Ayat 1 dan 2 dalam surah al-Takathur meninggalkan kesan mendalam kepada mufassirin yang merenung kebudayaan moden. Diturunkan awal waktu risalah Nabi SAW di Mekah, dua ayat surah ke-102 al-Qur’an tersebut amat tajam tilikannya terhadap punca kelalaian manusia sepanjang sejarahnya. Terakam tentang “perbuatan berlumba-lumba untuk meraih dengan sebanyak-banyaknya” harta-benda, pangkat, pengikut, kuasa dan pengaruh. Serta bermegah-megahan dan berbangga-bangga tentang kejayaan memperolehnya serentak dengan melalaikan agama, amal kebaktian, dan ketaatan kepada Allah.
Menurut Leopold Weiss—yang lebih masyhur dengan nama Islamnya Muhammad Asad—ayat tersebut mengupas “secara umum tentang kerakusan manusia yang tak terbatas, dan lebih khusus lagi, kecenderungan yang telah menguasai seluruh masyarakat manusia dalam zaman teknologi kini.”
Akibatnya berlakulah pencemaran udara, air dan tanah yang merentas negara akibat sisa industri dan bandar moden; keracunan berterusan tumbuh-tumbuhan dan hidupan laut; malformasi atau pencanggaan genetik akibat peluasan ubat, opioid dan bahan kimia yang digunakan; tangkapan ikan yang melampaui batasan; dan kepupusan beransur-ansur pelbagai flora dan fauna yang diperlukan untuk kesejahteraan manusia.
Bahkan ke arah menyelesaikan kemelut cuaca dan hawa, satu Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dianjurkan pada 31 Oktober – 12 November 2021. Ia menjadi lambang bahawa pembangunan tanpa kelestarian pasti merosakkan ekologi alam, lantas menghala kepada mala petaka ngeri dunia. Tunjuk perasaan dan protes sewaktu Persidangan tersebut mengkritik kefasadan dalam ekonomi, politik dan cara hidup antara bangsa.
Kegawatan bertambah dengan kemerosotan keserasian sosial dan keluarga, merebaknya sumbaleweng seks (LGBT), keganasan-negara (state terrorism), jenayah kekerasan dan peperangan. Semua ini akibat keteledoran terhadap Tuhan dan nilai-nilai mutlak akhlak. Memetik Leopold Weiss: kemajuan dan cara hidup sekular dan materialistik semata-mata akan mencipta “neraka di bumi.”
Charles Van Doren, dalam karyanya The Idea of Progress, menghuraikan bahawa sejak lima ratus tahun lepas, Kemajuan (Progress) merupakan ideologi terpenting di Barat. Menurut analisa John Baillie, Carl Becker, dan ramai lagi sarjana, idea Kemajuan telah menggantikan idea Kristianiti (Christianity) amnya, dan idea “Harapan terhadap Janji Tuhan” (Hope to the fulfilment of Divine Promise) khasnya. Kemajuan atau Progress telah menjadi harapan dan cita-cita tertinggi bangsa-bangsa.
Dalam karyanya The Origin of the Family, Private Property, and the State, faylasuf dan pedagang Jerman, Friedrich Engels merakamkan renungannya tentang sejarah manusia: “Dari hari pertama sampai sekarang, tamak haloba memandu kebudayaan; harta—lagi dan lagi dan lagi—menjadi satu-satunya tujuan dan matlamat. Harta bukan untuk manfaat masyarakat, tetapi harta untuk seseorang individu yang tercela (scurvy).”
Dalam pandangan alam sekularisasi, perjuangan hidup adalah untuk makin bersedap-sedap dan berlipur-lara dengan produk material, untuk menguasai orang lain yang daif, mengeksploit alam tabii, dan mengembangkan teknologi agar sentiasa bergerak tanpa henti.
Ideologi kemajuan yang bercirikan material semata-mata berniat menafikan wawasan rohaniah. Megalomania menyebabkan insan tiada masa dan peluang untuk menuntut urusan hidup yang lebih luhur. Ia memonopoli perhatian dan menghambat manusia daripada menerima batasan moral terhadap apa yang konon dianggapnya “Kebebasan” dan “Kejayaan”.
Inilah puncanya mengapa sekularisasi mencurigai agama, dan menolak untuk tunduk kepada perintah moral yang mutlak. Untuk mengejar kejayaan dan kekuasaan material lagi dan lagi, minda sekular tetap membantah pertimbangan agama dan piawai akhlak. Sebaliknya, agama dan adab dianggap menghalang “pembangunan” dan “kemajuan”. Agama dihitung sebagai candu masyarakat.
Kebebasan tak berbatas dan pembangunan tanpa roh membolehkan masyarakat sekular mencapai keselesaan luaran, kedudukan kuat ketenteraan dan kekuasaan lunak(positions of strength and soft power). Teladan dan persaingan mereka dalam kemajuan dilakarkan sebagai model pembangunan. Tumpuan mereka terfokus kepada pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengalpakan Kesejahteraan Menyeluruh (General Well Being). Masyarakat sedemikian beransur-ansur kehilangan kemantapan rohaniah dan kebahagiaan seimbang.
Bercanggah dengan model sekular, semua tradisi agama menuntut bahawa kehidupan bermasyarakat perlu tunduk kepada prinsip dan batas etika yang jelas. Akhlak dan adab berfungsi seperti brek yang menahan ketamakan dan kerakusan kuasa. Pertimbangan moral dan batasan agama akan membebaskan masyarakat daripada kemusnahan, bahkan menyuburkan kelestarian dan pembangunan sosio-ekonomi mampan.
Islam diasaskan kepada kemajuan yang sejahtera — atau “salam” — daripada akar kata sama S-L-M. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Seseorang tidak ditetapkan sebagai muslim hingga manusia sejahtera daripada (kejahatan kuasa) tangan dan lisannya. Seseorang tidak meraih tahap mukmin hinggalah jirannya sejahtera daripada kebobrokannya.” Bahkan seruan istilah “salam” muncul lebih empat puluh kali dalam al-Qur’an dan menjadi piawai sapaan orang Islam — atau assalamu‘alaykum.
Istilah “Salam” tepat mencerminkan keseluruhan “keafiatan” dan “kesihatan” badan dan akal; “ketulusan” dan “kejujuran” kalbu; “keredhaan” dan “kepuasan” hati; “keselamatan” dari bahaya; “kebebasan” dari aib; “keamanan” dan “kedamaian” dalaman; “ketenangan” dan “ketenteraman” dari peperangan; serta “kehormatan” di dunia dan Akhirat.
Lebih daripada tahap peribadi persis yang biasa difahami, konsep “salam” merangkum zahir dan batin yang sejahtera dari segala jenis kebejatan dan fasad. “Salam” mencakup kemajuan rohaniah dan kebebasan sebenar — merdeka dari pertikaian dan keresahan. Asasnya ilmu yang betul dan bermanfaat, amal yang salih yakni adab, dan kebaktian pada kehidupan seluruhnya.
“Salam” ialah berdamai dengan Tuhan, dan Ciptaan-Nya persekitaran serta insan.