hormat-menghormati dan kasih sayang menjadikan Baginda SAW dan agama Islam itu sendiri dipandang mulia di mata masyarakat majmuk Madinah ketika itu.
Para pemimpin yang ada di Malaysia hari ini harus sedar bahawa kebolehan mereka untuk menyatukan masyarakat dalam negara ini adalah amat penting bagi tujuan mencapai matlamat sebagai sebuah negara yang maju dan berjaya. Pemimpin politik terutamanya harus mempunyai kesedaran bahawa mereka telah diberi kepercayaan dan diamanahkan oleh rakyat melalui proses demokrasi untuk memacu negara ini ke arah kemajuan dan masa depan yang gemilang. Peluang dan kepercayaan ini perlu disambut dengan semangat yang tinggi dan penuh integriti. Mereka perlu menyedari bahawa mereka telah diberi peluang dan kuasa untuk memangkin perubahan positif kepada negara dan harus menunjukkan daya kecekapan dan kebolehan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Pemimpin perlu sedar bahawa dalam menyusuri arus kemodenan dunia hari ini, peranan pemimpin bukan hanya sebagai wakil kepada kelompok-kelompok dalam masyarakat semata-mata. Dinamika kepimpinan hari ini memerlukan pemimpin yang berani dan juga yang mampu membentuk pemikiran dan jati diri masyarakat. Peranan sebegini bukan hanya diletakkan di atas bahu pemimpin-pemimpin politik sahaja, tetapi juga perlu dimainkan oleh pemimpin segenap lapisan masyarakat seperti pemimpin agama dan pemimpin komuniti.
Dalam usaha mencapai perpaduan dalam negara, pemimpin perlu menjadi contoh terbaik. Apabila berbicara tentang perpaduan dan mengangkat slogan keharmonian kepada masyarakat, para pemimpin harus benar-benar ikhlas. Rakyat perlu melihat bahawa segala usaha yang digerakkan untuk menyatupadukan masyarakat dalam negara ini adalah bertujuan untuk mencapai matlamat perpaduan yang sebenar dan bukan bersifat retorik semata-mata. Para pemimpin juga harus menyedari bahawa ada di kalangan pengikut yang mengambil isyarat dari pemimpin-pemimpin mereka tentang tindakan yang perlu mereka ambil. Jika tindakan yang diteladani itu merosakkan, ini akan menyerlahkan kelemahan pemimpin itu sendiri. Justeru, para pemimpin perlu mempamerkan contoh tindakan yang terbaik demi memelihara kestabilan dan kehamonian dalam masyarakat.Segala bentuk ancaman dan cabaran kepada usaha perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam negara ini juga harus diuruskan dengan baik agar penyelesaian yang dicapai adalah bersifat jangka panjang.
Secara keseluruhan, adalah penting untuk kita memahami bahawa perpaduan dan keharmonian bagi negara ini akan dapat dicapai dan terus dikekalkan selagi mana semua pihak memainkan peranan masing-masing secara lebih efektif. Masyarakat secara amnya harus berusaha menzahirkan nilai-nilai murni dalam hidup bersama seperti saling hormat-menghormati dan bertolak-ansur. Bagi para pemimpin pula, harus diingatkan bahawa kepimpinan adalah melalui teladan. Pemimpin perlu meletakkan kejayaan, kemanan dan keutuhan negara mengatasi sebarang agenda peribadi. Diharapkan dengan matlamat yang sama dan kerjasama yang baik di antara kelompok pemimpin dan mereka yang dipimpin, Malaysia akan menjadi contoh terbaik sebagai sebuah negara yang maju dan berdaya saing beridentitikan kemajmukan masyarakatnya yang berbilang agama, kaum, budaya dan tradisi.