Assalamu ‘alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan.
2. Setelah sebulan bermujahadah menahan kemahuan dan keinginan, hari ini kita meraikan hari kemenangan menentang hawa nafsu yang telah disifatkan junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai jihad terbesar bagi umatnya. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala menatijahkan kita dengan taqwa, dan seterusnya kita dapat menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat hidayah yang Allah Subahanahu Wata’ala kurniakan kepada kita. Mudah-mudahan Allah memanjangkan usia kita ke Ramadhan akan datang.
3. Negara kita sekarang masih dilanda wabak Covid19; namun kita hendaklah bersyukur kerana boleh meraikan kegembiraan Aidilfitri dengan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.
4. Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, harus diingat bahawa di sekeliling kita, masih terdapat golongan yang berada dalam kemiskinan. Maka dengan itu, berkongsilah kemewahan rezeki yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan memperbanyakkan amalan sedekah, menyantuni anak-anak yatim, fakir miskin, orang-orang tua, orang-orang sakit dan golongan mustad’afin.
5. Pada kesempatan ini, marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan mematuhi adab-adab agama kita: khususnya mengelakkan pembaziran, dan menikmati hiburan yang berlebihan dan melalaikan. Menghargai dan hormat kepada masa adalah satu nilai yang perlu diamalkan. Jika beraya di rumah-rumah sahabat, dan di rumah-rumah keluarga sekalipun, janganlah dalam tempoh yang amat panjang, sehingga melambatkan waktu solat, dan mengganggu keselesaan tuan rumah sendiri.
6. Saya percaya bahawa tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan menggunakan kesempatan yang ada, sama ada di kampung dan di kawasan perumahan masing-masing, untuk mengeratkan lagi tali silaturahim dan hubungan ukhwah sesama keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai.
7. Pada kesempatan ini, saya dengan penuh rasa tawaduk, memohon kemaafan di atas kesilapan dan kekhilafan daripada semua pihak, dan saya dengan seikhlas hati, memaafkan kesilapan terhadap diri saya.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.