Mengapa agaknya belia Muslim sekarang agak luntur pegangan agamanya dan menganggap agama Islam itu terpisah dari kehidupan seharian? Mengapakah agama Islam itu dilihat sebagai membebankan dan hanya menyusahkan mereka? Sebaliknya mereka lebih gemar meniru budaya luar terutama budaya barat yang mereka anggap moden dan terkini.
Salah satu sebabnya adalah mungkin kerana anak-anak muda ini merasakan kehidupan menurut pandangan Islam itu terlalu mengongkong dan menyekat kebebasan mereka. Gambaran yang mereka dapati tentang kehidupan Islam dalam bentuk ceramah, syarahan agama dan buku-buku, mahupun brosur dan risalah amatlah membosankan dan tidak menarik sama sekali. Mereka merasakan apa yang diperkatakan dalam syarahan atau ceramah adalah kebanyakannya dalam bentuk larangan-larangan termasuk cara berpakaian, pemakanan, persekitaran serta balasan terhadap perbuatan-perbuatan yang melanggar agama.
Namun hakikatnya agama Islam itu bukan setakat peraturan mahupun larangan, malahan perkara yang dibolehkan sebenarnya lebih banyak dari yang diharamkan. Perkara inilah yang sepatutnya ditekankan oleh para cendekiawan Islam dan ulama, dan bukannya menakut-nakutkan belia Islam.
Golongan muda mudah terpengaruh dengan persekitaran mereka. Namun kita tidak boleh menyalahkan budaya-budaya luar yang meresap masuk de dalam negara ini semata-mata. Sesungguhnya dunia pada hari ini telah menjadi tanpa sempadan dengan kemajuan sains dan teknologi. Sebaliknya apa yang boleh kita lakukan adalah memberikan penjelasan dan kefahaman sebenar tentang agama Islam agar umat Islam tidak tergelincir dalam kehidupan.
Ilmu Islam harus diajar sedemikian rupa agar ia tidak kelihatan ‘kolot’ oleh anak muda. Terangkan pada mereka jika mereka suka berfesyen, mereka boleh teruskan asalkan menutup aurat dan fahamkan pengertian aurat itu bagi lelaki dan perempuan. Terangkan juga agama Islam tidak melarang berkawan antara lelaki dan perempuan namun hendaklah dijaga batas-batas pergaulannya contohnya tidak boleh berdua-duan dengan yang bukan muhrim mahupun bersentuh-sentuhan.
Dari situ mereka akan faham bahawa agama Islam tidak melarang sama sekali apa yang mereka gemar lakukan, namun terdapat peraturan-peraturan yang mesti dikuti. Ini adalah kerana agama Islam itu sendiri adalah agama fitrah. Fitrah manusia sukakan keindahan dan kecantikan , kehidupan yang selesa di dunia, harta kekayaan, kenderaan mewah, perhiasan dan berpasang-pasangan.
Golongan cendekiawan Muslim juga diharap tidak mengutuk Barat dan sebarang budaya yang diluar agama Islam sewenang-wenangnya. Kita hendaklah membezakan antara perkara-perkara yang baik untuk dikuti dan yang patut dijauhi. Contohnya di Barat mereka amat menghormati masa, dan sebarang temujanji mahupun mesyuarat akan berjalan mengikut waktu yang ditetapkan. Tiada istilah ‘janji Melayu’ yang terdapat disini di mana terlambat lima hingga sepuluh minit menghadiri sebarang temujanji dikira perkara biasa. Satu lagi yang patut dicontohi di Barat adalah budaya bertegur sapa dan mesra serta mengambil berat dan bertanya khabar walaupun pada mereka yang tidak dikenali. Mereka juga amat mengambil berat untuk mengucapkan perkataan tolong dan terima kasih serta menjaga kebersihan dengan tidak suka membuang sampah merata-rata.
Perkara-perkara seperti ini tidak salah diikuti, kerana ia adalah juga selari dengan kehendak agama kita. Namun, perkara-perkara lain dalam budaya Barat seperti kebebasan individu yang mutlak, bersedudukan, kehidupan yang berasaskan nafsu syahwat semata-mata sehinggakan yang telah berkahwin pun masih bebas memuaskan nafsu dengan orang lain jika ada peluang. Inilah yang kita mesti elakkan kerana ia bertentangan sama sekali dengan agama kita. Allah telah menetapkan institusi perkahwinan itu sebagai suatu saluran kepada nafsu syahwat manusia dan zina dilarang kerana ia akan merosakkan keutuhan kemanusiaan itu sendiri.
Cabaran agar ajaran agama Islam dapat disampaikan kepada semua lebih penting di masa sekarang di mana anak muda kita ramai yang sudah terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti merempit, menghisap ganja, maksiat, juga murtad . Mereka ini seolah-olah hanyut di dunia mereka sendiri tanpa memperdulikan batasan-batasan agama. Kita tidak boleh menyalahkan mereka seratus peratus.
Cuba kita perhatikan cara penyampaian kelas-kelas agama dan khutbah, masih dengan cara yang sama dua puluh tahun yang lalu tanpa ada pembaharuan mahupun mengikuti perkembangan semasa. Menjadi gambaran biasa melihat ada yang tertidur semasa kuliah agama. Berbeza dengan paderi-paderi Kristian, mereka memberi ceramah atau khutbah dengan cara yang terancang sehingga orang yakin akan kata-kata mereka. Paderi-paderi juga dikhabarkan menunggu kedatangan hadirin di pintu gereja seperti menghormati tetamu. Selesai majlis, mereka tunggu di pintu gereja dan mengucapkan selamat. Mereka suka bertanya khabar dan suka ambil tahu dan sering tawarkan pertolongan.
Adakah kita juga melakukan sedemikian di masjid-masjid? Saya yakin ramai orang terutama golongan muda yang akan dapat ditarik ke masjid jika kita melakukan sedemikian. Khutbah-khutbah kita juga seringkali tidak mampu menarik perhatian ramai. Para cendekiawan Islam dan golongan ulama juga disaran turun padang bersama-sama membantu masyarakat. Berbagai acara perlu dirancang untuk mendekatkan masyarakat dengan kegiatan bercorak Islam. Dengan cara itu golongan muda akan melihat para cendekiawan Muslim sebagai orang yang mudah didekati dan bukan hanya sekadar memberi syarahan di masjid-masjid. Diharap dengan cara ini mereka akan lebih terbuka untuk berkongsi fikiran atau sebarang kemusyiklan dan permasalahan mereka.
Jika dilihat sekarang bermacam-macam bencana alam yang berlaku di sekeliling kita. Cuaca dunia telah menjadi semakin tidak menentu. Apabila maksiat dan ‘gejala sosial’ tidak terbendung dan kerakusan manusia mencemar alam semulajadi, maka akan datang bala Allah seperti banjir besar, wabak penyakit menular dan terkini kemarau berpunca daripada El-Nino. Apabila bencana berlaku, ia akan meliputi semua makhluk sama ada yang beriman atau tidak; inilah iktibar yang didapati pada zaman beberapa Nabi seperti Nuh, Hud dan Musa.
Oleh itu renungkanlah bahawa segala ujian dan dugaan ini adalah merupakan peringatan kepada manusia yang berterusan melakukan dosa mahupun kecenderungan menodai kesucian alam ciptaan Illahi. Sebarang kesilapan dan keterlanjuran perlu diinsafi dan diperbaiki bagi menyelamatkan kita dan generasi akan datang.