Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan adalah makhluk yang kufur kepada Tuhan-Nya.” (Surah al-Israa’, ayat 26-27)
Ayat tersebut menjelaskan kepada kita bahawa jangan sesekali membelanjakan harta secara membazir atau boros kepada sesuatu jalan yang tidak membawa faedah apatah lagi hal yang melibatkan hutang-piutang.
Dalam Islam, kita disarankan supaya menghindari diri daripada berhutang sedaya mungkin. Sehinggakan di dalam al-Quran ayat yang paling panjang berkenaan dengan hutang disebutkan di dalam surah al-Baqarah ayat 282, yang menggambarkan hutang adalah perkara yang sangat penting dan tidak boleh dipandang remeh.
Malangnya ada segelintir umat Islam terutama golongan muda suka berhutang untuk bermewah-mewah. Mereka begitu terpengaruh dengan gaya hidup rakan-rakan sehinggakan sanggup berhabis-habisan demi menjaga reputasi diri dengan membeli pakaian yang berjenama mahal, gajet terbaru di pasaran, kasut berjenama dan sebagainya. Disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup ini, mereka tidak tahu bagaimana untuk menguruskan perbelanjaan dengan teratur sehingga menyebabkan kredit berlaku berterusan.
Didapati sikap mementingkan jenama dalam kalangan golongan muda ini turut menyebabkan mereka tidak memperdulikan soal kemampuan dalam perbelanjaan. Lazimnya gaji yang diterima setiap bulan habis begitu sahaja tanpa mengetahui ke manakah wang yang telah dibelanjakan. Apabila dicongak selepas bayaran ansuran kereta, rumah dan insurans kesihatan, bil air, bil elektrik dan sebagainya ia habis begitu sahaja tanpa sempat untuk membuat penyimpanan.
Melihat kepada perbelanjaan mereka setiap bulan, timbul persoalan adakah mereka ini telah mula merancang perbelanjaan ataupun mungkin tidak merancang apa-apa sekadar berbelanja sahaja mengikut kehendak hati?
Keadaan yang membimbangkan ini berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat, berbelanja terhadap barangan yang tidak perlu dan pengaruh rakan sehingga mendorong mereka berbelanja lebih daripada sepatutnya. Dalam menguruskan kehidupan ini, sebenarnya bukanlah mereka ini tidak dibenarkan meminjam langsung. Cuma adalah dinasihatkan meminjam secara berhemat.
Sebagai contoh, lazimnya pembelian kereta dilakukan secara berhutang. Semasa menentukan ansuran bulanan sewa beli kereta itu, perlulah mengambil kira kos tambahan yang akan ditanggung secara berkala iaitu dari segi perbelanjaan untuk minyak, tol, kos penyelenggaraan dan sebagainya. Pengetahuan berhubung soal pinjaman ini perlulah dititikberatkan agar dapat mengelak diri daripada berhutang dalam tempoh yang panjang di samping dapat mengelak daripada membuat pinjaman melebihi daripada kemampuan atau gaji bulanan.
Gaya hidup di luar kemampuan sering menjadi punca utama masalah kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan golongan muda ini. Hal tersebut membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan. Begitu juga terdapat segelintir golongan muda yang baru memulakan pekerjaan menghadapi masalah untuk menyimpan wang. Ini disebabkan mereka di antara golongan muda yang dikenalpasti antara golongan yang boros berbelanja jauh daripada kemampuan kewangan mereka sebenar. Malah ada juga yang suka membuat hutang baru padahal hutang yang lama belum habis diselesaikan. Manakala terdapat segelintirnya juga berhutang semata-mata untuk mendapatkan modal perniagaan skim cepat kaya, yang akhirnya memakan diri sendiri.
Walau bagaimanapun tidak dinafikan kos sara hidup yang meningkat saban tahun turut menyumbang kepada masalah pengurusan wang golongan muda. Ia ditambah dengan gaya hidup yang tidak selari dengan pendapatan.
Namun begitu, ia sebenarnya berbalik kepada individu itu sendiri. Mereka seharusnya mengetahui cara pengurusan wang dengan baik dan bijak. Langkah yang salah dalam perkara ini menjerumuskan ramai golongan muda dalam perangkap muflis. Justeru, golongan muda perlu mengukur baju di badan sendiri ketika berbelanja dan menguruskan kewangan untuk mengelak daripada terjerumus dalam hutang yang serius.
Menurut satu kajian mendapati ukuran subjektif sebagai petunjuk aras seseorang berada di tahap hutang yang serius ialah yang pertama, individu yang berbelanja lebih daripada 25 peratus daripada pendapatan kasar bulanan ke atas bayaran balik pinjaman. Kedua, individu yang menggunakan 50 peratus daripada pendapatan kasar bulanannya untuk membayar balik jumlah pinjamannya. Ketiga individu yang mempunyai lebih empat jenis hutang; dan keempat individu yang mempunyai tunggakan melebihi tiga bulan terhadap komitmen hutang. Melihat kepada situasi ini boleh dikatakan sebahagian besar golongan muda mempunyai sekurang-kurang salah satu ciri yang dinyatakan di atas.
Oleh itu, sebagai langkah awal perlu diberi perhatian oleh semua individu supaya dapat meningkatkan dari segi ilmu kewangan . Ini penting supaya mereka tahu dan sedar bila dan berapa banyak wang yang patut dibelanjakan, disimpan atau dilaburkan. Buat permulaan mungkin ia agak sukar untuk dilakukan. Walau bagaimanapun, dengan sedikit pendedahan dan ilmu kewangan yang ada pasti ia bakal merubah matlamat untuk menukar tabiat boros kepada tabiat menyimpan.
Pengurusan kewangan juga perlu diterapkan dalam pendidikan sejak awal lagi di peringkat sekolah. Silibus di sekolah dilihat kurang menyentuh tentang kefahaman pengurusan kewangan yang betul. Kefahaman pengurusan kewangan yang betul seharusnya menggambarkan perkara yang ingin dikecapi dengan wang yang ada dalam tempoh jangka masa tertentu.
Penetapan matlamat ini akan membantu memahami nilai sebenar wang dan menggalakkan berbelanja dengan lebih bijak. Jika dahulu mereka yang mendapat gaji bulanan memperuntukkan untuk membayar bil-bil, membeli barang dan sebagainya mulai sekarang mulakan menyimpan wang untuk diri sendiri atau keluarga terlebih dahulu. Tidak kiralah dalam jumlah besar atau kecil yang paling penting menyimpannnya secara konsisten, lebih banyak lebih bagus dan boleh menambahkan jumlah simpanan pada tahun-tahun akan datang.
Bajet juga perlu ditulis dan dipatuhi. Apa gunanya membuat bajet yang cantik di atas kertas tetapi tidak mengikutinya apabila membuat perbelanjaan. Oleh itu, sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar diamalkan bagi mengelak sebarang pembaziran dan perlulah membeli barang mengikut keperluan bukan mengikut nafsu.
Seterusnya ketika berbelanja penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama-kelamaan akan mengalami masalah hutang kredit yang tinggi. Justeru, individu wajar berpegang kepada peribahasa beringat sebelum terkena, berjimatlah sebelum habis!
Dalam Islam sering disebut amalan berhutang akan menjadi kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari. Rasulullah SAW sendiri sering memohon kepada Allah SWT untuk berlindung dari berhutang. Oleh itu, perubahan kepada gaya hidup ini perlu disemai dalam jiwa semua golongan muda, bukan sekadar menghadiri kemahiran pengurusan kewangan melalui bengkel atau seminar tetapi disiplin diri adalah wajar ditanam dalam diri setiap individu untuk terus menyimpan wang gaji bulanan secara istiqamah sebelum dibelanjakan.