Kemunculan ajaran-ajaran salah dalam masyarakat dewasa ini tidaklah memeranjatkan kerana ia bukanlah satu yang baru. Namun perkara yang menimbulkan persoalan ialah bagaimana ajaran yang jelas bertentangan dengan asas-asas agama ini masih mampu menarik jumlah pengikut yang ramai sedangkan tahap pemikiran masyarakat di negara ini umumnya telah maju dan sistem pendidikan agama pula sudah berkembang dengan begitu meluas?
Ini mengundang kita untuk meneliti dengan lebih lanjut mengenai psikologi dan latar lingkungan kemasyarakatan yang menjadi faktor terjadinya perkara ini. Seperkara yang pasti ialah mereka yang membawa ajaran-ajaran ini bukanlah datang dari luar, akan tetapi mereka merupakan orang tempatan yang telah biasa dengan keadaan dan psikologi masyarakat di negara ini. Mereka bermula dengan membawa pemikiran berbeza yang melencong dari kefahaman arus perdana dan seterusnya berkembang sedikit demi sedikit dalam masyarakat. Bagi pemimpin yang membawa ajaran ini, kekeliruan yang dibawanya itu adalah satu bentuk ‘penjernihan pemikiran’ yang mengembalikan masyarakat ke kefahaman ‘sebenar.’ Sesuatu yang berbeza dan baru pastinya akan cepat dikenali seperti pepatah Arab yang mengatakan “berbezalah, nescaya kamu akan dikenali.”
Terdapat beberapa faktor yang memudahkan perkembangan ajaran salah ini dalam masyarakat. Pertama, faktor dalaman iaitu kualiti individu dan personaliti seseorang. Kajian psikologi menunjukkan bahawa antara perkara yang mempengaruhi seseorang untuk membawa ajaran salah ialah akal yang bermasalah, pendidikan yang tidak sempurna, asuhan yang tidak betul dan kehilangan contoh untuk diikuti.
Namun, faktor paling penting antara semua ini ialah kualiti pendidikan agama dan akhlak yang rendah. Apabila seseorang tidak dididik dengan ilmu dan adab yang betul berasaskan sumber ilmu dan pembimbing yang sebenar, mereka akan terkeliru dalam pandangan alam dan akan cenderung berfikir dan bertindak di luar kebiasaan masyarakat. Dalam hubungan ini, konotasi makna ‘kurang ajar’ dalam Bahasa Melayu bukan sahaja merujuk kepada kurangnya tahap pendidikan formal yang dicapai oleh seseorang, akan tetapi merujuk kepada cacatnya ilmu yang berkait dengan nilai akhlak dan adab.
Dari sudut pembentukan pemikiran, pendidikan agama yang betul telah sekian lama berperanan sebagai mekanisme pertahanan penting masyarakat Islam untuk menyaring apa sahaja aliran yang betul dan salah yang datang kepada mereka. Alat pertahanan ini terbina dengan kekuatan pendidikan Islam yang disemai secara teliti melalui pendidikan agama yang berjalan di rumah, di masjid dan surau, di madrasah dan di sekolah.
Sistem pertahanan inilah yang ternyata sudah menjadi lemah pada sebahagian kelompok masyarakat sehingga ada yang tidak mampu menyaring ajaran-ajaran salah yang tersebar dan akhirnya pasrah menuruti ajaran-ajaran yang sesat ini. Ironisnya, perkara ini berlaku dalam keadaan wasilah pengajaran dan pembelajaran ilmu pada hari ini telah berkembang dengan begitu maju hasil kecanggihan teknologi maklumat yang telah dicapai oleh manusia.
Faktor lain yang mempengaruhi penyebaran ajaran salah ini ialah perubahan sistem nilai masyarakat yang mengakibatkan lunturnya sensitiviti masyarakat untuk segera menolak dan melawan penyebarannya. Disebabkan pengaruh falsafah pemikiran luar yang sekular, nilai yang dipegang oleh masyarakat sudah menjadi terbuka (permissive), justeru sangat mudah untuk menyesuaikan pandangan-pandangan yang ‘berbeza’ atas nama kepelbagaian dan kebebasan bersuara. Harvey Cox, seorang pemikir Kristian dalam karyanya The Secular City mengatakan bahawa “pluralism and tolerance are the children of secularization. They represent a society’s unwillingness to enforce any particular worldview on its citizen.
Kesannya, ahli masyarakat menjadi semakin individualistik dan tidak sensitif dengan pemikiran-pemikiran yang berbeza dengan pegangan majoriti ahli masyarakat. Kepada mereka yang membawa pemikiran yang berbeza pula, mereka tidak lagi ambil kisah dengan pandangan orang lain terhadap mereka sehingga runtuhnya apa yang kenali dalam ilmu kemasyarakatan sebagai sistem kawalan sosial (social control). Jika sebelum ini tahap sensitiviti yang tinggi ini tercermin dalam bentuk teguran kepada seseorang yang berbeza yang datang dari pelbagai pihak seperti seperti jiran tetangga, saudara mara dan sahabat handai, kini semuanya telah luntur sedikit demi sedikit atas nama ‘hak kebebasan peribadi.’
Antara tindakan yang boleh dilakukan bagi mengembalikan sensitiviti masyarakat mengenai ajarah salah ialah melalui pengukuhan sistem pendidikan agama khususnya yang berkaitan dengan Akidah. Pendidikan Akidah tidak seharusnya hanya menekankan tentang kepercayaan semata-mata akan tetapi harus menerapkan pengajaran hujah dan dalil yang mantap menegani prinsip-prinsip agama sebagai perisai untuk umat Islam menghadapi ajaran-ajaran salah.
Kedua, berdasarkan prinsip penting ajaran Islam, amar ma’ruf nahy munkar, sensitiviti masyarakat Islam harus dipertingkatkan dalam setiap peringkat masyarakat. Berdasarkan petunjuk hadis Nabawi, peranan untuk mencegah kemungkaran dan kesalahan dalam ajaran agama harus dilakukan melalui tiga; kuasa, lisan atau sekurang-kurangnya melalui kebencian dalam hati.
Peranan kuasa harus dimainkan oleh pihak kerajaan melalui akta dan perundangan bagi mengekang ajaran-ajaran salah ini. Sementara peranan lisan perlu dibawa oleh para ilmuwan melalui kekuatan hujah dan dalil dalam bentuk tulisan dan perdebatan. Antara tradisi ilmuwan silam yang perlu dicontohi ialah penulisan berbentuk ‘firaq’ yang menyenaraikan kekeliruan pelbagai kelompok seperti yang ditulis oleh al-Shahrastani, Ibn Hazm dan lain-lain.
Dan yang terakhir ialah peranan orang awam yang ditunjukkan dengan cara tidak langsung memberi peluang kepada ajaran-ajaran salah untuk tersebar di mana-mana ruang sekalipun dalam masyarakat.