TEKS PERUTUSAN
PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM BIN MOHAMED ADIL
KETUA PENGARAH IKIM
SEMPENA
SAMBUTAN MAULIDUL RASUL SAW TAHUN 1446H/2024M
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
- Alhamdulillah, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat sekali lagi meraikan sambutan Maulidur Rasul SAW tahun 1446H bersamaan 2024 Masihi. Sambutan ini merupakan tanda kasih dan penghormatan kita terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, insan pilihan Allah yang membawa cahaya Islam ke seluruh alam.
- Menyingkap tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini “Al Falah Pemacu Malaysia Madani’ adalah sangat bertepatan dengan usaha kita membina masyarakat Malaysia yang berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Madani, yang berteraskan kemajuan, keadilan, dan keberkatan hidup.
- Makna Al-Falah itu sendiri membawa erti kejayaan yang hakiki, adalah matlamat yang diimpikan setiap Muslim, bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mu’minun yang bermaksud “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah Al-Mu’minun: ayat 1-2).
- Ayat ini mengingatkan kita bahawa kejayaan sebenar bermula dengan keimanan dan ibadah yang ikhlas kepada Allah. Dalam konteks Malaysia Madani, kejayaan kita tidak hanya diukur dari segi kemajuan material, tetapi lebih penting, dari segi akhlak, keadilan sosial, dan kesejahteraan rohani.
- Mengambil Inspirasi daripada Sirah Rasulullah SAW, baginda adalah contoh terbaik dalam memandu umat ke arah kejayaan yang hakiki, iaitu al-falah. Baginda SAW berjaya membangunkan sebuah masyarakat yang adil dan beretika di Madinah, di mana setiap individu, tanpa mengira latar belakang, dihormati dan diberi hak sewajarnya. Kejayaan ini lahir daripada kepimpinan Baginda yang berasaskan akhlak mulia, kasih sayang, dan keadilan yang berpaksikan kepada wahyu Allah.
- Menerusi Sirah baginda Rasulullah SAW, kita melihat bagaimana usaha dan tindakan baginda mengikat persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar, sebagai asas pembinaan masyarakat Madani yang penuh harmoni dan keadilan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari). Hadis ini menggariskan betapa pentingnya nilai persaudaraan dan kasih sayang dalam usaha mencapai al-falah.
- Dalam membina Malaysia Madani, prinsip al-falah harus menjadi panduan utama. Kita perlu memastikan setiap individu dalam masyarakat menikmati kehidupan yang adil dan sejahtera. Kejayaan ini hanya akan tercapai apabila kita mengamalkan nilai-nilai yang diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW – kejujuran, keadilan, amanah, dan kesederhanaan sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Surah Al-Hujurat: 13).
- Ayat ini mengingatkan kita tentang pentingnya keadilan sosial dan kesatuan, tanpa mengira perbezaan kaum dan budaya. Malaysia Madani yang kita impikan adalah sebuah negara yang adil, di mana setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang, mempunyai peluang yang sama untuk mencapai kejayaan.
- Di kesempatan ini saya ingin mengajak kita semua untuk merenung kembali perjalanan hidup Rasulullah SAW, sirah baginda yang penuh dengan pengajaran dan hikmah. Baginda bukan sahaja seorang rasul, tetapi juga seorang pemimpin, pendidik, dan contoh teladan yang agung. Dalam setiap aspek kehidupan baginda, terdapat pedoman yang boleh kita contohi dalam menjalani kehidupan seharian kita.
- Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, ayat 21 bermaksud “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” Ayat ini mengingatkan kita bahawa Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang patut kita ikuti, baik dari segi akhlak, kepimpinan, mahupun dalam ibadah kita. Sirah baginda mengajarkan kita erti ketabahan, kesabaran, dan keikhlasan dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.
- Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW telah membawa perubahan besar kepada dunia melalui akhlak mulia, keadilan, dan rahmat yang menjadi tunjang kepada kejayaan sesebuah bangsa. Dalam riwayat hidupnya, Rasulullah SAW menekankan kepentingan ilmu, ihsan, dan perpaduan antara sesama umat. Salah satu hadis Baginda yang sangat bertepatan dengan situasi hari ini ialah:
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (HR. Ahmad). Hadis ini mengingatkan kita bahawa tanggungjawab sosial dan perpaduan merupakan kunci kepada kejayaan negara Madani yang kita impikan.
- Pada hari yang mulia ini, marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW dan meneladani akhlak baginda dalam setiap aspek kehidupan kita. Semoga dengan memperingati baginda, kita dapat menguatkan lagi keimanan dan kecintaan kita terhadap Allah dan Rasul-Nya.
- Semoga sambutan Maulidul Rasul ini menjadi titik tolak bagi kita untuk terus memperkukuhkan integriti, etika, dan kemajuan dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera, sesuai dengan gagasan Malaysia Madani.
- Dengan itu, marilah kita bersama-sama mengambil iktibar daripada ajaran dan kehidupan Rasulullah SAW untuk terus maju dan berdaya saing dalam mengangkat martabat umat dan negara kita.
- Akhir kata, saya mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul 1446H kepada seluruh umat Islam secara umum dan kepada seluruh warga IKIM secara amnya. Semoga kita semua diberkati dengan rahmat dan hidayah-Nya, serta diberi kekuatan untuk terus meneladani sunnah baginda dalam kehidupan kita.
Sekian, Terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.