Serangan panik suasana ekonomi sekarang membingungkan dan sukar dijangkakan. Kemunasabahan membuat pilihan merupakan perkara penting dalam kehidupan manusia bermuamalah. Memilih dan mengambil tindakan memerlukan kadar pertimbangan yang tinggi terutama dalam perkara melibatkan perkara besar melanda negara dalam persoalan kenaikan harga. Dengan memahami kedudukan harga pasaran minyak dunia, memang tidak dapat dinafikan bahawa kenaikan terpaksa ditelan walaupun pahit. Persoalannya, di mana halatuju kita dalam mengatasi permasalahan ini.
Kejutan kenaikan harga memberi kesan menyakitkan kepada masyarakat dan negara. Nilai Ringgit yang diapungkan dan nilai tunai yang berada di tangan semakin menyusut. Kebijaksanaan dalam berbelanja menjadi satu keperluan bukan lagi kelebihan. Wang dibelanjakan oleh seseorang samada untuk labur atau lebur, amat penting ditentukan sebelum sesuatu perbelanjaan dibuat. Kemerosotan nilai tunai dan tabungan secara tidak langsung telah menjejaskan kuasa beli dan taraf hidup rakyat. Akibat dari terjejasnya kemampuan dan sikap berhati-hati berbelanja menyebabkan ekonomi mengalami kelembapan dan boleh jadi membawa kepada kesan kemerosotan sekiranya tidak ditangani dengan bijak.
Walaupun Malaysia pengeluar minyak, Malaysia tidak boleh mengawal harga minyak kerana terdedah kepada urusan jualan di pasaran minyak antarabangsa dan kaedah agihan kepenggunaan hasil minyak yang diamalkan. Sejak beberapa tahun lepas, harga minyak mengalami kenaikan sebanyak 400 peratus. Kenaikan yang pada asasnya boleh dijangkakan ini serta kedudukan negara sebagai pengimport barang-barang dalam Dollar Amerika tidak wajar mengambil risiko mengapungkan Ringgit. Kepekaan kepada keupayaan Ringgit dan pengajaran kemerosotan ekonomi pada tahun 1997 perlu dipertimbagkan. Kita akan mengalami masalah dalam urusan import eksport akibat dari tindakan ini berbanding membuat tambatan ringgit sebelumnya. Tambahan pula dengan pendapatan per kapita Malaysia yang lebih rendah berbanding negara Eropah dan Amerika Syarikat, tempiasan kenaikan harga minyak secara mendadak dengan kadar yang tertinggi kepada ekonomi dalaman negara makin memburukkan keadaan.
Secara kasar kita lihat, kenaikan harga minyak yang berlaku secara mendadak dengan kadar yang begitu tinggi umpama bendungan yang pecah secara mengejut dan memberi limpahan dua kesan langsung iaitu suasana ekonomi menjadi panik dan manusia bertindak secara mengejut serta memberi kesan langsung yang lebih buruk berbanding sekiranya kenaikan itu dikawal dan berperingkat-peringkat.
Kuasa beli pengguna dengan pendapatan sedia ada akan merosot. Kenaikan menyeluruh barangan mengakibatkan kadar inflasi melanda negara. Pertumbuhan ekonomi akan terjejas. Projek-projek pembangunan sedia ada perlu dinilai semula dan kos sedia ada akan meningkat. Penyedia perkhidmatan dan barangan akan menaikkan harga bagi mengimbangi kenaikan harga bahan. Harga bahan mentah perusahaan pemakanan yang dihadapi pengusaha, perusahaan pembangunan seperti besi dan simen yang mengalami ketidaktentuan kebelakangan ini juga akan memberi kesan langsung terhadap ekonomi negara. Kos langsung dan tidak langsung akibat dari kenaikan ini akhirnya dipindahkan kepada pengguna kerana resmi faham kepenggunaan yang diamalkan dalam masyarakat sudah sebegitu sejak dari dulu lagi. Kemampuan mempertahankan taraf hidup sedia ada menjadi persoalan. Kesan iktisadi, kemasyarakatan dan siasah akhirnya mengubah negara kepada bentuk baru. Walaupun beberapa langkah diambil oleh pihak berkuasa, namun tindakan ini tidak mampu menghilangkan terus kesan kenaikan ini.
Lebih banyak perkara-perkara luar biasa perlu difikirkan untuk menghadapi masalah ini di semua peringkat bukan sekadar perlu bijak berbelanja tetapi meningkatkan keupayaan teknologi sedia ada. Lenggok lama budaya kerja dan pentadbiran perniagaan tidak lagi berkesan. Faham makan gaji bagi sesetengah sektor perlu terarah kepada faham keusahawanan. Seseorang pekerja perlu memikirkan bahawa mereka adalah penyedia perkhidmatan kepada majikan dengan mempertaruhkan seluruh kemampuan diri untuk memberi perkhidmatan terbaik. Dengan cara ini, kemampuan pengeluaran terkumpul setiap perseorangan dalam sesebuah badan akan lebih menjuruskan kepada penyediaan perkhidmatan atau barangan dengan lebih berkesan. Peluang pekerjaan kepada siswazah atau tenaga kerja baru mungkin menjadi perbincangan dalam masa terdekat kerana tindakan mengawal perbelanjaan dengan menghadkan pengambilan pekerja. Cetusan baru perlu difikirkan bagi menampung lambakan serta bendungan kemasukan.
Perusahaan pembangunan teknologi perlu diberi tumpuan terutamanya teknologi yang melibatkan penggunaan bahan api. Sumber-sumber tenaga gantian perlu difikirkan di peringkat penggunaan, bukan sekadar teori. Sekiranya kita mampu mengeluarkan jentera yang menggunakan bahan gantian, usaha bukan sahaja perlu membuktikan ia boleh digunapakai tetapi membawa faedah kepada masyarakat. Oleh itu, sekiranya terdapat saintis yang mempunyai kemampuan dan berdaya maju, unsur-unsur seperti perbezaan fahaman perlu diketepikan demi kemaslahatan bersama.
Bagi pengguna pula, penjenisan perbelanjaan yang cenderung lebur seperti perbelanjaan berdasarkan kemahuan semasa semata-mata hendaklah dikurangkan manakala tumpuan perbelanjaan yang berbentuk labur seiring dengan keperluan perlu dititikberatkan. Oleh kerana kemahiran pengurusan kewangan dan faham keusahawanan dalam setiap bidang menjadi keperluan, badan-badan berkenaan perlu menganjurkan usaha peningkatan kemahiran secara dalaman atau mengunakan kepakaran luar. Perkara ini penting terutamanya bagi memastikan semangat warga kerja badan tersebut dapat dikekalkan atau dipertingkatkan. Bukanlah mustahil kesan tekanan kewangan boleh menjejaskan semangat kerja dan kesihatan. Penyakit seperti gangguan mental akibat tekanan ekonomi seperti yang berlaku dalam masyarakat Jepun, Amerika Syarikat dan sebagainya diharap tidak melanda negara.
Halatuju negara perlu dilihat dari sudut pandangan kemaslahatan syariah dengan mengembalikan norma sejagat sebagai aturan nilai baru berbanding kebergantungan mutlak kepada nilai kebendaan. Masyarakat dan kerajaan perlu berjanji kepada diri sendiri bahawa akan mengangkat nilai murni sebagai landasan dalam membuat pertimbangan ekonomi mengatasi nilai-nilai lain sebagai satu yang luar biasa dalam usaha memulihkan keadaan semasa. Kealpaan dari berubah secara mendadak yang didesak oleh keadaan yang dihadapi bakal memburukkan lagi suasana sedia ada.